8 November 2023, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Perahu tambang Sarawak, rumah panjang Iban, rumah Orang Ulu Sarawak, dan topeng Hudoq merupakan antara warisan tradisi etnik Sarawak yang dipamerkan dalam bentuk replika untuk pameran Tok Lah Kamek: Melestari Bangsa Menjunjung Budaya di Aras Dua, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, Jalan Selangor, Seksyen 4.

Pameran anjuran Muzium Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya ini berlangsung sejak 1 September 2023 lalu sehingga 31 Disember 2023 tanpa bayaran masuk.

Replika perahu tambang yang merupakan nadi pengangkutan utama di Sungai Sarawak sejak sekian lama yang masih wujud hingga sekarang.

Perahu tambang Sarawak merupakan nadi pengangkutan utama di Sungai Kuching atau Sungai Sarawak sejak sekian lama, dan kekal menjadi ikon bandar raya Kuching hingga kini. Diperbuat daripada kayu dengan bumbung daun rumbia yang boleh membawa lapan hingga 10 orang penumpang, dan ada tempat duduk pada kedua-dua belahnya, perahu tersebut pernah dijadikan tempat tinggal sementara bagi masyarakat Melayu Sarawak dahulu.

Rumah panjang Iban merupakan tradisi bagi kaum Iban yang terdiri daripada sederet berpuluh-puluh rumah kelamin, dengan ciri dan keistimewaan tersendiri dari segi keselamatan, dan kebudayaan; menggunakan tiang jenis kayu keras yang tidak mudah reput, seperti kayu belian dari Kepulauan Borneo, berbumbung daun rumbia, dan jenis daun tebal, dinding daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh, lantai daripada buluh, papan atau kulit kayu, serta tangga daripada sebatang kayu bulat yang ditakik dengan beliung.

Rumah Orang Ulu diperbuat daripada kayu bermutu tinggi agar tahan lama, dengan atapnya menggunakan kulit kayu belian yang tahan lama. Tiangnya menggunakan kayu belian yang diukir terlebih dahulu mengikut motif-motif dengan maksud tersendiri, yang boleh mencapai 30 kaki tinggi untuk tujuan keselamatan.

Replika rumah panjang masyarakat Iban.

Topeng Hudoq yang mirip wajah binatang dan manusia yang ada interpretasi berbeza pula digunakan untuk ritual rawatan tradisional dan pengebumian. Untuk rawatan penyembuhan penyakit, dukun memakainya sebagai perantara bagi masyarakat Dayak. Setiap ritual ada manteranya tersendiri.

Topeng dan telinga besar menggambarkan pendengar yang baik. Topeng dengan mulut terbuka pula bermaksud kerakusan, atau bijak berkata-kata, sementara topeng dengan pipi penuh menggambarkan kerakusan atau kekayaan.

Sementara itu, bahan-bahan lain pameran ini yang lebih menarik kerana kelihatan comel, dan berwarna-warni ialah replika pakaian tradisional etnik Sarawak.

Antaranya termasuklah Kumang Ngepan Batang Rajang, Ngepan Kumang Iban Standard, Ngepan Keling Iban Standard, Ngepan Kumang Skrang, Ngepan Kumang Saratok, Ngepan Keling Batang Ai, Ngepan Kumang Julau, Bidayuh Padawan, Bidayuh Salako, Bidayuh Serian, Bidayuh Bau, Pahlawan Bidayuh, Orang Ulu, Lun Bawang, Melanau (lelaki), Melanau (perempuan), dan Kiput.

Kumang Ngepan Batang Rajang merupakan pakaian masyarakat Iban di sepanjang Sungai Batang Rajang, yang keseluruhannya diperbuat daripada manik, dan dipanggil “Baju Ujan”. Penutup kepalanya dipanggil “Dujung Marek”, dan skirt hitam dihiasi cangkerang putih buatan tangan. Pakaian ini popular dipakai semasa majlis perkahwinan.

Replika Topeng Hudoq yang mirip wajah binatang dan manusia dengan interpretasi berbeza untuk ritual rawatan tradisional dan pengebumian.

Ngepan Kumang Iban Standard merupakan pakaian tradisi wanita Iban semasa perayaan seperti “Hari Gawai”, yang dipercayai berasal daripada seorang gadis bernama Kumang pada zaman dahulu. Perhiasan kepalanya dipanggil “Sugu Tinggi” dengan aksesori di sekeliling bahu, serta leher yang dikenali sebagai “Marek Empang”. “Kain Kebat” ialah kain tenunan tradisional yang dipanggil “Pua Kumbu”, yang biasa dipakai semasa perayaan, atau majlis perkahwinan.

