Oleh Rasfan Abu Bakar
13 Oktober 2023, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mohd Safwan Mohd Ariffin atau Pauh.

Mohd Safwan Mohd Ariffin atau Pauh merupakan salah seorang kartunis yang masih lagi aktif melukis hingga ke hari ini.  Safwan yang berasal dari Terengganu menyatakan bahawa nama kartunisnya ialah ilham daripada buah pauh. Pauh ialah nama sejenis buah mempelam yang kecil. Buah pauh sangat sinonim dengan penduduk di Pantai Timur dan Perlis. Ketika di kampung, rumahnya dikelilingi dengan pohon tersebut. Oleh hal yang demikian, Safwan menggunakan nama buah tersebut sebagai pengganti nama dirinya.

Sejak kecil lagi Pauh memang minat melukis. Hal ini dikatakan demikian kerana sewaktu kecil dia sering bersendirian di rumah kerana bapanya kerap keluar masuk hospital. Justeru itu bagi memenuhi masa yang terluang, Pauh akan melukis kartun dengan meniru semula buku komik yang dibeli oleh abang dan kakaknya. Bakatnya juga semakin terserlah selepas diasuh oleh guru dan pada setiap tahun, Pauh sering mendapat tempat pertama dalam semua aktiviti seni yang dianjurkan di sekolahnya.

Ketika belajar di MRSM Kota Bahru, Kelantan, Pauh mula berjinak-jinak menghantar lukisan kartunnya ke Majalah Gila-Gila. Waktu itu terdapat satu ruangan khas iaitu “Mekar Gila-Gila” yang dikendalikan oleh seorang kartunis legenda tanah air, Pak Rejabhad. Setiap kali Pauh menghantar lukisannya ke ruangan tersebut, dia sering tertanya-tanya adakah karyanya sampai ke destinasi atau tidak? Apakah reaksi Pak Rejabhad apabila menatap lukisannya? Setelah puas menghantar, akhirnya kartun Pauh telah terpilih untuk disiarkan dalam ruangan tersebut.

Antara karya yang dihasilkan oleh kartunis Pauh.

Kartunnya juga telah diulas oleh Pak Rejabhad dengan ulasan bahawa terdapat kesilapan pada aspek pergerakan karakter iaitu ketika berjalan, tangan dan kaki sepatutnya bergerak secara bersilang. Jika tidak pergerakan tersebut akan menjadi seperti robot.

Pauh seterusnya menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (kini UiTM) di Shah Alam, Selangor. Dia mengambil peluang tersebut untuk pergi ke Studio Gila-Gila yang terletak di Bangsar. Pauh ingin bertemu dengan Pak Rejabhad dan berbual dengannya tentang kartun. Oleh sebab tidak pernah sampai ke Kuala Lumpur, Pauh telah terlajak hingga ke destinasi yang tidak diketahuinya. Setelah itu, Pauh mengambil bas yang lain untuk pergi semula ke studio Gila-Gila. Pada kali ini pula dia tersalah bas dan tiba ke Taman Tun Dr. Ismail.

Pauh mengambil keputusan untuk turun dan di situ Pauh ternampak sebatang jalan yang bernama Lorong Rahim Kajai 12. Nama jalan ini mengingatkan Pauh kepada Majalah Gelihati terbitan Karangkraf. Justeru itu Pauh mengambil keputusan untuk mencari pejabat tersebut dan akhirnya berjaya tiba ke destinasi.

Menurut Pauh, hajatnya untuk pergi ke pejabat majalah Gila-Gila tidak kesampaian sebaliknya takdir telah membawanya ke pejabat majalah Gelihati. Seterusnya tanpa rasa segan silu, Pauh terus masuk ke pejabat Karangkraf dan bertemu pula dengan kartunis YO yang terkenal dengan kartun Kapten Malaysia. Kartunis YO memperkenalkan Pauh kepada editor majalah Gelihati iaitu Namron. Melihat kepada portfolio yang dibawa Pauh, Namron bersetuju untuk menerimanya sebagai pelukis sambilan.

Sewaktu di majalah Gelihati, Pauh belum mempunyai tajuk khusus tentang kartun. Dia hanya melukis secara bebas dan pada suatu hari pihak Gelihati telah memberikan empat muka ruangan khas kepadanya. Langkah tersebut memberikan sedikit tekanan kerana sebelum ini Pauh hanya melukis di ruangan yang ringkas sahaja. Pihak editor kemudiannya mencadangkan agar Pauh melukis kartun berdasarkan kehidupan pelajar di kampus.

Sekali lagi rezeki berpihak kepada Pauh kerana pada waktu itu Stadium Shah Alam telah siap dibina dan akan dirasmikan. Pauh mengambil peluang itu untuk merakam majlis perasmian tersebut dalam ruangan kartunnya yang pertama. Kartunnya mengisahkan seorang pelajar yang hendak menghadiri majlis perasmian pembukaan sebuah stadium.

Karya Pauh sentiasa mencuit hati dan mempunyai mesej yang positif.

Pada penghujung tahun 1999, Pauh meninggalkan Gelihati dan beralih pula ke majalah KO. Majalah ini tidak bertahan lama kerana pembaca sudah kurang membeli akibat ledakan teknologi multimedia.  Menurut Pauh semua produksi penerbitan majalah kartun mengalami masalah yang sama dan era kegemilangan kartun tanah air telah sampai ke penghujungnya.

Bagi meneruskan minat melukis, Pauh kemudiannya menghantar kartunnya ke akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo. Jika sebelum ini idea kartunnya lebih bebas kini Pauh mula melukis berdasarkan isu-isu semasa. Hal ini lebih mencabar kerana Pauh perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini dan menterjemahkannya dalam bentuk kartun yang lebih lucu dan mencuit hati. Kartunnya juga perlu disiapkan lebih pantas agar isunya tidak basi memandangkan keadaan isu semasa yang sentiasa berubah dengan cepat.

Karakter serta suasana dalam karyanya juga lebih bersifat bandar atau subbandar. Penekanan lukisannya juga lebih kepada keadaan kawasan taman perumahan atau apartmen, hiasan dalam rumah yang berperabot moden, kereta, motosikal dan semua hal-hal yang terjadi di kawasan bandar. Pauh tidak melukis berdasarkan memori atau suasana di kampung kerana perkara tersebut berbeza dengan keadaan yang sedang dilaluinya. Pauh juga menjadikan lukisannya sebagai perakam sejarah kerana semua pembangunan yang berlaku seperti pembinaan bangunan pencakar langit, infrastruktur atau apa-apa sahaja akan dilukis dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

Mengakhiri perbualan, Pauh menitipkan pesan buat semua agar sentiasa peka dengan perubahan teknologi kerana zaman telah berubah. Jika dahulu melukis menggunakan pen, pensel mahupun dakwat, kini peralatan tersebut telah bertukar kepada penggunaan pen stylus, tablet, komputer serta pelbagai perisian canggih. Penguasaan teknologi ini akan memberikan satu kelebihan baharu di samping mengekalkan kemahiran tradisi yang sedia ada.

 

Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.