Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepit atau penyepit makanan merupakan warisan budaya yang penting dalam kalangan masyarakat Cina sejak zaman-berzaman. Menurut Kamus Dewan Perdana, kosa kata sepit bermaksud alat untuk menjepit atau mengapit sesuatu; sepasang batang lurus yang agak panjang daripada kayu, buluh, plastik dan lain-lain untuk mengambil atau menyuap makanan, pada kebiasaannya digunakan oleh orang Cina, Jepun dan sebagainya; sumpit (Indonesia); penyepit makanan (penyepit yang digunakan untuk mengambil makanan).
Dalam bahasa Mandarin pula, sepit disebut sebagai kuaizi atau zhu, iaitu sepasang kayu berukuran sama berasal daripada kebanyakan negara di sebelah timur dan Asia Tenggara sejak tiga alaf atau milenium yang lalu. Penggunaan penyepit makanan bermula di Tanah Besar China pada zaman ahli falsafah dan siasah, Confucius (551 – 479 sebelum Masihi) sebelum tersebar luas ke negara lain seperti Korea, Vietnam dan Jepun. Secara lazimnya, penyepit makanan diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti buluh, kayu, gading, kristal, jed dan logam (metal).
Tujuh Ciri-Ciri Penyepit Makanan
Berdasarkan kepada sumber rujukan Internet dan Tourism Perak, terdapat tujuh ciri-ciri penting alat penyepit makanan dalam budaya dan cara pemahaman masyarakat Cina yang perlu diketahui, fahami dan hayati.
Yang pertama, penyepit makanan yang lazim digunakan memiliki kepanjangan 7.6 inci. Hal ini melambangkan tujuh jenis emosi tabii dan enam jenis deria semula jadi. Tujuh jenis emosi mencakupi emosi kegembiraan, kemarahan, kesayuan, kebahagiaan, kesedihan, ketakutan dan kerisauan. Enam jenis deria pula mencakupi deria mata, telinga, hidung, lidah, badan dan sanubari.
Yang kedua, penyepit makanan berfungsi secara berpasangan. Hal ini melambangkan nilai kerjasama bagai aur dengan tebing dan keseimbangan daya antara dua kuasa yang saling bertentangan serta pada masa yang sama saling bergantungan, iaitu kuasa yin dengan kuasa yang sebagai kuasa kosmologi yang berfungsi untuk mengawal aturan dan keharmonian alam semesta.
Yang ketiga, penggunaan penyepit makanan yang melibatkan daya lima jari pada masa yang sama melambangkan lima fasa penting dalam falsafah dan feng syui Cina, iaitu emas, kayu, air, api dan bumi yang saling berinteraksi antara satu sama lain.
Yang keempat, dua bahagian hujung penyepit makanan yang masing-masing berbentuk bulat dan rata (berbeza dengan penyepit makanan Jepun) melambangkan keluasan angkasa dan kesatuan tanah agar kita memahami ketinggian angkasa dan ketebalan bumi hasil ciptaan Tuhan.
Yang kelima, tiga jari, iaitu jari jempol (ibu jari), jari telunjuk dan jari tengah yang memegang atau menyokong bahagian tengah penyepit makanan melambangkan kesepaduan kudrat dan keseimbangan daya graviti antara langit dan bumi dengan manusia untuk menjamin kejayaan sesuatu usaha.
Yang keenam, penggunaan penyepit makanan yang menekankan kepentingan penggunaan daya yang sederhana, iaitu tidak terlalu kuat atau terlalu lemah, melambangkan nilai kesederhanaan dan kesopanan serta kesedaran serta pematuhan terhadap aturan alam tabii yang wajib dihormati dalam jati diri kita.
Yang ketujuh, nilai ketamadunan Cina yang telah mencapai usia 5000 tahun merupakan suri teladan aji (nilai) yang menekankan aspek penerimaan dan keterbukaan yang bersifat inklusif, kebersamaan serta kesejagatan. Semua unsur tersebut menjadi sebab penting, iaitu penggunaan penyepit makanan tidak hanya dimonopoli oleh masyarakat Cina sebaliknya alat perjamuan ini diterima sebagai suatu budaya universal atau cara pemakanan bagi masyarakat sejagat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Pantang Larang Penggunaan Penyepit Makanan
Penggunaan penyepit makanan memiliki pantang larang yang tersendiri dan wajar diberikan perhatian oleh setiap penggunanya ketika menjamu selera di meja makan sama ada secara bersendirian, bersama-sama keluarga, saudara-mara atau sahabat handai dalam majlis keraian atau majlis kebesaran menurut adat istiadat warisan masyarakat Cina.
