26 Julai 2023, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Para peminat filem antarabangsa, terutama di sekitar Lembah Klang berpeluang menonton pelbagai genre filem apabila Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-6 berlangsung dari 23 Julai hingga 29 Julai ini.

Sejumlah 40 buah filem hebat dari Jepun, Korea, China, Taiwan, Hong Kong, Filipina, India, Iran, Azerbaijan, Perancis, Ukraine, Sepanyol, Turki dan termasuk Malaysia ditayangkan di GSC MyTown, dari 24 Julai hingga 30 Julai.

Antara filem tersebut ialah My Small Land, arahan Emma Kawawada, terbitan pada tahun 2022 dari Jepun, 2 Women (Ryuichi Hiroki/2022/Jepun), Let the Dance Begin (Marina Seresesky/2023/Sepanyol), Snow and the Bear (Selcen Ergun/2022/Turki), The Sunny Side of the Street (Lau Kok Rui/2022/Hong Kong), Plan 75 (Chie Hayakawa/2022/Jepun,Filipina, Perancis), Iron Mask (Kim Sung Hwan/2023/Taiwan), dan Hong Kong Family (Eric Tsang/2022/Hong Kong).

Malaysia selaku tuan rumah menampilkan Eraser, Adoiii Jiwaku!, dan Shuttle Life. Eraser turut diberikan penghormatan sebagai filem pembukaan 6thMIFFest pada 23 Julai lalu di Zepp Kuala Lumpur, LaLaport BBCC, yang juga merupakan rakan lokasi festival berkenaan.

Dengan membawa tema perpaduan, ihsan, kasih sayang, setia, saling menghormati, harmoni dan tiada yang dapat memutuskan pertalian sesama manusia hanya kerana berbeza agama, Eraser diarahkan oleh Mark Lee See Teck.

Filem Eraser membawa tema perpaduan, ihsan, kasih sayang, setia, saling menghormati dan harmoni.

Filem terbitan pada tahun ini juga merupakan cenderahati terakhir pelakon seni berprofil tinggi yang meninggal dunia pada 18 Jun 2022, Allahyarham Adibah Noor. Kerinduan peminat melihat lakonan Adibah yang bersahaja, tetapi mengesankan akan terlerai dengan menonton Eraser. Para pelakon lain yang turut membintangi filem ini ialah Namron, Angela Chan, Dhiya Ariffin, Alyssa Lee, dan Han Zalini.

Eraser dalam bahasa Melayu bermaksud Pemadam atau hapus yang mempunyai simbolik tersendiri untuk difikirkan, dan diterima dengan hati terbuka oleh seluruh penonton berbilang bangsa di negara kita.

Selain tayangan filem, turut diadakan dua buah kelas utama yang dibimbing oleh pengarah Ryuichi Hiroki pada 25 Julai pada pukul 2 petang, dan pengarah Johnnie To (29 Julai/1.30 petang). Kedua-dua pengarah tersebut akan menyampaikan ilmu bermanfaat kepada hadirin dan “kaki wayang”, serta mendorong semangat para pembikin filem.

Acara 6thMIFFest turut mengundang para pembikin filem menghadiri beberapa sesi perkongsian pasca tayangan, serta bertemu dengan audiens untuk berkongsi pengalaman, dan perjalanan pembikinan filem mereka.

Sementara itu, dalam ucapannya, pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh, amat bersyukur dan menghargai semua pihak yang terlibat memberikan sumbangan menjayakan festival berkenaan saban tahun.

“Saya sangat berpuas hati dan gembira apabila semakin ramai orang mengetahui dan mengenali MIFFest. Apatah lagi jumlah filem yang menyertai festival ini juga meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya,” tambah Joanne.

Presiden MIFFest, Joanne Goh.

Sementara itu, pelakon handalan Malaysia, Bront Palarae meneruskan amanah beliau sebagai duta MIFFest yang kini masuk kali keempat. Beliau menyatakan rasa teruja kerana 6thMIFFest dipenuhi banyak aktiviti baharu.

Pada tahun ini juga, MIFFest berkolaborasi dengan Festival Filem Fantastik Antarabangsa Bucheon (BIFAN), dan Pejabat Budaya dan Ekonomi di Malaysia (TECO) untuk tayangan filem, dan forum.  Forum BIFAN dikendalikan oleh Kim Sung Hwan dan Ellen Kim (Penprogram BIFAN).

Sementara itu, forum yang turut dianjurkan oleh TECO menampilkan enam orang pengarah, iaitu Lau Kok Ru, Jovi Lee, Fiona Roan, Chong Keat Aun, Laha Mebow, dan Chan Ching-Lin, dengan penprogram dari Taiwan dan Asia Tenggara, Kuo Ming-Jung sebagai kuratornya.

Forum-forum berkenaan dilangsungkan di Eslite Bookstore pada 29 dan 30 Julai. Dalam terma pemilihan filem, TECO telah memilih enam buah filem cereka, dan empat buah filem pendek untuk sesi tayangan 6thMIFFest.

Antaranya termasuklah filem dari Taiwan yang paling mengujakan tahun ini, iaitu Day Off, arahan Fu Tien Yu serta dibintangi Fu Meng Bo, Shi Ming Shuai, Annie Chen, Beatrice Fang, dan Lu Hsiao Fen.

Selain itu, menerusi kerjasamanya dengan 6thMIFFest, BMW Shorties mengumumkan festival pada tahun ini mencatat sejarah apabila disertai 113 buah filem pendek.

Daripada jumlah tersebut, 10 buah filem pendek dipilih ke senarai akhir serta ditayangkan di GSC MyTown, dan MIFFest Open Air Cinema.

Bront Palarae tetap teruja meneruskan tugas sebagai Duta MIFFest.

Bersempena dengan tema 6thMIFFest, iaitu “Pengambilan Baharu”, festival memperkenalkan pelbagai kegiatan seperti Sinema Ruang Terbuka MIFFest dari 24 Julai hingga 28 Julai di Taman Bumbung LaLaport, untuk menyampaikan cerita-cerita menarik filem-filem Malaysia dalam suasana yang nyaman.

Lima buah filem telah dipilih, iaitu The Tiger Factory dan Year Without a Summer (2010), Jagat (2015), Flower in the Pocket (2017), dan Crossroads: One Two Jaga (2018).

Sementara itu, See You at the Rally arahan pengarah Taiwan, Kanny Chang pada 2023, dipilih sebagai filem tayangan penutup 6thMIFFest pada 29 Julai.

See You at the Rally mengisahkan seorang ayah pertengahan umur, Zhou Da Long; anaknya yang berusia 10 tahun, Dong Dong, dan mantan juara pelumba, Ah Jun, menghadapi pelbagai cabaran hidup.

Aktor utama, James Wen dan Jack Tan dijangka tampil selepas tayangan untuk berkongsi pengalaman dan kenangan semasa pembikinan See You at the Rally.

Majlis Anugerah Dunia Emas Malaysia ke-6 atau 6thMalaysia Golden Global Awards akan diadakan pada 29 Julai di Zepp Kuala Lumpur. Majlis yang mengumumkan para pemenang 6thMIFFest itu juga disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 RTM, laman Facebook rasmi MIFFest, dan akaun TikTok MIFFest, dan siaran tertunda di Viu TV HK.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.