Oleh Raduan Norudin
22 Ogos 2023, 19:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Grafiti sering dikaitkan dengan vandalisme. Memang benar, tetapi harus diingat bahawa ada dua sebab mengapa kumpulan pelukis grafiti melempiaskan “karya” mereka di dinding kota raya. Yang pertama kerana luahan ekspresi, dan kedua untuk mempamerkan nilai estetika.

Luahan ekspresi seperti menconteng secara semberono, walaupun mendatangkan kepuasan peribadi, namun terapi itu tidak kekal lama dalam diri. Sifat manusia itu sendiri tidak menerima sesuatu yang luar norma kehidupan yang murni. Walaupun begitu, “karya” grafiti yang mempamerkan nilai estetika mudah diterima oleh orang ramai.

Karya komersil oleh pelukis grafiti Abdul Rashid (Acit) dan Yaul Acap di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dengan kerjasama Balai Seni Negara dan MOTAC.

Karya jenis ini dihasilkan dengan penuh nilai kesenian. Penghasilannya melalui proses yang profesional, seperti mengkaji warna, material dan hal benda. Lakaran demi lakaran dibuat sebelum turun ke lokasi untuk “berkarya”.

Perkembangan seni grafiti di Malaysia sedang rancak dan mengalami perubahan positif dari semasa ke semasa. Pertambahan bilangan penggiat grafiti yang menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi dapat dilihat melalui bukti yang terpapar di dinding sekitar Kuala Lumpur.

Lahirnya bentuk seni baharu ini memeriahkan lagi suasana seni tampak negara. Ternyata ilmu seni yang dikutip dari Barat masih boleh diaplikasikan di rantau ini dengan syarat imejan tempatan diselitkan dalam setiap penghasilan karya. Ilmu yang dikutip dapat membantu pelukis tempatan memvariasikan karya. Sesuai dengan evolusi pembaharuan dalam kesenian tampak.

Balai Seni Negara Mendokong Seni Grafiti

Balai Seni Negara, pentadbir seni visual utama Malaysia, sejak beberapa tahun lalu telah mengambil inisiatif mendekati kumpulan pelukis grafiti. Program demi program diadakan bersama-sama dengan kumpulan pelukis tersebut.

Buku MAGAD vol 1, 2 dan 3

Baru-baru ini, Balai Seni Negara mengadakan acara khas untuk pelukis grafiti. Sejumlah lebih kurang 200 orang telah hadir dalam acara yang diberi nama Out Of Fame (Writersblock X National Art Gallery). Pada masa yang sama, turut diadakan majlis pelancaran buku MAGAD (Malaysia Graffiti Artist Database) vol: 3.

MAGAD ialah satu usaha oleh Balai Seni Negara mendokumentasikan seni grafiti dan juga penggiatnya yang berbeza etika, praktik dan apresiasi. Penerbitan buku ini membantu menyebarluaskan kefahaman tentang seni grafiti kepada masyarakat umum.

Proses transformasi telah berlaku dalam dunia grafiti. Daripada etika grafiti secara vandalisme kepada satu pembentukan pasaran baharu, menjadikan seni grafiti tidak lagi dilihat dari sudut pandang negatif.

Karya TAD.ZNC di Jelatek menerusi Program Meeting Of Style Malaysia.

Permintaan yang tinggi dalam penghasilan mural grafiti menjadikan para pelukis grafiti dapat menjanakan pendapatan. Pelukis grafiti juga  berusaha memajukan diri dengan menyertai acara seni grafiti di peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

Usaha yang dilakukan oleh Balai Seni Negara haruslah dipuji. Bahkan sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan memikul tanggungjawab bersama meletakkan seni grafiti Malaysia di landasan yang betul.

Dari sudut estetika pula, setiap pelukis grafiti cukup peka dengan hal ini. Mereka cuba sedaya upaya menghasilkan “piece – piece” yang cantik, sedap dipandang mata, mendapat pujian dan penghargaan daripada orang ramai dan rakan-rakan.

Dari kiri: Bone Alfie, Asmoe Roc, Andharas, Ketua Pengarah Balai Seni Negara; Amerrudin Ahmad, Pengerusi My Creative Ventures; YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Katun dan SnakeTwo dalam acara perasmian produk buku MAGAD (Malaysia Graffiti Artist Database)

Namun begitu, seni visual ini memerlukan masa yang agak lama kerana seseorang yang baru berkarya buat pertama kali belum tentu dapat mempamerkan karya-karya unik, cantik dan berestetika. Sesungguhnya perkembangan grafiti di Malaysia masih baharu dan memerlukan usaha banyak pihak  untuk menjadikannya positif dan diterima sebagai cabang seni rupa yang sedang maju.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.