Oleh Jamil Hashim
6 Februari 2024, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Kesejahteraan” merujuk kepada situasi yang tenang, aman, tenteram dan sentosa yang mendatangkan rasa senang dan selesa pada diri manusia. Suasana dan perasaan sebegini sememangnya diingini oleh setiap individu yang berusaha mencarinya untuk kehidupan yang lebih baik.

Perasaan ini juga mampu diungkapkan secara bebas oleh seniman melalui pelbagai hasil karya, termasuk seni cetak, lakaran, lukisan dan catan atas kanvas. Seniman juga berupaya meneroka dan mengungkapkan erti kesejahteraan melalui penghasilan objek seni tiga dimensi yang membuka peluang kepada khalayak untuk bebas menginterpretasikannya  mengikut persepsi masing-masing.

Hal inilah yang berjaya dipaparkan oleh para pelukis yang menyertai Bazar Seni di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Kuala Lumpur baru-baru ini.  Bazar seni yang bertemakan “Apa Khabar?” memberikan peluang kepada seniman muda meneliti erti kesejahteraan dalam diri dan menggabungkannya dengan  unsur alam persekitaran yang dapat menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik.

“Kesejahteran” dipilih sebagai kesinambungan kepada tema “kelestarian” melalui penganjuran bazar yang sama pada tahun 2022.  Bazar pada kali ini merupakan kali kelapan dianjurkan oleh muzium dan galeri seni berkenaan sejak tahun 2016.

Karya Khairanee yang bertajuk Palette of Routine.

Para peserta yang mempunyai latar belakang pendidikan seni di beberapa institusi pengajian awam dan swasta mempamerkan karya yang menepati tema “kesejahteraan” dari pelbagai persepektif. Selain menghasilkan karya dalam bentuk lukisan, pengkarya  juga melakukan pelbagai eksperimen dengan menggabungkan karya yang dilukis dengan objek tiga dimensi.

Sebagai seniman muda, mereka melihat kehijauan dan keseluruhan objek yang  membentuk warna alam dengan corak, merangkumi aktiviti pelbagai jenis haiwan dan manusia, sebagai sumber yang amat bermakna dalam menghasilkan karya dengan gaya tersendiri.

Pelbagai media, termasuk cat, warna air, pensel warna dan akrilik, digunakan untuk menghasilkan karya yang menarik. Setiap karya ini memberikan kesempatan kepada  pengunjung menikmati tema yang menampakkan kepentingan nilai kesejahteraan dalam kehidupan. Ada juga peserta menggunakan teknik animasi dalam karya mereka dengan jalinan cerita yang menggambarkan kegigihan kelompok masyarakat yang cekal berjuang untuk mencapai hidup yang bahagia.

Karya Nasrul Rokes yang bertajuk Thousand Stars 3.

Terdapat juga pengkarya yang turut menggunakan bahan alam dan tumbuhan, seperti ranting, daun dan tanah berlumpur, sebagai media untuk menampilkan karya yang membawa mesej tersendiri tentang kesejahteraan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bank Negara Malaysia, Abdul Rahman Abu Bakar,  walaupun Bank Negara Malaysia berorientasikan fungsi kepada pengurusan perbankan dan kewangan, tetapi bank pusat ini turut menghargai nilai seni dan bakat para pengkarya dengan menyediakan ruang bagi menghidupkan ekonomi seni kreatif tempatan.

Di samping menonjolkan karya pelukis tempatan pelbagai latar pendidikan seni, bazar  ini turut memberikan kesempatan kepada kakitangan Bank Negara Malaysia yang berjiwa seni dan berbakat untuk menampikan kebolehan melalui penghasilan karya kreatif.

Pemerhatian terhadap karya lukisan dan karya lain yang dihasilkan oleh 16 orang seniman muda ini menampakkan keupayaan mereka menghayati dan memaparkan  tema  melalui persepsi dan imaginasi masing-masing. Antaranya termasuklah Lim Tong Xin, Mohamad Farid Sarudin, Dhaksini Jeganathan, Hazimah Harith, Farid Sarudin, Zulaika Simon, Zera Hamzah, Khairanee, Arman Rizaudin, Badrilzzaman Abu, Nasrul Rokes, Amirul Zulkifli, Sok Yeng Leong, Zulhimi Fauzi, Nurfazleen Kasim, dan Herman Rawi.

Karya Lim Tong Xin yang bertajuk Mascot.

Bagi pengunjung pula, menyaksikan karya yang dipamerkan  mampu mencetuskan inspirasi bagi merangsang keupayaan diri untuk menikmati hidup yang bahagia. Di samping itu., sudah pasti kesempatan bertemu dengan pengkarya memberikan kesempatan kepada mereka berkongsi pengalaman tentang cetusan idea dan berupaya mendapat inspirasi daripada karya yang dipamerkan.

Selain pameran karya seni, bazar ini turut membantu memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan masyarakat dengan menjual karya pada harga hingga RM2500. Yang menariknya, ada peminat tertarik membeli hasil karya para pempamer untuk dijadikan hiasan dan koleksi peribadi. Sambutan baik daripada masyarakat merupakan sesuatu yang bermakna kepada seniman muda dan mampu mendorong mereka terus menghasilkan karya yang lebih menarik dan berkualiti.

Di samping pameran, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan untuk pengunjung, antaranya termasuklah bicara seni bersama-sama seniman, demonstrasi dan bengkel menghasilkan karya seni, ceramah kesihatan dan senaman.

Pengarah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, Noreen Zulkepli, berharap agar penganjuran aktiviti ini dapat mendedahkan masyarakat untuk menghayati karya unik yang ditampilkan oleh peserta.  Penghayatan terhadap karya seni ini juga berupaya menjadi terapi yang dapat memberikan ketenangan dan baik untuk kesihatan diri, di samping berupaya memberikan inspirasi untuk hidup yang lebih ceria.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.