27 Julai 2023, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Festival Merakyatkan Seni Budaya @Jonker Walk yang akan diadakan pada 28 Julai hingga 30 Julai ini dengan sasaran 15,000 orang pengunjung bakal menyemarakkan semula seni budaya dan warisan tempatan selain mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama generasi muda hari ini.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam satu kenyataan berkata, festival yang diadakan di Jonker Walk itu ialah program kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (Peranakan), Jawatankuasa Jonker Walk serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka (JKKNM).

Festival Merakyatkan Seni Budaya @Jonker Walk akan diadakan dari 28 hingga 30 Julai ini di Jonker Walk.

Menurut kenyataan tersebut, festival bertemakan “Warisan Akar Umbi” itu mampu memupuk nilai murni dan semangat kerjasama dalam kalangan komuniti terutama di kawasan Jonker Walk yang merupakan tapak warisan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam usaha memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara.

“Festival yang dianjurkan ini adalah demi memastikan seni budaya warisan negara dapat dipersembahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat selain menyemai rasa kecintaan terhadap seni, budaya dan warisan serta menyemarakkan semula industri pelancongan negara.

“Festival itu turut melibatkan pengusaha premis pelancongan, jawatankuasa rumah ibadat di Jalan Harmoni yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Tukang Emas di Melaka, yang cukup terkenal dengan kewujudan rumah ibadat iaitu Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling dan Tokong Cheng Hoon Teng.

“Di samping itu, acara turut dimeriahkan dengan program Kenduri Muhibah: Makan Ala ‘Tok Panjang’ di perkarangan Pentas Opera yang berusia ratusan tahun terletak di hadapan Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni,”.

Persembahan Keroncong Peranakan Melaka bakal menarik perhatian pengunjung Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @Jonker Walk.

“Program Silang Budaya mempersembahkan beberapa kumpulan kesenian antaranya, Kumpulan Keroncong Peranakan Melaka; The Siblings Band Melaka; Kumpulan Kesenian Kebudayaan Baba Nyonya Melaka; Trio Peranakan Melaka; Kumpulan Kesenian JKKN Melaka dan Negeri Sembilan (Canang Sendeng Cak Lempong); Persatuan Chin Woo, Melaka; Kumpulan Tarian Singa dan Tarian Naga Jonker Walk; Persatuan Barongan dan Kuda Kepang Kampung Parit Bugis, Muar, Johor serta Kiawaian Dance Club, Tambunan, Sabah,” menurut kenyataan itu.

Festival berkenaan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Tiong King Sing.

Orang ramai yang mahu mengetahui maklumat lanjut mengenai festival berkenaan boleh melayari laman Facebook, Instagram dan TikTok JKKN Melaka Fanpage.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.