3 November 2023, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Program Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang Tahun 2023 yang diadakan pada 1 November lalu merupakan satu manifestasi penghargaan yang tulus dan kasih sayang yang sedalamnya daripada rakyat jelata Negeri Melaka terhadap Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong telah mencemar duli sebanyak tiga kali ke Negeri Melaka sebelum ini dan festival yang diadakan itu merupakan program silang budaya kedua-dua negeri sempena Program Menjunjung Kasih Kebawah Duli Tuanku berdua.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan persembahan silat.

“Kerajaan Negeri Melaka menyanjung tinggi kebijaksanaan dan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai seorang raja sepanjang pemerintahan baginda.

“Hal ini boleh dilihat menerusi kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan banyak perihal membabitkan pentadbiran kerajaan persekutuan.

“Justeru, festival yang diadakan ini juga adalah tanda penghargaan dan lambang kasih sayang rakyat negeri Melaka terhadap baginda yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada Januari tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 di Muzium Kesultanan Melayu Melaka.

Festival itu diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat tiba pada jam 8.45 malam.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman serta Menteri Besar Pahang YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Pada festival itu, turut diadakan pelbagai acara seperti pameran dan jualan produk warisan Melaka dan Pahang, demonstrasi permainan tradisional, persembahan kebudayaan Melaka dan Pahang serta banyak lagi.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf baginda tuanku juga bukan sahaja dikenali sebagai seorang raja yang sangat berjiwa rakyat, malah prihatin dalam memayungi usaha-usaha kebajikan dan kesejahteraan terhadap seluruh rakyat jelata.

Beliau menjelaskan, festival itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasa hubungan sejarah yang terjalin antara negeri Melaka dan Pahang di samping memastikan kesinambungan seni, budaya dan warisan di antara kedua-dua buah negeri terus kekal terpelihara.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima cenderahati daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali (Dr.) Mohd Rustam.

“Melaka tidak terkecuali bertuah kerana mempunyai hubungan istimewa bersama negeri Pahang apabila Sultan Melaka pada ketika itu, iaitu Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Tun Teja, seorang puteri rupawan yang juga puteri tunggal Bendahara Pahang pada masa itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, festival itu juga menjadi landasan serta platform menyatukan kekayaan warisan budaya melibatkan kesenian, tarian tradisional, muzik dan makanan kedua-dua negeri serta dapat mempromosi lokasi pelancongan menarik di negeri Pahang dan Melaka kepada rakyat jelata.

“Seperti yang kita sedia maklum, Melaka kaya dengan lokasi pelancongan bersejarah seperti Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dan Kota A’Famosa manakala Negeri Pahang pula mempunyai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa seperti kawasan peranginan Genting Highlands dan Cameron Highlands, kawasan hutan hujan yang menghijau seperti Taman Negara dan Gunung Tahan,” katanya.

Pengunjung yang hadir disajikan dengan persembahan yang menggabungkan nyanyian serta tarian Negeri Melaka dan Pahang.

“Semoga Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 dapat memberi banyak manfaat khususnya dalam sektor pelancongan yang merupakan antara sektor utama bagi kedua-dua buah negeri dan berharap agar kerjasama antara kedua-dua kerajaan negeri ini dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya dan mungkin pada tahun hadapan giliran Pahang pula akan menjadi tuan rumah,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.