28 Mac 2024, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambil Sungai Perak, Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah, Muzium Diraja Perak (dahulu Istana Kenangan), dan Jambatan Victoria terus menjadi tarikan pelancongan, Bandar Diraja Kuala Kangsar kini mempunyai tarikan terbaharu, iaitu Lorong Kenangan Kuala Kangsar, atau Memory Lane Kuala Kangsar (MLKK).

Sepanjang 150 meter, lorong ini menghimpunkan 40 buah lukisan mural yang menterjemahkan sorotan sejarah kepada masyarakat tentang Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja Negeri Perak.

Lorong Kenangan Kuala Kangsar menyajikan keindahan seni lukisan mural kepada pengunjung.

Semua lukisan mural yang menghiasi belakang deretan 35 buah rumah kedai dari Jalan Shahbandar ke Jalan Laksamana berupaya melonjakkan daerah Kuala Kangsar sebagai destinasi pelancongan berinformasi.

Karya oleh barisan pelukis daripada Lukisan Art Studio itu memaparkan ikon-ikon unik yang sinonim dengan Kuala Kangsar sebagai bandar diraja di Perak.

Antaranya ialah Jambatan Victoria di Karai, Istana Kenangan yang kini Muzium Diraja Perak di Bukit Chandan, Menara Jam Kuala Kangsar di Jalan Daeng Selili, pokok getah tertua di Jalan Tun Razak, Jambatan Sultan Abdul Jalil di Sayong, Masjid Ihsaniah Iskandariah atau Masjid Kuala Dal di Padang Rengas, seni tekat dan pertukangan keris di Padang Changkat serta makanan popular seperti laksa di Lembah Kuala Kangsar dan Talang.

Menariknya, Menara Jam Kuala Kangsar berdekatan dengan Dataran Putra ialah ikon yang paling hampir dengan MLKK.

Selain itu, turut dipaparkan pokok kangsar yang menjadi asal-usul kepada nama Kuala Kangsar, dan bunga rasmi daerah Kuala Kangsar, iaitu bunga tasbih serta kraftangan, seni ukiran khat, ikon sejarah, Jambatan Iskandar yang berhampiran dengan Kampung Jamuan, monumen keris, Pavilion Kuala Kangsar dan Taman Pesisiran Kuala Kangsar.

Pelbagai lukisan ikonik yang menjadi identiti bandar Kuala Kangsar dipaparkan di lorong seni ini.

Lorong Kenangan Kuala Kangsar merupakan projek lukisan mural yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) agar selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah program flagship ke-10 Ekonomi Pengalaman yang bermatlamat menyemarakkan warisan di negeri ini, dan Tahun Melawat Perak 2024.

Dilaporkan bahawa Perak menyasarkan kemasukan lapan juta orang pelancong domestik mengunjunginya bersempena dengan kempen tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee, angka tersebut optimis dapat dicapai selaras dengan proses pemulihan selepas pandemik COVID-19, dengan program menarik yang ditawarkan di lokasi pelancongan negeri ini.

Untuk menjadikan MLKK lebih berkesan, MPKK akan melakukan pelbagai usaha, termasuklah pemasangan kod QR pada lukisan tersebut dalam masa terdekat, agar pelancong boleh mengimbas, seterusnya mendapatkan maklumat terperinci mengenai sesebuah mural tersebut, selain bergambar kenangan-kenangan, dan turut menceriakan landskap bandar diraja.

MPKK juga akan menggunakan dwibahasa bagi paparan maklumat lukisan mural, serta meletakkan lampu bagi tujuan keselamatan, dan pengindahan.

Dengan demikian, MLKK juga merupakan lorong ikon di Kuala Kangsar. Maklumat yang disediakan menjadikannya satu daripada lokasi pembelajaran luar bilik darjah, terutama bagi pelajar sekolah.

Lukisan Jambatan Iskandar yang merupakan jambatan besi pertama di Malaysia.

Pada masa ini, orang ramai yang mengunjungi Kuala Kangsar boleh melihat sendiri tahun sesuatu ikon tersebut siap dibina. Sebagai contoh, terdapat tulisan tahun 1900 pada lukisan Jambatan Victoria.

Dimulakan pada Oktober 2023, kesemua lukisan mural MLKK siap dua bulan kemudian, dan mula menarik perhatian orang ramai pada bulan Januari lalu.

Walau bagaimanapun, tiada erti jika tempat yang indah ini dibiarkan sepi, dan hanya sekadar menjadi tempat pengunjung bergambar semata-mata.

Lukisan Menara Jam Kuala Kangsar.

Justeru, penulis bersetuju dengan pendapat atau cadangan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Encik Nor Hisham Zulkiflee agar MLKK diberikan nilai tambah dengan pengisian aktiviti bulanan berbentuk seni kebudayaan dan kesusasteraan.

Antara yang penulis fikir sesuai ialah karnival kebudayaan atau acara puisi. Acara kebudayaan merangkumi seni mempertahan diri tradisional, permainan tradisional, busana tradisional, makanan tradisional dan sebagainya boleh dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perak; dan Majlis Kebudayaan Daerah Kuala Kangar, atau pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Busana Melayu Kuala Kangsar, Persatuan Gabungan Seni Persilatan Kuala Kangsar, Persatuan Wau dan Kesenian Kuala Kangsar, dan Bendang Kering Art Studio.

Acara kesusasteraan seperti baca puisi boleh dianjurkan oleh NGO yang bergiat aktif di Kuala Kangsar, iaitu Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak.

Suasana Lorong Kenangan Kuala Kangsar pada waktu malam.

Namun demikian, penulis berpendapat bahawa cadangan Nor Hisham agar turut diadakan pasar karat tidak sesuai. Penulis tidak bersetuju kerana kegiatan perniagaan sedemikian dan lain-lain akan mengganggu suasana MLKK yang pasti menarik minat pengunjung untuk bergambar di sisi mural-mural berkenaan.

Tinjauan penulis pada waktu malam baru-baru ini mendapati ada yang berniaga makanan dan minuman ringan, dengan menyediakan kerusi dan meja. Penulis bimbang lebih banyak lagi peniaga sedemikian akan muncul jika tidak dicegah. Kewujudan kegiatan sedemikian akan menghalang pengunjung mengambil gambar atau bergambar di situ. Diharap pihak MPKK dapat melihat perkara ini, dan segera mengatasinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.