22 Ogos 2023, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah pencegahan termasuk mengadakan pelbagai program kesedaran dan aktiviti gotong-royong bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes dan peningkatan kes demam denggi di negara ini. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan setakat ini pada tahun 2023 berbanding 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

Pelajar bersama-sama dengan komuniti membersihkan kawasan Kampung Kubang Badak.

Oleh hal yang demikian, Program Gotong-royong UMT Perangi Aedes Bersama Komuniti Kampung Kubang Badak telah diadakan pada 18 Ogos 2023 dan merupakan antara program yang telah dijayakan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus. Sebanyak 150 orang peserta terlibat termasuklah pelajar kolej kediaman, pelajar Diploma dan Asasi STEM UMT bersama-sama komuniti Kampung Kubang Badak, Kuala Nerus.

Menurut Pengarah PKU, Dr Arnie A. Rahim, aktiviti gotong-royong diadakan di sekitar kolej kediaman dan Kampung Kubang Badak. Kumpulan pelajar bergerak secara berkumpulan dan memulakan aktiviti Xplorace Cari dan Musnah Tempat Pembiakan Aedes. Sampah-sarap turut dikumpulkan dan ditimbang untuk menentukan jumlah merit yang diperoleh dari setiap kumpulan yang terlibat. Kumpulan yang mempunyai jumlah sampah yang paling tinggi akan mendapat tempat pertama bagi kategori yang dipertandingkan.

Program pemeriksaan kesihatan untuk komuniti turut diadakan sempena Program Gotong-royong UMT Perangi Aedes Bersama Komuniti Kampung Kubang Badak.

“Kita sering dengar keluhan dalam masyarakat yang kurang kesedaran untuk memberi kerjasama ketika aktiviti semburan kabus oleh pihak berkenaan atas pelbagai alasan. Namun, pembiakan nyamuk Aedes berpunca daripada kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai cara menangani nyamuk Aedes,” ujar Dr. Arnie ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Tambah beliau, program sebegini perlu diadakan dari semasa ke semasa dengan pelibatan semua pihak sebagai usaha memerangi wabak denggi yang membahayakan dan mampu meragut nyawa. Masyarakat seharusnya berwaspada dan sentiasa peka dengan penularan wabak tersebut.

Program Pencegahan Denggi seperti Perangi Aedes yang diadakan setiap tahun telah banyak membantu dalam mencegah wabak penyakit seperti wabak denggi di kawasan kampus UMT mahupun kawasan sekitar luar kampus khususnya di daerah Kuala Nerus.

Pelajar giat membersihkan kawasan dalam program gotong-royong yang diadakan.

Dr. Arnie turut menambah bahawa telah menjadi keutamaan dan tanggungjawab UMT dalam usaha menyebarkan kempen amalan kebersihan bukan hanya kebersihan diri, malah kebersihan alam sekitar sekali gus usaha ini memberi kesedaran tentang punca dan kesan bahayanya denggi kepada masyarakat. Selain itu, perkara tersebut dapat menerapkan elemen rasa tanggungjawab kepada pelajar dan komuniti untuk menjaga kebersihan kawasan kediaman masing-masing.

Semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan persekitaran ruang. Program gotong-royong di kawasan taman perumahan harus dilaksanakan dengan lebih kerap agar usaha mengurangkan jangkitan dan penularan jangkitan penyakit dapat dicapai dan seterusnya dapat mencegah peningkatan jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi.

Warga UMT yang terlibat dalam Program Gotong-royong UMT Perangi Aedes Bersama Komuniti Kampung Kubang Badak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.