Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi – Pada 29 Julai lalu, telah berlangsungnya program Bicara Sejarah: Langkawi dari Kaca Mata Orientalis di Kota Mahsuri, Langkawi. Acara utama iaitu bicara sejarah telah disampaikan oleh Tuan Mohd Herman Roslan, exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).
Sebanyak 40 orang peserta mengikuti program ini bagi mengikuti pembentangan oleh pembicara mengenai pensejarahan tempatan iaitu daerah dan Pulau Langkawi. Pembicara memulakan pengenalan dengan memerihalkan tentang nama pulau terbabit mengikut rekod lama dan diteruskan dengan dapatan kajian oleh pembicara berdasarkan rekod-rekod dan sumber sejarah dari Perancis, Belanda dan Inggeris terutamanya di abad ke-17.
Langkawi bukan sahaja sebuah kepulauan yang cantik dari segi geografinya, malahan mempunyai kekayaan hasil tani seperti lada yang menjadi rebutan pelbagai pihak serantau. Pulau terbabit juga turut dilanda malang seperti serangan pihak Aceh dan siri peperangan dengan kerajaan Ligor Siam yang lebih dikenali sebagai Perang Musuh Bisik.
Mengulas tentang program terbabit, pengacara majlis merangkap jurucakap persatuan, Ustaz Firdaus Al Radzi berpendapat, “Program yang sangat baik dan berjaya memecahkan kebuntuan maklumat kepada peserta tentang sejarah, kemajuan dan kehebatan bangsa Melayu. Saya mengharapkan agar program ini tidak berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya harus menjadi satu titik mula kepada siri-siri program pembongkaran sejarah agung Melayu pada masa hadapan”.
Program ini merupakan anjuran Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi (PPBWL) dan mendapat dokongan kuat daripada pihak Kota Mahsuri.
Program ditamatkan dengan sesi jualan buku sejarah terbitan Geroda Press dan sesi bergambar beramai-ramai.
Foto: Zulkifli Hasan