13 Ogos 2023, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suasana meriah di seluruh negara bukan hanya dapat dilihat pada sambutan hari perayaan semata-mata, tetapi juga musim pilihan raya di seluruh negara. Kita dapat melihat suasana yang meriah di enam buah negeri yang  mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Bukan hanya secara fizikal di jalanan tetapi kemeriahan tersebut juga dapat dirasai dalam laman media sosial seperti Facebook, Intagram dan Tik Tok. Warganegara tanpa mengira umur dan golongan, bahkan mereka yang tidak terlibat dalam PRN turut sama memeriahkan suasana musim pilihan raya ini. Keunikan dan kemeriahan musim pilihan raya ini menunjukkan keistimewaan budaya politik negara kita.

Kerancakan dan kemeriahan PRN kali ini mungkin kurang berbanding dengan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu disebabkan oleh pertembungan kali ini hanya melibatkan dua gabungan parti sahaja iaitu Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN). Musim pilihan raya Malaysia bermula sebaik sahaja pengumuman pembubaran Parlimen mahu pun DUN dan semakin meriah ketika pengumuman calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing.

Semasa pengumuman ini, penyokong parti juga turut berhimpun beramai-ramai menyokong senarai calon parti mereka yang bakal bertanding dalam PRN nanti. Pengumuman tersebut juga disiarkan secara langsung di media sosial bukan sahaja oleh parti tersebut tetapi juga media massa dan mendapat tontonan yang tinggi dengan kemeriahan berbalas komen di ruangan yang tersedia.

Kemeriahan musim pilihan raya di negara semakin rancak pada hari penamaan calon dengan semua calon diarak bagaikan pengantin oleh penyokong parti masing-masing. Perarakan calon tersebut juga dimeriahkan dengan bendera parti dan laungan sorakan penyokong masing-masing. Calon yang beragama Islam juga akan tampil segak berbaju Melayu dan berbaju kurung pada hari tersebut.

Sebaik selesai hari penamaan calon, perang bendera parti politik bertanding akan mula dapat dilihat di kawasan yang terlibat dengan pilihan raya. Selain pemasangan bendera parti, suasana turut dimeriahkan dengan pelbagai kain rentang dan poster calon parti yang bertanding. Walau bagaimanapun, perang bendera ini agak kurang meriah dan rancak sebagaimana PRU yang berlangsung pada tahun lepas.

Walaupun ada yang berpendapat bahawa pemasangan bendera dan kain rentang serta penampalan poster ini tidak perlu dibuat semasa berlangsungnya pilihan raya sebagaimana di negara maju yang lain, tetapi sebenarnya inilah yang membezakan budaya pilihan raya di negara kita. Kemeriahan dan keunikan ini juga dapat menarik golongan muda terutamanya di kawasan yang tiada capaian internet untuk mengambil tahu serba sedikit tentang pilihan raya.

Bukan itu sahaja, aktiviti yang dilakukan secara bersama ini juga mampu merapatkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan masyarakat di negara kita. Selain kain rentang, poster dan bendera, pelbagai replika turut dibina oleh penyokong dan petugas parti memeriahkan lagi kehangatan musim pilihan raya di Malaysia.

Walaupun begitu, pemasangan bendera, penampalan poster dan pembinaan replika yang memeriahkan musim pilihan raya ini juga sewajarnya tidak menjurus kepada pembaziran kerana dana tersebut boleh disalurkan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Agama Islam melarang umatnya daripada melakukan pembaziran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Mengundi merupakan tanggungjawab bagi setiap warganegara Malaysia.

Kempen konvensional ketika pilihan raya seperti kempen rumah ke rumah sebenarnya masih relevan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat melihat dan mengenali perwatakan calon dengan lebih dekat berbanding dengan hanya melalui kempen secara dalam talian menerusi laman media sosial semata-mata.

Musim pilihan raya juga dimeriahkan dengan lagu kempen parti masing-masing. Jika dahulu, lagu seperti Marilah Mengundi dendangan Mohd Hashim Shariff atau lebih dikenali sebagai Rocky Din berbentuk umum dan dihasilkan untuk menyeru rakyat agar turun mengundi semasa hari pengundian. Namun begitu, trend terkini menyaksikan parti politik juga dilihat berlumba-lumba menghasilkan lagu untuk menarik para pengundi menyokong parti masing-masing.

Secara tuntasnya, segala bentuk kempen terutamanya yang berbentuk konvensional ini sebenarnya melambangkan keunikan budaya pilihan raya yang ada di negara kita berbanding dengan negara lain. Pelbagai kempen ini juga bukan sahaja menyumbang kepada keunikannya, tetapi turut memeriahkan musim pilihan raya yang berlangsung. Masyarakat Malaysia sebenarnya gemar menyambut sesuatu peristiwa secara meriah dan hal ini juga dilakukan ketika pilihan raya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.