4 Ogos 2023, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Filem Batu Belah Batu Bertangkup, arahan Allahyarham Dato’ Jamil Sulong pada tahun 1959, diterbitkan oleh Malay Film Productions yang menampilkan Aziz Jaafar, Bat Latiff, S. Kadarisman, Rahmah Rahmat, dan Salleh Kamil (semua Allahyarham), serta Zaiton.

Sejak sekian lama kisah batu belah batu bertangkup telah diketahui ramai. Tentu menarik jika ada pihak yang memaparkan kisah ini dalam teater pula. Lebih menarik kalau hanya batu belah sahaja yang dipaparkan, dan menjadi judulnya.

Sebenarnya, telah ada apabila pada tahun 2006, Pertubuhan Teater Hidayah (Hidayah) mementaskan teater purbawara Batu Belah, di bawah arahan pengasasnya, Kamarul AR atau nama sebenar, Haji Kamaruzaman Haji Ibrahim.

Pengarah teater purbawara Batu Belah, Yusry Kamaruzaman.

Selepas kira-kira 17 tahun, Hidayah mengambil keputusan mementaskan semula Batu Belah. Walau bagaimanapun, Kamarul memilih untuk berlakon sahaja. Tugas mengarah diserahkan kepada anak beliau, Yusry, merangkap Presiden Hidayah.

Oleh sebab hanya Batu Belah sebagai judulnya yang membawa maksud tersendiri, tetapi berdasarkan isu semasa, teater purbawara ini tetap relevan dipentaskan sekarang dengan judul serupa.

Dalam sidang media Batu Belah di Saloma Bistro pada 30 Julai lalu, Kamarul sebagai penulis skrip menjelaskan hanya batu belah tanpa bertangkup membawa maksud sesuatu perkara yang berlaku, misalnya dalam sesebuah negeri/negara yang perlu diselesaikan, atau mungkin juga tidak akan selesai.

“Siapa yang akan menyelesaikannya, atau adakah perkara tersebut tak akan selesai masih menjadi persoalan, dan harapan semua orang. Demikian juga keadaan dalam negara sekarang. Tetapi, saya tidak menyebutkan dengan jelas atau merujuk tepat kepada sesiapa,” jelas Kamarul.

Memang menjadi kebiasaan dan antara sifat karya sastera memperkatakan, menegur, mengkritik dan/atau mengupas sesuatu isu/seseorang/pihak tertentu secara kiasan, berlambang, dan bukan terus langsung.

Pangiran Aduka (kiri) sebagai Pekan/Raja Muda Pekan dan Hazzley (Selamat) dalam sebuah babak menarik teater purbawara Batu Belah.

Turut hadir Yusry, serta penyanyi dan pelakon Zack Kool sebagai penampilan khas yang memegang watak Tengku Zulkefli. Menariknya, Zack turut mendendangkan lagu tema Batu Belah dalam sebuah babak bersama-sama Bendahara yang dilakonkan oleh Kamarul.

Menjawab pertanyaan mengapa purbawara, dan bukan bangsawan yang dilihat mirip dengannya, Yusry menjelaskan genre tersebut lebih memberikan kebebasan kepada Hidayah untuk berkreatif.

“Dengan purbawara, kami tidak akan terikat sebagaimana yang perlu dihadapi jika menghasilkan bangsawan. Banyak perkara penting perlu difikirkan, terutamanya kos jika menampilkan penyanyi extra-turn sebagai “syarat” peralihan babak demi babak,” jelas Yusry.

Di samping beberapa orang penyanyi extra-turn, antara ciri bangsawan ialah penampilan prop dan kostum yang berwarna-warni, serta gilang-gemilang, dan bahasa pertuturan yang berirama.

Oleh yang demikian, babak Tengku Zulkefli menyanyi di samping Bendahara dalam Batu Belah ini tidak ganjil atau salah, sehingga boleh dan perlu dipertikai.

Mengenai pementasan Batu Belah yang diadakan ketika orang ramai sedang memberi lebih tumpuan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, Yusry menjelaskan itu di luar kemampuan Hidayah, dan tidak dapat dielakkan.

“Hidayah membuat keputusan mementaskan Batu Belah pada 11, 12 dan 13 Ogos sebelum pengumuman tarikh PRN lagi. Oleh sebab tarikh lain tidak dapat dipilih atau diberikan, Hidayah meneruskan hasrat,” kata Yusry.

Batu Belah mengisahkan sebuah keluarga yang papa kedana. Si ayah telah meninggal dunia, sementara si ibu pula merajuk lari hingga ditelan batu yang terbelah.

Akhirnya, si kakak, Melor (ketika kecil, lakonan Dhaniyah) dan adiknya, Pekan (Yamin Hanif) pergi ke Desa Kerayong, dan dipelihara oleh seorang nenek, Nenek Kerayong (Siti Sarah) hingga dewasa (Melor dewasa dilakonkan oleh Dayang Narinah).

Penampilan khas Zack Kool (kanan) sebagai Tengku Zulkefli yang turut menyanyikan lagu tema Batu Belah dalam sebuah babak bersama-sama Bendahara (kiri) lakonan Kamarul AR.

Setelah dewasa, Pekan (Pangiran Aduka) memiliki seekor ayam jantan. Dia kemudian menaiki takhta sebagai Raja Muda, dan berkahwin dengan seorang puteri jelita, Puteri Mayang Mengurai (Melissa Kelvin).

Namun demikian, dalam dunia yang sementara dan dipinjamkan Allah SWT ini, memang ada pihak yang hasad dengki dan tamak. Mereka merosakkan kestabilan sesebuah negeri atau negara. Dalam Batu Belah, watak sedemikian ialah Datuk Hitam Perkasa (Md. Hussin).

Bagaimana mahu meyakinkan segala yang buruk ada titik akhirnya mungkin sukar. Walau bagaimanapun, Batu Belah mengajak semua kanak-kanak, remaja, para pemimpin keluarga dan pemimpin negara mengambil pengajaran menerusi kisah suka dan dukanya.

Watak lain dalam teater purbawara ini termasuklah Selamat, lakonan Hazzley, Kidam (Shahril Kamil), Waspada Jingga (Dean Sitara), Kesuma (Bella Zulkefli), Bentara (Nazri Ahmad), pengikut-pengikut Datuk Hitam Perkasa (Nazli, Muazzam, Amil), pengawal (Zuree, Abu), dan dayang-dayang (Elysha, Shahira, Radifa, Erina).

Pengarah, penulis skrip, para pelakon dan tenaga penerbitan teater purbawara Batu Belah yang begitu bersemangat.

Batu Belah turut diserikan oleh Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Sultan, serta penampilan khas Lan Zailan (Nujum), Rosli Rahman Adam (Dandang Bistari), dan Roslan Madun (Biduan Syair).

Sidang media Batu Belah turut menampilkan fragmen beberapa babak melibatkan Bendahara, Tengku Zulkefli, Pekan, Selamat, Datuk Panglima Hitam dan pengikut-pengikutnya; Masdor, dan Waspada Jingga.

Batu Belah bakal dipentaskan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam (11 dan 12 Ogos), dan 2.45 petang (13 Ogos), dengan bayaran masuk RM25 seorang, dan setiap pembeli tiket layak menyertai acara cabutan bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.