28 Julai 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Pengarah filem terkenal tanah air, Mamat Khalid meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 ketika berusia 58 tahun akibat serangan jantung. Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd. Khalid juga adalah penulis lakon layar yang dikenali dengan filem-filem komedi.

Filem pertama arahan adik kepada Seniman Diraja, Datuk Lat ini ialah Lang Buana yang bercorak komedi sejarah pada tahun 2003, lakonan ahli kumpulan Senario. Nama beliau mula dikenali selepas mengarahkan filem muzikal, Rock (2005), dan komedi seram Zombi Kampung Pisang (2007).

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Abdul Aziz menyampaikan ucapan alu-aluan.

Allahyarham kemudian kian dikenali, dihormati dan disegani dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), lakonan Dato’ Awie dan Usop Wilcha yang mencetuskan fenomena tersendiri.

Nama Mamat terus diingati selepas mengarahkan dua buah filem kesinambungan Rock, iaitu Rock Oo! (2013), dan Rock Bro! (2016). Filem-filem lain arahannya yang terkenal termasuklah Man Laksa (2006), Kala Malam Bulan Mengambang (2008 – konsep filem noir), dan Apokalips X (2014 – konsep manga dan buku komik grafik).

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pemilik kafe Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim, Perak bermula pada tahun 2016.

Sebagai anak kelahiran Ipoh khususnya, dan Perak amnya yang berwibawa, memang tepat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PANP) menganjurkan program “Sembang Santai Sutradara Mamat Khalid dalam Kenangan” di Ruang Membaca, Aras Bumi, PANP pada 26 Julai lalu.

Selain nama Mamat, program kira-kira dua jam dan dimudahcarakan oleh Puan Norhamilah Mohd. Noor dari PANP itu menarik perhatian ramai apabila menampilkan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 2023, Bell Ngasri sebagai salah seorang ahli panel.

Ternyata Bell yang amat dikenali dengan watak Barkoba menerusi filem 18 Puasa di Kampung Pisang (2020), itu menggamatkan suasana dengan celoteh-celoteh lucu ketika bercerita di samping dua orang ahli panel lain, iaitu penulis/pengkritik filem Hassan Muthalib, dan Mohd. Khalid Amen Mohamad dari Enjit-enjit Semut Motion Picture.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Pengarah PANP, Puan Rafidah Abdul Aziz mengatakan selain mengangkat Mamat, penganjuran program ini juga bertujuan mengubah stigma masyarakat terhadap perpustakaan, iaitu sebagai tempat membaca dan buku sahaja, tetapi ia juga sebagai tempat yang dapat melakukan pelbagai aktiviti, termasuk program berkaitan seni.

“Ini sekali gus dapat mempergiat dan memartabatkan seni yang juga sebagai tarikan pelancongan negeri Perak, menarik minat, melahirkan ramai seniman yang menghasilkan karya, terutama generasi muda, dan merapatkan hubungan PANP dengan perbadanan lain,” kata Rafidah.

Antara bahan yang dipamerkan dalam “Pameran Sutradara Mamat Khalid dalam Kenangan” di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Menurut Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal, yang tercalon dalam Anugerah Seri Angkasa ketika berusia 12 tahun, Allahyarham Mamat telah menggembirakan rakyat Malaysia dengan filem-filem arahan beliau.

“Dari segi silaturahim, Allahyarham mengakui pembikinan Kampung Pisang Bersiri-siri bertujuan menemukan kembali beliau dengan pelakon dan pengarah lain seperti Aziz M. Osman, Allahyarham Ahmad Ibrahim, Dewa Sapri, Kazar Saisi, Kamarool Haji Yusof, Nasir Jani, dan Awie,” ujar Bell yang gembira dirinya turut tersenarai.

Jika mengarahkan filem, tambah Bell, 43 tahun, yang menerima watak secara spontan untuk telefilem 16 Puasa (2017), Mamat mahu mengumpulkan rakan-rakan dalam industri perfileman tanah air.

Anak mantan penyiar radio RTM terkenal, Ngasri Sain ini juga mendedahkan asal-usul timbulnya laungan ikon Barkoba, “Yak yak yeh!”, serta memberitahu bahawa Mamat melakukan pengarahan secara spontan, dan tanpa skrip.

Sementara itu, Mohd. Khalid Amen, 27 tahun, yang juga anak keempat Mamat, memberitahu bapanya banyak membaca buku, dan menjelajah untuk mencari ilmu, dan pengalaman.

“Ketika berusia 15 tahun, baru saya tahu bapa saya pengarah filem. Tetapi, saya nampak filem-filem arahan Allahyarham turut mendidik masyarakat,” kata Khalid Amen yang semakin mengikut jejak langkah bapanya apabila sedang mengarahkan telefilem 19 Puasa yang bakal ditayangkan pada tahun depan.

Ini juga hasil dorongan Bell agar Amen menyambung legasi, dan perjalanan seni bapanya dengan penghasilan pelbagai karya dalam dunia perfileman.

Dari kiri: Puan Norhamilah Mohd. Noor (pemudah cara) serta Mohd. Khalid Amen Mohamad, Hassan Muthalib, dan Bell Ngasri sebagai ahli panel “Sembang Santai Sutradara Mamat Khalid dalam Kenangan”.

Hassan, 77 tahun, dalam nada yang lebih serius, mengatakan filem-filem arahan Mamat menzahirkan jati diri Melayu, sambil menyelitkan bahawa filem ialah bahan sejarah. Tegas beliau agak kesal, hanya lima peratus sahaja pengarah filem tanah air yang benar-benar mengetahui hal-hal perfileman.

Beliau juga menegaskan pengarah yang berilmu dan juga “ahli fikir” seperti Mamat, akan menghasilkan dialog-dialog dalam bahasa yang sopan, serta mesej-mesej tersirat.

“Dengan itu, terdapat ilmu dalam karya beliau hasil daripada pembacaan untuk memikirkan tentang sesuatu. Saya sentiasa teringat pada dialog ciptaan Allahyarham, iaitu ‘Melayu susah nak maju kalau…’,” kata Hassan yang turut dikenali sebagai pelopor filem animasi Malaysia menerusi Silat Legenda (1998).

Turut hadir ialah balu Mamat, iaitu Hasmah Hassan. Bersempena dengan program berkenaan, diadakan “Pameran Sutradara Mamat Khalid dalam Kenangan” yang memaparkan maklumat-maklumat mengenai Allahyarham, seperti biodata; dan filem kutipan tertinggi arahan beliau, iaitu Hantu Kak Limah (2018) yang meraih RM32.5 juta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.