Pantang larang penggunaan penyepit makanan seperti yang berikut:
1. Penyepit makanan harus dipegang dengan tangan kanan walaupun untuk mereka yang bertangan kidal.
2. Sebelum makan, penyepit makanan perlu diletakkan dengan kemas di sebelah kanan mangkuk dan diletakkan di tengah mangkuk selepas selesai makan.
3. Amalan meletakkan penyepit makanan dengan tidak sekata panjang di atas meja akan mengundang nasib yang malang.
4. Elakkan penyepit makanan diarahkan dengan jari telunjuk kepada khalayak kerana hal tersebut menunjukkan sikap tidak menghormati tetamu atau memperlihatkan perangai yang buruk. Demikian juga halnya jika pengguna melambai-lambaikan penyepit makanan atau bermain-main dengan sepit ketika menjamu selera.
5. Dilarang mengetuk meja atau gigi mangkuk dengan penyepit makanan kerana sikap tersebut menunjukkan perbuatan mengemis atau meminta sedekah.
6. Dilarang kacau atau gaul makanan dengan penyepit makanan kerana perbuatan tersebut dianggap biadab dan tidak mengutamakan kebersihan.
7. Dilarang mencacakkan penyepit makanan dalam makanan, terutamanya nasi. Hanya dalam upacara pengebumian, penyepit makanan dicacakkan pada mangkuk nasi atau altar umpama nyalaan colok untuk sembahyang mendiang si mati.
8. Elakkan penyepit makanan disilangkan ketika makan kerana perbuatan tersebut memberikan isyarat bahawa tetamu tidak dialu-alukan di samping menimbulkan rasa tidak senang hati.
9. Dilarang menjatuhkan penyepit makanan secara sengaja ketika menjamu selera kerana perbuatan tersebut dianggap biadab selain mengundang nasib yang malang.
Penyepit Makanan sebagai Cenderamata
Selain digunakan sebagai alat perjamuan, penyepit makanan juga dapat dijadikan sebagai buah tangan atau cenderamata iringan bagi beberapa acara penting dalam kalangan masyarakat Cina, seperti yang berikut:
1. Cenderamata kepada pasangan yang baru berumah tangga sebagai tanda pasangan suami isteri tersebut sepadan bagai pinang dibelah dua dan diharapkan agar mereka dikurniakan anak lelaki dalam kadar yang segera.
2. Cenderamata kepada kekasih sebagai tanda kasih sayang yang berkekalan tanpa perpisahan atau perceraian.
3. Cenderamata kepada sahabat sebagai tanda persamaan, persahabatan yang akrab dan harmoni.
4. Cenderamata kepada guru sebagai tanda kejujuran, integriti dan penghargaan yang tinggi.
5. Cenderamata kepada warga tua sebagai tanda kebahagiaan, murah rezeki dan panjang umur.
6. Cenderamata kepada anak sebagai tanda harapan serta iringan doa agar cepat dewasa dan sihat sejahtera.
7. Cenderamata kepada rakan kongsi khususnya dalam dunia perniagaan dan kerjaya sebagai tanda kerjasama yang ikhlas dan berpanjangan.
8. Cenderamata kepada sahabat yang berpindah ke rumah baharu agar cepat memperoleh rezeki dan dikurniai kehidupan yang bahagia.
Dapat disimpulkan bahawa selain alat perjamuan masyarakat yang lazimnya menggunakan tangan seperti sudu, camca, garpu, senduk, centong, sudip dan pisau makan atau pisau meja, penyepit makanan yang diwarisi oleh masyarakat Cina ini merupakan alat perjamuan yang dikenali dan diterima umum di serata dunia.
Oleh hal yang demikian, budaya penggunaan penyepit makanan wajar dipelihara sebagai khazanah budaya yang kaya dengan nilai kemanusiaan serta adab tradisi leluhur dalam kalangan masyarakat sarwajagat agar tidak luput ditelan zaman yang bergerak pantas dengan kemodenan dan globlalisasi.