Oleh Hasni Jamali
13 September 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Istana Budaya menjuarai Pertandingan Bicara Berirama Bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) 2023 di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC.

Kumpulan Istana Budaya menjuarai Pertandingan Bicara Berirama bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat MOTAC.

Pertandingan ini merupakan salah satu pengisian kegiatan Dekad Bahasa Kebangsaan yang bertujuan untuk menanam sikap cinta dan megah bahasa akan bahasa kebangsaan dalam kalangan warga MOTAC.

YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha MOTAC, ketika berucap merasmikan Program Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat MOTAC.

Selain Pertandingan Bicara Berirama, warga yang hadir turut disegarkan melalui Belajar Bahasa bersama-sama Cikgu Zack Kirana, persembahan khas termasuklah dendangan syair dari Kumpulan Seni JKKN, persembahan koir daripada Permata Seni Koir dan Permata Seni Tari, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan pameran produk daripada pelbagai agensi dan jualan.

YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha, MOTAC dalam ucapan perasmian berkata, “Dekad Bahasa Kebangsaan dapat mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan malah galakan kerajaan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam sebarang forum memperlihatkan kesungguhan tersebut. Hal ini merangkumi program bersifat kebudayaan, akademik, ekonomi, sosial dan bidang-bidang lain.”

Peserta bersaing menyampaikan tema Bahasa Jiwa Bangsa dalam Pertandingan Bicara Berirama.

Pelibatan DBP dalam penganjuran bersama Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat MOTAC ini sungguh bermakna demi kelangsungan dan kemajuan penggunaan bahasa kebangsaan khususnya dalam kalangan warga kementerian agar dapat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Encik Rahimi Arifin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC dan Pengurusan Tertinggi MOTAC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.