7 Ogos 2023, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerbit filem “pecah panggung” Dukun (2018) dan Pusaka (2019), Astro Shaw bersama-sama Five Star Trading, dan Kuman Pictures mempersembahkan filem seram terbaharu versi reboot daripada karya yang dianggap sebagai cult classic filem tempatan, Rahsia.

Filem yang diolah sebanyak 70 peratus daripada filem asal ini bakal ditayangkan di 150 buah pawagam seluruh Malaysia, serta Singapura dan Brunei bermula dari 10 Ogos 2023.

Pengarah filem Rahsia versi reboot, Shamyl Othman memohon restu ayahnya terlebih dahulu.

Rahsia yang membawa tagline “Dia Takkan Pergi”, diarahkan oleh Shamyl Othman, anak pengarah filem asal pada tahun 1987, iaitu Othman Hafsham. Sangat dekat dengan naskhah tersebut memberikan Shamyl kelebihan untuk mengarah, serta menghidupkan semula karya yang dianggap sebagai maha karya (Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-7, dan membolot tujuh anugerah lain, termasuk Pengarah Terbaik) ini.

Lakon layar Rahsia 2023 dihasilkan oleh penulis hebat dan pencipta siri popular One Cent Thief, Alfie Palermo dari Astro Shaw Writers’ Room, selepas filem Pusaka, arahan penyunting filem ini, Razaimsyam Rashid.

Antara unsur dan adegan dalam filem asal seperti kereta mainan bergerak sendiri, piano berbunyi tanpa dimainkan, anak patung bernyawa, banglo, adegan-adegan mendebarkan di tepi pantai, dan misteri di sebalik batu masih dikekalkan.

Ini pasti mengujakan para peminat, dan penonton filem asal Rahsia, terbitan Cinematic Sdn. Bhd. Versi reboot ini juga mampu menarik penonton baharu dengan jalan cerita yang disuntik pembaharuan untuk kesesuaian masa kini, serta perkembangan penceritaan yang lebih terperinci, dan beremosi.

Antara kekuatan reboot Rahsia ialah lakonan mantap Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Rashidi Ishak, Nur Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks, serta Nabil Zakaria, di samping penampilan istimewa Susan Lankester, dan Othman sendiri.

Nabila sekali lagi membuktikan kemampuan beliau sebagai pelakon hebat dan bervariasi menerusi watak Ramlah (pelakon asal, Noorkumalasari). Beliau menggerakkan watak tersebut dengan pesona tersendiri, sekali gus mewarnainya.

Pelakon filem Rahsia versi reboot dari kiri, Syed Ali Murtadha, Nur Qistina Raisah, Marsha Milan, Nabila Huda, dan Fikry Ibrahim.

Lebih mantap, Nabila digandingkan dengan Eman, aktor legenda hidup tanah air yang membuat kemunculan semula di layar perak selepas lebih sedekad. Gabungan mereka ternyata mewujudkan keserasian yang mampu meninggalkan kesan di hati penonton.

Fakta menarik dan menjadi rekod, Rahsia merupakan filem pertama Allahyarham Shukery Hashim dan Fikry yang memegang watak Prof. Hamdan, iaitu suami Ramlah.

Selain itu, Rahsia 2023 memperlihatkan penampilan semula Marsha selepas filem 7ujuh (2018), serta Nur Qistina setelah kali terakhir membintangi filem Felina (2019).

Kecuali Eman, dan Rashidi yang masing-masing memegang watak Tan Sri Karim, serta Aloy, dan Mislina, Nabila, Fikry, Marsha, Qistina, dan Syed Ali menghadiri Malam Gala Filem Rahsia di GSC Mid Valley pada 1 Ogos lalu.

Shamyl dan Alfie turut hadir bersama-sama Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara merangkap Penerbit Eksekutif Rahsia, Raja Jastina Raja Arshad, serta Amir Muhammad dari Kuman Pictures. Pameran khas filem Rahsia yang dipamerkan di “Rumah Rahsia” juga diadakan bersempena dengan acara tersebut.

Antara pelakon asal Rahsia, iaitu dari kiri Datuk Yusof Haslam, Fazrideen Fadzil, Ayu Syuhara, dan Noorkumalasari, bersama-sama Othman Hafsham (tengah).

Menariknya, penerbit turut mengundang Othman, dan beberapa orang pelakon asal Rahsia, iaitu Noorkumalasari (Ramlah), Datuk Yusof Haslam Dato’ Karim Salim), Fazrideen Fadzil (Saiful), dan Ayu Syuhara (Marina) sebagai tetamu khas.

Noorkumalasari mengakui beliau terkejut dengan penghasilan semula Rahsia. Walau bagaimanapun, beliau dan yang lain-lain menyatakan rasa teruja, serta berharap para peminat filem Melayu tempatan akan gembira, menerima serta memberikan sokongan padu untuk kejayaan filem Rahsia 2023.

Menurut Raja Jastina, Rahsia dipilih untuk versi reboot kerana selain ia sebuah karya cult classic, jalan ceritanya masih relevan sehingga kini. Rahsia, tambah beliau, ialah sebuah filem hebat yang wajar ditonton oleh semua orang.

“Dalam menghasilkan sebuah filem yang bermutu, kami percaya banyak usaha yang harus dilakukan. Di samping jalan cerita menarik, Rahsia 2023 harus memberikan keseimbangan antara unsur filem Rahsia 1987 dengan suntikan pembaharuan bagi kesesuaian penonton hari ini,” jelas beliau sambil berharap reboot Rahsia dapat memuaskan hati peminat, serta menarik penonton baharu, sekali gus mengulangi fenomena yang pernah dicipta.

Sementara itu, Shamyl berasa lega kerana Rahsia versi reboot akhirnya ke pawagam selepas tiga tahun. Beliau turut memberitahu ayahnya tidak membantah dan memberikan restu pada hasrat menghasilkan semula Rahsia.

“Mengundang dan berbincang dengan Eman Manan memang membuat saya sangat gemuruh. Walau bagaimanapun, sikap profesional dan disiplin tinggi beliau memudahkan segala kerja,” jelas Shamyl yang berharap Rahsia arahan beliau dapat diterima ramai.

Dendangan lagu runut bunyi filem Rahsia, iaitu Alunan Rasa oleh NJWA.

NJWA sebagai penyanyi lagu runut bunyi atau lagu tema Rahsia berjudul Alunan Lara turut hadir mendendangkannya dengan nyanyian yang memukau.

Rahsia 2023 mengisahkan Ramlah, seorang suri rumah tangga pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersempena dengan menyambut ulang tahun kelahiran beliau, bersama-sama suaminya, seorang pensyarah, Prof. Hamdan, serta dua orang anak kecil mereka, Marina (Nur Qistina), dan Saiful (Syed Ali). Namun demikian, keadaan bertukar menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Pihak polis yang diketuai Sarjan (Aloy) yakin Saiful hilang di persisiran pantai, tetapi Ramlah mula diganggu kelibat Saiful di mana-mana. Hal itu turut mengeruhkan hubungan Ramlah-Hamdan.

Seperkara lagi yang menarik, para peminat dan penonton boleh menjadi orang terawal menonton Rahsia 2023 menerusi prebiu awal (sneak preview) bermula 9 Ogos dengan tayangan dari jam 8 malam ke atas.

Selain itu, peraduan filem Rahsia 2023 di platform media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak boleh disertai bermula 10 Ogos 2023 untuk memenangi hadiah eksklusif. Ikuti Broadcast Channel Astro Shaw untuk mendapatkan maklumat, dan kata petunjuk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.