4 November 2023, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Gala Teater Balada Si Angsa Hitam berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran tetamu kehormat dan para penonton yang memenuhi ruang Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi.

Syamil Adlan, 21, mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia.

Sasterawan Negara (SN) yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, SN Datuk Seri A. Samad Said, Seniman Dato’ M. Nasir serta isteri, Datin Marlia Musa merupakan antara tetamu kehormat yang hadir menonton pementasan Teater Perdana DBP: Balada Si Angsa Hitam.

Beberapa penonton yang ditemu bual memberikan reaksi positif tentang persembahan teater Balada Si Angsa Hitam hasil olahan dan arahan oleh pengarah teater terkenal A. Wahab Hamzah yang juga merupakan adaptasi daripada satu-satunya cerpen karya SN Dato’ (Dr.) Nordin Hassan.

Syamil Adlan, 21, mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia berkata, “Teater ini sangat menyentuh hati serta membuatkan saya berasa seram sejuk terutamanya babak serangan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin”. Syamil turut menyatakan bahawa teater tersebut sesuai ditonton oleh masyarakat pelbagai peringkat umur serta kaum kerana bukan sahaja barisan pelakon yang terdiri dari pelbagai kaum, malah yang lebih penting adalah mesej nilai kemanusiaan yang dipaparkan.

Rosfazira Othman, 29, terkesan dengan watak orang tua dalam teater Balada Si Angsa Hitam.

Rosfazira Othman, 29, pula menyatakan bahawa tema nilai kemanusiaan berjaya ditonjolkan terutamanya melalui dialog-dialog oleh pelakon teater tersebut. “Antara babak yang terkesan bagi saya ialah dialog serta lakonan watak orang tua yang muncul pada awal dan akhir teater tersebut, malah teater ini bersifat general serta turut menyelitkan teladan iaitu nilai perpaduan sangat penting dalam usaha membina sesebuah negara yang harmoni”.

Balada Si Angsa Hitam mengisahkan ketabahan dan kekuatan tiga wanita, iaitu Su, Heleena dan Nana yang berjuang dalam menghadapi kekejaman perang dan tekanan daripada kuasa-kuasa yang mencengkam.

Su menempuh perjalanan pulang yang sukar untuk menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di Beirut. Turut dipaparkan pergolakan antara Fatah dan PLO dalam menentang pencerobohan Israel.

SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, SN Datuk Seri A. Samad Said, Seniman Dato’ M. Nasir serta isteri, Datin Marlia Musa merupakan antara tetamu kehormat yang hadir menonton pementasan teater Balada Si Angsa Hitam.

Nenek Su (Heleena) pula pernah menjadi mangsa kekejaman tentera Nazi di Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Sementara itu, Nana, pelajar kursus drama terlibat dalam teater klasik Yunani, iaitu Antigone. Antigone menampilkan watak wanita yang berjuang menentang tekanan dari Creon yang melambangkan kuasa patriaki.

Teater Balada Si Angsa Hitam menampilkan pelakon seperti Zafran Hisham sebagai penulis, Nesa Edrus (Suhaila), Rasdi Daud (Orang Tua), Ard Omar (Pegawai Tentera Israel), Fairul Pujangga (Pemuda Fatah) selain Tanya Mikes yang melakonkan watak Nana serta Sabrina Abdulloeva sebagai Heleena.

Pengarah teater Balada Si Angsa Hitam, A. Wahab Hamzah.

Penggemar teater di luar sana yang belum menonton, masih berpeluang menonton pementasan Balada Si Angsa Hitam kerana malam ini (Sabtu, 4 November 2023) merupakan malam terakhir teater tersebut dipentaskan.

 

 

Nesa Edrus (kiri) membawakan watak sebagai Suhaila dan Tanya Mikes sebagai Nana.

 

Pasukan produksi teater Balada Si Angsa Hitam bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat selepas selesai pementasan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.