31 Ogos 2023, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun ini Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-66. Setelah sekian lama negara kita merdeka, isu perpaduan masih lagi menjadi isu yang acap kali diperkatakan. Dalam hal ini, kerencaman kaum, budaya dan agama yang ada di Malaysia memerlukan kesepaduan yang erat dalam masyarakat sebagai kunci kelangsungan keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Kerajaan telah merangka pelbagai dasar termasuklah Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 pada tahun 2021 bagi menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dengan mengangkat konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Perpaduan dalam kepelbagaian secara umumnya merujuk kepada rasa kesatuan yang merentas pemisahan fizikal dan psikologi serta cara manusia mengurus dan menyusun perbezaan sosial. Sebenarnya bukan Malaysia sahaja yang mengangkat konsep perpaduan dalam kepelbagaian ini, tetapi banyak negara dan organisasi menggunakannya dalam usaha untuk mewujudkan kesepaduan.

Sebagai contohnya, House of Blues, syarikat muzik blues dan jazz yang menggunakan “unity in diversity” sebagai cogan katanya dan “In varietate Concordia pula diangkat sebagai cogan kata Kesatuan Eropah pada tahun 2005. Hal ini membuktikan banyak pihak yang sedar bahawa mereka perlu hidup bersama-sama, menerima perbezaan yang ada serta menguruskannya sebaik mungkin agar dapat hidup dengan aman.

Kepelbagaian yang ada di Malaysia merupakan antara ciri unik yang menggamit kedatangan para pelancong dari serata dunia. “Malaysia Truly Asia” yang dijadikan sebagai slogan kempen bagi mempromosikan kepelbagaian yang ada di Malaysia merupakan antara kempen paling berjaya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Khairul Ashraf Muhamad dalam tulisannya bertajuk Malaysia Truly Asia menyatakan kepelbagaian yang ada di negara Malaysia menjadi tarikan utama bagi pelancong Eropah yang mahukan kepelbagaian, destinasi “one stop centre” juga “semua dalam satu” yang pastinya dilihat wujud dalam kempen tersebut. Kempen ini memperkukuh persepsi popular mengenai kepelbagaian negara kita kepada masyarakat luar. Bahkan, kempen ini juga berjaya meningkatkan statistik kedatangan pelancongan yang tinggi iaitu 46 peratus pada tahun pertama dilancarkan.

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama, kita tidak dapat mengelak daripada isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan, ditambah pula dengan kebebasan bersuara melalui media sosial yang capaiannya semakin meningkat dari hari ke hari.

Sebenarnya, hubungan dan perpaduan antara kaum di negara ini telah bertambah baik berdasarkan dapatan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2.0 yang dijalankan pada tahun lalu iaitu pencapaian pada nilai 0.629 yang membawa maksud kesepaduan nasional negara berada pada tahap sederhana dan terkawal .

Walau bagaimanapun, hakikatnya perpaduan di negara ini perlu diurus dengan baik kerana masih terdapat cabaran seperti faktor globalisasi, perkembangan teknologi, akses kepada maklumat serta penggunaan media sosial secara meluas yang boleh menggugatnya.

Dapatan IPNas 2.0 menunjukkan etos bangsa dilihat sebagai satu faktor penting yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional di negara kita. Usaha bagi meningkatkan jati diri rakyat di bawah etos bangsa hendaklah sentiasa dilaksanakan walaupun hubungan sosial rentas etnik merupakan antara ruang utama yang perlu diperkukuhkan.

Oleh hal yang demikian, dalam usaha untuk terus mengukuhkan perpaduan di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum, kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara telah membangunkan kerangka membangun Malaysia MADANI melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian dengan fokus utama iaitu kebudayaan dan kemasyarakatan pada Mac lalu. Kerangka ini merupakan usaha penyatupaduan yang berterusan bagi mendidik, membentuk peribadi dan tingkah laku masyarakat Malaysia yang berjiwa ihsan, peduli serta meraikan kepelbagaian.

Sebaik sahaja dibangunkan, Kementerian Perpaduan Negara telah menjalankan pelbagai program termasuklah Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani yang matlamatnya adalah untuk menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI dalam kalangan masyarakat.

Kembara ini akan menelusuri ke seluruh pelosok negara dan bertindak melalui pendekatan berfokus kepada pencapaian matlamat Malaysia MADANI dengan mendepani serta mengurus isu dan cabaran yang boleh menggugat perpaduan. Program tersebut yang diperkenalkan di bawah Agenda Perpaduan Nasional memayungi tiga kluster program yang berpaksikan kepada objektif dan teras dasar perpaduan negara iaitu patriotisme dan demokrasi, identiti nasional dan ekosistem perpaduan melalui penglibatan dan kerjasama semua pihak. Tiga kluster program tersebut ialah semarak kenegaraan, semarak perpaduan dan komuniti Rahmah.

Kerajaan juga sangat komited untuk terus menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat dengan memperuntukkan sejumlah RM50 juta menerusi Belanjawan 2023 bagi menggerakkan pelbagai program ke arah meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Antara tiga kluster ini, kluster semarak perpaduan mempunyai program menarik yang dilihat mampu menyuburkan dan meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, seperti Sambutan Minggu Perpaduan (SMP), Showcase Rumah KAMI, Program Ini Warisan Kita dan Galeri UNITI Malaysia. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Zulkifl Hashim, SMP ialah usaha penyatupaduan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, serta meraikan kepelbagaian.

SMP 2023 yang telah diadakan di 16 buah lokasi berbeza dari 20 Mei hingga 28 Mei lalu membawa tema “Perpaduan dalam Kepelbagaian” telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Semasa sambutan tersebut, Kementerian Perpaduan telah dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi dua kategori sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2023 iaitu peserta paling ramai memakai pakaian etnik dalam satu program dan penyertaan kumpulan etnik paling banyak dalam pameran kebudayaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago anak Dagang menyatakan pengiktirafan rekod bagi kedua-dua kategori ini bukanlah hanya sekadar untuk mendapatkan sijil semata-mata tetapi juga bagi membuktikan keakraban, keharmonian dan jalinan perpaduan yang sangat utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Program Ini Warisan Kita pula ialah usaha kerajaan untuk melestarikan perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Hal ini demikian kerana masyarakat dilihat masih kurang memahami adat resam dan budaya kaum dan etnik lain sehingga tularnya dua buah video yang mempersendakan makanan dan pakaian tradisi etnik lain beberapa tahun lepas.

Program yang bertemakan “Melestarikan Perpaduan” ini mempunyai pelbagai pengisian menarik. dan yang paling utamanya pameran rumah etnik seperti Chetti, Baba Nyonya, Siam, Mah Meri dan Portugis. Setiap pameran rumah etnik ini pula menampilkan kepelbagaian aktiviti kepada para pengunjung seperti seni tari, busana, makanan tradisi dan hasil kraf tangan. Para pengunjung yang hadir dalam program tersebut berpeluang untuk mencuba pakaian tradisional setiap etnik yang ada.

Sebagai kesimpulannya, diharapkan program-program ini dapat meningkatkan lagi kefahaman masyarakat tentang keunikan kepelbagaian kaum dan etnik di negara kita yang seterusnya mampu mengukuhkan lagi semangat perpaduan. Kepelbagaian yang ada di negara kita amat unik dan menjadi kekuatan negara jika masyarakat memahami dan menerimanya.

Perpaduan dalam kepelbagaian ke arah integrasi nasional mampu dicapai jika kita sebagai warganegara Malaysia mampu meraikan kerencaman budaya yang ada dengan ikhlas dan berlapang dada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.