1 Ogos 2023, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airport Holding (MAHB) telah menganjurkan pameran pelancongan domestik di bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Antara produk makanan Terengganu yang dipamerkan dalam pameran pelancongan di KLIA.

Pameran pelancongan tersebut yang bertempat di bahagian dalam balai pelepasan, Pintu 5 dan 6, bangunan KLIA terminal 1 telah berlangsung bermula dari 6 Jun lalu hingga 31 Disember 2023.

Pameran ini disertai oleh pihak industri pelancongan dari Sarawak, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis serta Persatuan Homestay Malaysia secara bergilir-gilir sepanjang tempoh tersebut.

Objektif pameran ini adalah untuk mempromosikan acara-acara pelancongan, maklumat pelancongan, persembahan kebudayaan, promosi pakej dalam talian dan pameran kraf oleh pihak industri pelancongan yang mengambil bahagian.

Pameran tersebut telah dimulakan oleh Pelancongan Negeri Sarawak diikuti dengan pameran oleh Persatuan Homestay Malaysia.

Persembahan kebudayaan muzik gamelan Terengganu oleh Kumpulan SUKTRA Terengganu pada minggu keempat pameran.

Sepanjang bulan Julai, Pelancongan Terengganu telah mengambil giliran dalam pameran pelancongan domestik tersebut dengan mempamerkan produk-produk kraf dan makanan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan persembahan daripada Unit Kebudayaan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu,  Kumpulan Tari SUKTRA Terengganu untuk minggu pertama dan muzik gamelan pada minggu keempat.

Antara usahawan produk kraf dan makanan yang terlibat dalam pameran tersebut ialah Azira De Gallery, Kamis Batik Hq, Dah Harun Songket Collection, Dapo Boonde, Nasi Dagang Atas Tol, Dapur sisme, Desa Ukiran Kayu Besut dan Ismawati Kraf.

Kumpulan Tari SUKTRA Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah mempersembahkan pelbagai tarian tradisional Terengganu sepanjang minggu pertama bulan Julai untuk para pengunjung di KLIA seperti Rodat, Zapin Terengganu, Inang Rodat dan Joget Terengganu.

Antara produk kraf Terengganu yang dipamerkan.

Sementara itu, pada minggu kedua pula, Pelancongan Negeri Terengganu menampilkan persembahan penyanyi tempatan, Naquib Mohammad yang terkenal dengan lagu Nasik Ngan Ikang Singgang di pameran tersebut.

Pada minggu keempat iaitu minggu terakhir bagi negeri Terengganu, pameran Pelancongan Terengganu membawakan persembahan kebudayaan muzik gamelan Terengganu oleh Kumpulan SUKTRA Terengganu kepada para pengunjung yang hadir di KLIA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.