Oleh Jamil Hashim
24 Ogos 2023, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia mengambil inisiatif mengajak masyarakat mengimbau kemasyhuran dan kegemilangan persembahan wayang kulit Melayu zaman silam melalui pameran Gerak Bayang mulai 19 Ogos 2023 hingga 28 Januari 2024.

Pameran ini turut menampilkan bentuk sebenar panggung wang kulit lengkap dengan layar putih untuk memaparkan patung yang digerakkan oleh dalang.  Selain menggerakkan aksi patung,  dalang sebagai tukang cerita juga mampu menampilkan pelbagai suara mengungkapkan bicara mengikut watak.

Bagi menjayakan persembahan ini, Che Mohd. Nasir Yusoff sebagai tokoh dan adiguru wayang kulit dari Kelantan menunjukkan aksi menariknya sebagai dalang bersama kumpulan muziknya yang menggunakan geduk, gedombak dan serunai.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan ciptaan, motif dan inovasi reka bentuk pelbagai watak patung wayang kulit tempatan dan serantau hasil ekspresi beberapa orang pencipta.

Berucap merasmikannya,  Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menyifatkan pameran Gerak Bayang selama enam bulan ini sebagai satu sumbangan penting bank pusat itu kepada masyarakat dalam menghargai dan memelihara khazanah warisan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.