2 Oktober 2023, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kekayaan adat dan budaya yang tersendiri dan salah satu daripada adat tersebut ialah penggunaan tepak sirih. Tepak sirih mempunyai peranan penting dalam kehidupan harian masyarakat pada suatu ketika dahulu kerana sirih dijadikan sebagai makanan dan dikatakan hampir setiap rumah mempunyai tepak sirih. Namun begitu, peredaran masa  mengubah penggunaan tepak sirih yang kini hanya terhad kepada acara dan istiadat tradisi sahaja.

Komponen tepak sirih

Tepak sirih merupakan bekas sirih bertutup yang berbentuk segi empat sama danberfungsi sebagai bekas untuk meletak bahan-bahan makan sirih serta peralatan untuk menyediakannya. Terdapat beberapa jenis tepak sirih, namun hanya tepak sirih bertekat digunakan dalam adat perkahwinan. Tepak sirih bertekat ialah bekas sirih yang diselaputi dengan kain baldu yang mempunyai tekat.

Tekat ialah sulaman benang emas pada kain jenis baldu dan kebiasaannya sulaman tersebut berbentuk tiga dimensi dan terdiri daripada corak tumbuh-tumbuhan atau motif geometri. Bekas sirih biasanya diperbuat daripada perak, tembaga atau kayu dan bahagian dalam bekas sirih mempunyai beberapa petak yang membentuk ruang untuk meletakkan kacip dan cembul-cembul.

Tepak sirih mempunyai lima cembul untuk diletakkan setiap satu item di dalamnya iaitu pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Cembul merupakan bekas berbentuk bulat yang mempunyai penutup. Bahagian tapaknya leper supaya boleh diletakkan dengan elok di dalam tepak sirih. Pada kebiasaannya, cembul untuk bekas kapur berbentuk silinder atau berbeza sedikit dari cembul-cembul yang lain.

Cembul diperbuat dari logam seperti tembaga, perak dan juga saduran emas. Bahagian luar serta penutup cembul diukir dengan pelbagai bentuk seperti corak bunga-bungaan serta daun bagi menambahkan lagi keunikannya. Cembul juga boleh diukir dengan corak-corak lain mengikut kemahiran tukang ukir. Bekas tepak sirih yang bertutup akan dibuka dan cembul-cembul yang mengandungi sirih, pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur disusun di dalamnya.

Setiap bahan ini mempunyai pengertian yang tersendiri dan menjadi simbolik dalam kehidupan masyarakat Melayu. Menurut Perpustakaan Negara Malaysia (2001), sirih merujuk kepada sifat rendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain dan bersifat pemberi. Kapur pula melambangkan kesucian dan ketulusan hati seseorang yang putih bersih serta tulus, namun akan berubah menjadi agresif dan marah apabila keadaan memaksa.

Gambir yang sifatnya kelat kepahit-pahitan menjadi simbolik kepada kecekalan hati. Pinang pula digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, ketinggian darjat, jujur serta bersedia melakukan sesuatu perkara dengan hati terbuka manakala tembakau melambangkan seseorang yang tabah serta bersedia berkorban.

Bekas tepak sirih dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu atas dan bawah. Pinang, kapur, gambir dan tembakau diletakkan di dalam empat cembul mengikut susunan di bahagian atas, manakala cengkih, sirih dan kacip disusun di bahagian bawah. Susunan bahan-bahan dalam tepak sirih melambangkan peraturan dalam kehidupan masyarakat Melayu, oleh hal yang demikian cembul-cembul ini harus disusun mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Tepak sirih mempunyai fungsi yang istimewa dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu.

Kemudian, sebanyak lima hingga tujuh keping daun sirih dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya. Daun-daun sirih tersebut disusun secara tertib dalam satu baris dan diletakkan di bahagian tempat tepak sirih yang memegang bahan-bahan. Daun-daun sirih tersebut perlu dilipat untuk mengelakkan dari terlihat bahagian ekor daun kerana sesetengah orang menganggap hal tersebut adalah sesuatu yang tidak sopan dan tidak menghormati tetamu.

Tepak Sirih dalam Adat Perkahwinan

Dalam tradisi masyarakat Melayu, tindakan menawarkan dan menerima tepak sirih lengkap dengan bahan-bahannya mempunyai makna yang besar bagi pemberi dan juga penerima serta dilihat sebagai penyambung hubungan antara dua pihak.

Kebiasaannya tepak sirih menjadi pembuka bicara serta simbolik dalam adat atau upacara seperti pertunangan, perkahwinan dan persandingan. Pemberian tepak sirih dalam adat perkahwinan bertujuan untuk memulakan perbincangan, meminta izin, menyatakan persetujuan dan untuk menyatukan. Menyatakan persetujuan di sini merujuk kepada simbolik yang melambangkan hubungan formaliti antara seorang lelaki dan perempuan terhadap perkahwinan mereka.

Tepak sirih bertekat digunakan dalam majlis merisik. Dalam adat bertunang, tepak sirih dilihat sebagai simbol penerimaan untuk meletakkan asas-asas dalam memulakan perkahwinan untuk hidup bahagia bersama-sama. Tepak sirih dengan cembul melambangkan sebuah rumah dalam adat pertunangan Melayu.

Tepak sirih yang lengkap dihias dengan bunga dan dibungkus dengan kain songket kemudian dibawa ke rumah pihak perempuan untuk majlis merisik dan meminang. Wakil daripada pihak lelaki akan membawa beberapa barangan lain sebagai hadiah untuk mengiringi tepak sirih dan sebentuk cincin untuk majlis pertunangan.

Secara lazimnya, tepak sirih tersebut diserahkan kepada keluarga perempuan. Sebelum pihak lelaki menyampaikan hajat, pihak perempuan akan menolakkan tepak sirih penyambut yang dibalas oleh pihak lelaki dengan menolakkan tepak sirih pengantar. Kemudian, kedua-dua pihak akan membuka balutan tepak sirih dan memakan daun sirih bersama pinang, gambir,tembakau, cengkih dan kapur.

Namun begitu, tepak sirih turut berfungsi untuk menolak pinangan dengan cara keluarga perempuan akan menterbalikkan isi kandungan dalam kain di atas tepak sirih lalu bungkusan tersebut ditutup kembali. Justeru, apabila pihak keluarga lelaki membuka bungkusan tepak sirih tersebut, mereka akan dapat mengetahui jawapan kepada hajat mereka.

Semasa majlis perkahwinan masyarakat Melayu, tepak sirih diletakkan di hadapan semua barangan lain. Masyarakat Melayu menggelarkan tepak sirih sebagai kepala adat kerana majlis tidak akan berlangsung selagi tepak sirih tidak siap. Masyarakat Melayu percaya bahawa jika hal ini tidak dilakukan, orang-orang yang berkenaan boleh dianggap seperti tidak tahu adat resam.

Tepak sirih yang lengkap dengan semua bahan mencerminkan kehidupan orang Melayu dan nilai yang diletakkan oleh masyarakat Melayu atas tingkah laku serta adat istiadat tradisional. Kini, penggunaan tepak sirih masih diamalkan oleh sebahagian masyarakat Melayu dalam adat perkahwinan walaupun tidak seperti dahulu. Penggunaan tepak sirih merupakan satu adat yang sangat berharga, justeru, adalah amat penting untuk generasi kini mengekalkan tradisi ini agar tidak hilang ditelan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.