Oleh Rashid Ating
29 Julai 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tarian Magunatip, atau dikenali sebagai bamboo dance, merupakan sejenis tarian tradisi yang ditarikan oleh masyarakat MurutKuhijau (Kwijau) yang tinggal bahagian pedalaman Sabah, khususnya di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Perkataan atip bermaksud menekan antara dua permukaan, merujuk kepada buluh yang digunakan sebagai instrumen utama tarian ini. Atip juga bermaksud jepit.

Suku kaum Murut di Sabah mempunyai lebih 20 sub-etnik yang tinggal di daerah Tenom, Nabawan, dan Keningau. Oleh hal yang demikian, sudah pasti mereka mempunyai cara dan tarian yang berbeza mengikut sub-etnik masing-masing. Pada zaman dahulu, tarian ini ditarikan sebagai tanda kemenangan dalam peperangan selepas berjaya memenggal kepala musuh.

Seiring dengan peredaran zaman, tarian ini dipersembahkan ketika Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai Padi yang diraikan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pada kebiasaannya hari perayaan ini diisytiharkan sebagai cuti umum di Sabah. Tarian ini juga dipersembahkan ketika sambutan Hari Guru di sekolah-sekolah dan sebagai tarian menyambut tetamu, sama ada dari dalam mahupun luar negara yang datang melawat Sabah.

Tarian Magunatip menggunakan alat muzik seperti gong dan kulintangan pada permulaan, yang secara perlahan-lahan digantikan dengan bunyi buluh. Hal ini dikatakan demikian kerana buluh menghasilkan bunyi yang unik dan tersendiri apabila dilagakan mengikut tempo tertentu. Tempo tarian ini bermula secara perlahan dan beransur-ansur bertambah laju.

Tarian ini dimulakan dengan penari lelaki melakukan tarian mahihialang dan diikuti oleh penari wanita yang melakukan tarian anggalang. Tarian ini ditarikan oleh penari lelaki atau wanita, baik secara solo ataupun berkumpulan, ataupun berpasangan lelaki dan wanita. Hal yang sama juga bagi mereka yang melagakan bambu tersebut, tidak ada sebarang peraturan yang perlu dipatuhi.

Buluh diletakkan di paras kaki penari untuk memudahkan pergerakan mereka. Enam batang buluh diletakkan secara melintang, setiap pasangan buluh ini akan dipegang oleh seorang pada setiap hujungnya. Semua buluh tersebut diletakkan di atas dua batang buluh berasingan yang digunakan sebagai landasan atau alas bagi buluh yang lain.

Penari lelaki atau wanita mula menari dari hujung buluh pertama di hadapan sekali, menari melepasi empat buluh yang berikutnya mengikut tempo tertentu, sehingga mencapai buluh terakhir, dan bermula kembali dari hadapan, iaitu buluh pertama. Sepanjang tempoh tarian berlangsung, para penari bebas bertukar peranan, sama ada penari lelaki melagakan buluh sambil penari wanita menari atau sebaliknya, atau gabungan antara kedua-duanya.

Yang menjadi kebiasaan ialah penari wanita  menari di atas buluh, manakala penari lelaki memainkan buluh tersebut. Setelah itu, mereka bertukar peranan kerana tarian ini pada kebiasaannya mengambil masa selama lima hingga tujuh minit. Bilangan penari yang diperlukan ialah enam hingga sepuluh orang, iaitu empat atau enam orang untuk melagakan buluh dan yang lain sebagai penari.

Oleh sebab saiz buluh yang digunakan tidak terlalu lebar, bilangan maksimum penari yang diperlukan ketika menarikan tarian ini ialah empat orang sahaja, manakala minimum ialah dua orang. Tarian ini agak unik kerana penari menari atas buluh yang dilagakan, di samping memerlukan kemahiran dan ketangkasan kerana jika terlewat atau leka seketika, kaki akan tersepit antara enam batang buluh tersebut.

Penari lelaki dan wanita memakai pakaian tradisional kaum Murut sewaktu mempersembahkan tarian ini. Penari lelaki  memakai jaket yang diperbuat daripada kulit kayu, sambil memegang senjata yang dikenali sebagai gayang dan perisai, memakai perhiasan kepala yang berbulu dan berperwatakan seperti seorang pahlawan. Penari wanita pula memakai pakaian tradisi atau busana yang bermanik dan bersulam berwarna hitam yang dikenali sebagai limpur.

Tarian Magunatip ditarikan di sebuah pasar raya di Kota Kinabalu, Sabah sempena Pesta Kaamatan.

Selepas tarian ini selesai, para penari mengajak para penonton untuk merasai sendiri tarian ini. Penari memberikan panduan kepada penonton mengenai tarian ini, dan penari akan menari bersama-sama dengan penonton. Tempo perlahan digunakan agar penonton dapat menarikan tarian ini bersama-sama para penari. Pada masa ini, untuk memastikan tarian tidak luput ditelan arus kemodenan semasa, tarian Magunatip ditarikan di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Kinabalu, Sabah, menjelang Sambutan Pesta Kaamatan setiap tahun.

Persembahan ini dilakukan di pintu masuk aras bawah pusat membeli-belah ini di ruangan terbuka agar dapat dilihat oleh warga tempatan mahupun warga asing. Hal ini merupakan satu daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk membudayakan dan memperkenalkan tarian ini kepada masyarakat tempatan dan  warga asing yang mengunjungi Sabah.

Penulis merupakan Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.