Oleh Izzat Isa
6 September 2023, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pada 1 September hingga 4 September lalu, telah berlangsung Langkawi Writers’ Festival edisi yang kedua. Untuk edisi kali ini, skop perbincangan dan aktiviti diperluaskan, termasuklah lokasi acara yang diatur di beberapa lokasi berbeza di sekitar Langkawi antaranya di Panggung Seni Kota Mahsuri, Royal Langkawi Yacht Club, Ngopi Pantai di Pantai Tengah dan Pulau Pasir.

Acara wajib seperti slot bual bicara telah diadakan seperti bicara buku penulis utara berjudul Airmata Permana oleh Dr. Husaini Husin, Sanusi Din dan Dr. Mohamed Nazreen Shahrul Hamid. Turut diadakan ialah acara bicara sastera bertajuk Kekuatan Teks dan Penggabungjalinan Karya Sastera dalam telefilem Jabat Erat-erat dengan dibarisi oleh Dr. Mohamad Shaidan sebagai moderator, Wan Afzam Wan Daud, E-Pian a/l Pro Paul dan Dr. Hanafi Ibrahim sebagai ahli panel.

Manakala sesi bicara penglipur lara moden telah mempertemukan pakar orthopedik Dr. Hyzan Mohd Yusuf dan pengarah filem U-Wei Haji Saari dengan menyentuh topik “War, Resilience, Hope” dan “Deep Fakes in Modern Cinema”.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari pula telah menyampaikan ucapan bertajuk Puisi Berimpak Tinggi: Seni, Pemikiran dan Identiti, diikuti forum Tradisi dan Kesinambungan oleh Faisol Devo dan Akma Suriati Awang dan acara terakhir iaitu bicara karya orang Langkawi oleh Muhammad Izzat Md Isa dengan tajuknya Komuniti Kosmopolitan dalam Teater Jikey.

Tidak ketinggalan, sesi bertemu penulis telah diisi oleh Prof. Lee Su Kim (penulis antologi cerpen Kebaya Tales) dan Rose Gan (penulis novel Dragon) dengan memfokuskan topik Kraf dalam Penulisan. Slot ini dikendalikan oleh Leslie Lim.

Selain slot berbentuk bual bicara dan forum, festival ini juga turut menganjurkan aktiviti seperti sesi bacaan buku, senaman minda, bengkel penulisan puisi kanak-kanak, bengkel unjuran suara, diskusi dan tayangan filem Kelab Rojak, tayangan filem Filipina berjudul The Baseball Player dan tayangan telefilem Jabat Erat-erat secara wayang pacak.

Pada hari kedua, telah diadakan persembahan deklamasi puisi oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) terdiri daripada Nur Ameera Nabila Azmi, Zalina Ahmad, Farahida Camelia Fadzil, Syamilhakim Ahmad Sukri dan Nashitah Saad @ Haron.

Deklamasi puisi telah menjadi sebahagian daripada aktiviti santai, dilangsungkan sama ada di dalam dewan mahupun di tepi pantai, termasuklah pada aktiviti terakhir di Pulau Pasir. Keharmonian program ini terjalin melalui aktiviti secara plein air antara bidang puisi dan seni yang melibatkan penyertaan oleh Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) serta Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA).

Festival ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin yang turut disaksikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Langkawi Tuan Haji Zulkifli Abdullah, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi Encik Muhammad Hazrin Abdul Malek, Adun Ayer Hangat Shamsilah Siru, pengarah festival Morne Hashim dan beberapa orang kenamaan lain.

Festival ini dianjurkan oleh Morne Art Gallery dengan kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dewan Bahasa dan Budaya (DBP) dan Pansing. Festival ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang tokoh seni negara antaranya pengarah U-Wei Haji Saari, pelakon Mubarak Majid, aktivis teater Amran Nasruddin, Zakaria Ariffin dan ramai lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.