24 September 2023, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap negeri di Malaysia mempunyai makanan ikonik tersendiri. Kepelbagaian etnik dan budaya menambahkan lagi kerencaman makanan, yang akhirnya diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Satu daripada makanan yang pastinya menjadi santapan tanpa mengira etnik di negara ini ialah kuetiau.

Kuetiau merupakan ejenis makanan yang diperbuat daripada tepung beras, berupa bentuk leper, panjang dan berwarna putih. Kuetiau merupakan sajian yang berasal dari China. Makanan tersebut menjadi popular di rantau Asia Tenggara, khususnya Malaysia, selepas imigrasi etnik Cina secara besar-besaran yang bermula pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Komuniti Hokkien kebanyakannya tinggal di Pulau Pinang, Kantonis pula tinggal di Kuala Lumpur, dan kumpulan yang bertutur dialek Mandarin berada di selatan Johor. Di Sarawak, terdapat kumpulan dialek Foochow, Hakka, Hokkien, Teochew, Hainan dan Puxian Min. Manakala di Sabah pula, kebanyakan etnik Cina bertutur dialek Hakka. Penduduk Cina di Tanah Melayu pada tahun 1901 berjumlah 583 396 orang dan 914 143 orang pada tahun 1911.

Pada tahun 1921, masyarakat Hokkien yang terdiri daripada peniaga dan pekedai seramai 380 656 orang, Kantonis yang terdiri daripada pelombong dan tukang mahir seperti tukang besi, kayu dan kasut seramai 332 307 orang, Hakka pula sebanyak 218 139 orang yang rata-ratanya bekerja sebagai pelombong. Masyarakat Teochew seramai 130 231 orang terdiri daripada pekedai dan peladang yang membuka ladang tebu di Pulau Pinang serta gambir dan lada hitam di Johor, dan masyarakat Hailam berjumlah 68 393 orang yang terdiri daripada pekedai makanan dan pembekal keperluan domestik.

Pada tahun 2022, jumlah keseluruhan masyarakat Cina seramai 6 885 600 orang menjadikan kumpulan etnik ini kedua terbesar di Malaysia. Populasi etnik Cina di Malaysia juga merupakan yang ketiga terbesar di luar negara China selepas Thailand (7 010 000 orang) dan Indonesia (10 880 000 orang).

Chao guotiao atau kuetiau goreng.

Char kuetiau atau chao guotiao dalam dialek Mandarin bermaksud kuetiau goreng. Chau gwai diu merupakan panggilan dalam dialek Kantonis. Dalam dialek Hokkien, char bermaksud goreng. Oleh sebab itu, char kuetiau merupakan sajian yang dimasak secara goreng. Walaupun nama makanan tersebut dalam dialek Hokkien, namun mempunyai kaitan dengan komuniti Teochew yang berasal dari Chaozhou di wilayah Guangdong, China.

Komuniti Teochew dan Hokkien yang berasal dari Guangdong dan Fujian datang ke Pulau Pinang pada abad ke-19  memperkenalkan makanan tersebut di negara ini. Kemudiannya, komuniti Kantonis, Hakka dan Hainan turut datang ke Pulau Pinang. Jumlah etnik Cina yang datang ke Pulau Pinang pada tahun 1881 adalah berjumlah 42 056 orang.

Char kuetiau biasanya digoreng dengan kicap, lemak babi, sosej Cina, bawang putih, tauge, telur ayam atau itik, kek ikan, kerang, ketam, sotong, udang dan sayur-sayuran. Terdapat juga daging lembu dan ayam dalam ramuan char kuetiau. Apabila makanan char kuetiau diterima oleh masyarakat Melayu beragama Islam, ramuan yang tidak halal disesuaikan dengan yang halal.

Sebagai contohnya, lemak babi yang digunakan untuk menggoreng kuetiau digantikan dengan minyak masak sawit. Selain digoreng kering, terdapat juga kuetiau basah atau berkuah, antaranya termasuklah kuetiau kungfu, kuetiau ladna, kuetiau kantonis, kuetiau daging halia, kuetiau sup bebola ikan, kuetiau theng dan kuetiau hailam.

Kuetiau menjadi makanan pilihan masyarakat di warung dan kedai makan.

Jika dilihat pada menu makanan di kedai makan atau restoran, didapati bahawa perkataan kuetiau dieja dengan pelbagai ejaan. Antaranya termasuklah kuetiao, kue tiaw, koay teow, koew teow, koe tiau, kuey teow, kuew tiyau, kway teow, koay tiau, kueh tiew, kueh tiaw, kuey tiao, kuay tiaw, kwe tiau, kwe tiaw dan kuew tiaw.

Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyeragamkan ejaan makanan popular itu dengan memilih perkataan kuetiau. Penyeragaman perkataan kuetiau memudahkan para peniaga untuk meletakkan nama makanan tersebut dalam menu dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan.

Kuetiau yang merupakan makanan “ruji” masyarakat Cina, kini  diterima oleh semua etnik di negara ini sebagai santapan yang pasti ada dalam menu makanan. Hal ini termasuklah di warung, restoran, kedai mamak, pasar malam, bazar Ramadan, majlis perkahwinan, kenduri dan rumah terbuka setiap perayaan. Kuetiau kini dimasak, dijual dan dimakan oleh pelbagai etnik sehingga wujud pelbagai variasi, seperti kuetiau goreng mamak. Hal ini menunjukkan bahawa kuetiau menjadi sebahagian daripada budaya makanan rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.