14 September 2023, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagaimanakah peluang kerjaya dalam bidang seni ini? Demikianlah soalan popular yang acap kali ditanyakan dan diterima oleh Pasukan Seni Jerayawara, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia setelah program ini dihidupkan semula selepas tiga tahun terhenti akibat penularan virus COVID-19.

Program jerayawara ini dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai bidang pengajian seni yang ditawarkan pada peringkat ijazah sarjana muda di universiti-universiti tempatan, selain menerangkan aspek kepentingan bidang seni serta peranannya dalam kehidupan. Melalui program jerayawara ini, peserta berpeluang untuk memperoleh ilmu pengetahuan asas tentang seni halus, grafik, media baharu, produk, muzik, drama, lakonan dan juga bidang pengarahan.

Dr. Mohamad Khizal Saat, Timbalan Dekan Akademik dan Jaringan Industri, Pusat Pengajian Seni, USM.

“Siri perkongsian maklumat dan ilmu tentang seni perlu dilakukan dari peringkat akar umbi, khususnya bagi menyambung maklumat sedia ada daripada sistem pendidikan di peringkat sekolah kepada tatacara kemasukan ke pusat pengajian seni di mana-mana universiti tempatan,” kata Dr. Mohamad Khizal Saat yang merupakan pengarah program dan juga Timbalan Dekan Akademik dan Jaringan Industri, Pusat Pengajian Seni, USM.

Tambah beliau, program sebegini juga akan merapatkan hubungan dua hala antara sekolah dengan pusat pengajian seni dalam memberikan input berkaitan dengan kesenian daripada perspektif pengajian tinggi. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan agar minat belajar di peringkat tinggi dapat diraikan, disambut dan diberi pencerahan yang tepat.

Fenomena konflik kefahaman dan penerimaan sering berlaku dalam kalangan ibu bapa dan juga guru-guru di peringkat sekolah. Ada sebahagian daripada mereka menganggap bidang seni tidak mempunyai masa depan yang terjamin. Kini, sektor pendidikan negara telah pun dicerakinkan agar bergerak seiring dengan kemajuan dan teknologi.

Oleh sebab itu, setiap pelajar yang berminat harus diberikan peluang supaya dapat mengikuti pengajian di peringkat tinggi tanpa sebarang sikap prejudis terhadap nilai-nilai yang berteraskan kepada aspek kewangan semata-mata.

Program Jerayawara Seni di Sekolah Menengah Sultan Yussuf Batu Gajah, Perak.

Perkara pertama yang perlu difahami dengan adil ialah institut pengajian tinggi merupakan pelantar transformasi ilmu pengetahuan yang berkualiti mengikut aras serta laras yang telah ditetapkan oleh badan-badan yang diiktiraf, seperti MQA. Maka segala komponen kemahiran dan pengkhususan bidang akan diarahkan agar seiring dengan kehendak dan keperluan pelbagai sektor ekonomi negara.

Berdasarkan rekod penilaian kebolehpasaran graduan (GE) yang telah dilakukan dari tahun 2018 hingga tahun 2021 menunjukkan bahawa para graduan pengajian seni memperoleh pekerjaan dalam sektor kerajaan, swasta, badan berkanun, NGO dan juga syarikat multinasional. Berpandukan data ini, hampir 90% orang graduan telah mempunyai pekerjaan dan berpendapatan.

Dengan itu, tidak seharusnya lagi timbul isu berkaitan peluang kerjaya apabila seseorang pelajar itu ingin meneruskan pengajian dalam bidang seni, cuma kebarangkalian pendedahan dan pengetahuan mereka tentang hal ini tidak dicakna secara tuntas, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa tentang peluang kerjaya pada masa hadapan.

Dr. Norshahidan Mohamad, Pensyarah Bahagian Seni Halus menerangkan perihal kualiti portfolio lukisan kepada pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Sultan Yussuf Batu Gajah, Perak.

Naratif dunia seni amat berpotensi dalam sektor keusahawanan kreatif berasaskan teknologi dalam pelbagai dimensi. Seiring dengan dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan, seperti Dasar Pembangunan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (2015), Dasar Keusahawanan Nasional (2019) dan peluang inisiatif daripada Tunas Usahawan Belia Bumiputera oleh SME Corp, MARA dan sebagainya, dalam menyediakan kemudahan kewangan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para graduan seni.

Tambahan pula, bidang seni ini amat berpotensi dalam melahirkan insan yang berkemahiran, berdaya saing, berinovasi dan kreatif bagi memacu idea-idea ke arah penjanaan ekonomi, seperti penubuhan syarikat perkhidmatan servis rekaan, grafik, laman sesawang, interface (antara muka), aplikasi mudah alih, produk, artis ilustrasi buku, majalah, artis bebas, pereka set, ahli fotografi, pelukis profesional, penulis, pemuzik, pereka animasi, pereka iklan di samping sektor majikan, seperti pengurusan galeri, muzium, guru, pensyarah, pengarah seni, pengarah program televisyen, filem dan sebagainya.

Dengan kata lain, bidang seni kini merentas pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, menunjangi daya intelek dan sentiasa diperlukan dalam setiap medium keperluan manusia. Seni boleh berkolaborasi dalam bidang sains dan teknologi dalam hal estetika dan rekaan dunia maya. Contoh yang lain adalah dalam bidang pemasaran, seni diperlukan untuk idea-idea pembungkusan dan penjenamaan produk.

Dr. Andika Aziz Hussin, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Seni dan juga pengiat teater dalam sesi perkongsian ilmu bidang seni di Sekolah Menengah Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah.

Bidang pelaburan nilai sinonim dengan urusan jual beli lukisan berkualiti sebagai aset pemilikan. Hal ini juga dapat diperhatikan dalam bidang penerbitan buku, ahli seni diperlukan bagi urusan rekaan kandungan grafik selain pelukis ilustrasi. Sementara itu, bidang penerbitan program televisyen pula memerlukan tenaga produksi seperti pereka set, penulis skrip drama, pelakon dan pemuzik.

Kelangsungan adat warisan dan budaya tempatan turut melibatkan sentuhan ilham daripada karyawan seni. Contohnya, sektor pemuziuman dengan tadbir urus penyusunan, pemuliharaan dan persembahan perlu sentiasa segar dari semasa ke semasa, seperti dokumentasi berinteraktif, 3D projection mapping dan banyak lagi dalam lingkungannya.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.