Ngepan Keling Iban Standard merupakan pakaian standard bagi lelaki Iban Sarawak. Tudung kepalanya dipanggil “Lelanjang” yang dihiasi bulu burung, terutamanya enggang. Kulit haiwan dipanggil “Gagong” biasanya menggunakan baju besi, manakala “Sirat” ialah kain panjang yang melilit di bahagian kelangkang.

Ngepan Kumang Skrang merupakan pakaian wanita Iban yang tinggal di sepanjang Sungai Skrang di Sarawak, yang terdiri daripada skirt “Pua Kumbu”, dan penutup kepala kerawang, sebagaimana Ngepan Saribas. Kelainannya adalah pada ringgit rawai dengan syiling terjuntai yang berdenting setiap kali si pemakai bergerak. “Marek Empang” sebagai aksesori, dan pemakaian “Rawai Tinggi”, serta korset menutupi dada ke pinggang.

Ngepan Kumang Saratok merupakan pakaian etnik Iban di Seratok, Sarawak. Tudung kepala yang dipanggil “Ensuga” adalah perbezaan utama pakaian ini, berbanding penutup kepala “Sugu Tinggi” dalam pakaian Iban yang lain, yang dihiasi bunga dan biasanya dipakai semasa upacara adat.

Ngepan Keling Batang Ai pula merupakan pakaian lelaki Iban khusus untuk mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Batang Ai, dengan perbezaan utamanya ialah ketiadaan “Gagong” (perisai kulit haiwan), digantikan dengan pemakaian dua tali pinggang logam silang atas kawasan dada.

Ngepan Kumang Julau merupakan pakaian untuk masyarakat Iban Julau, Sarawak yang juga dipanggil Ngepan Selapai Iban, dengan dua selempang panjang yang dipanggil “Selapai” diikat pada keliling pinggang, bersilang di atas bahagian dada, serta dipakai untuk menutup bahagian hadapan dan belakang.

Bidayuh Padawan merupakan pakaian tradisional wanita Bidayuh dari daerah Padawan di Sarawak, dengan pemakaian blaus tanpa lengan dan skirt dipanggil “Jomuh”. Aksesorinya ialah “Selapai” (selempang), “Pangiah” (rantai manik), dan “Porik” (tali pinggang logam/tembaga), serta “Bung Buok Tumbih” (penutup kepala) menurut panggilan orang Bidayuh dari Padawan.

Kumpulan etnik yang kebanyakannya menetap di kawasan Lundu di Sarawak, memakai Bidayuh Salako yang memiliki bahasa dan budaya unik mereka sendiri. Dalam pakaian ini, aksesori yang membezakan mereka ialah “Ba’eh” (penutup kepala Salako daripada perak dan syiling), serta “Manibi” (daripada perak dan gelung syiling) yang dipakai sebagai rantai.

Bidayuh Serian ialah pakaian tradisional wanita Bidayuh yang menampilkan blaus tanpa lengan dan skirt dipanggil “Jomuh”. Aksesorinya ialah “Selapai, “Pangiah” dan “Porik” sebagaimana Bidayuh Padawan. Kaum Bidayuh yang terdiri daripada Serian/Bukar Sadong memanggil “Reung” sebagai penutup kepala, sementara gelang tembaga pada tangan dan kaki wanita merupakan lambang status, dan perlindungan.

Bidayuh Bau merupakan pakaian tradisional wanita Bidayuh dari daerah Bau di Sarawak, juga berupa “Jomuh” seperti Bidayuh Serian. Aksesorinya juga adalah “Selepai”, “Pangiah”, dan “Porik”. Khusus bagi kaum Bidayuh Bau, penutup kepala dipanggil “Sipiah”.

Pakaian tradisional pagi Pahlawan Bidayuh yang mengutamakan hitam sebagai warnanya. Kaum lelaki Bidayuh lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan, atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora, dan seluar hitam atau cawat berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Pelengkapnya adalah kain lilit kepala kaum lelaki, dengan “Pimulang” (rantai silang), dan “Sirambuk” (kalung taring haiwan bulat).

Pakaian tradisional Orang Ulu menampilkan blaus dan skirt daripada baldu hitam dihiasi labuci berwarna-warni. Mereka terkenal dengan warna-warni bagi aksesori manik dari kepala hingga kaki, dengan “Lavung” (tudung kepala dengan manik bermotif pakis, dan bulu haiwan palsu) untuk majlis perkahwinan, tarian, dan ketika perayaan.

Pakaian etnik Lun Bawang terdiri daripada “Peta Baw” (topi manik) untuk menahan rambut yang menjadi lambang status wanita kelas atasan. “Beret” (untaian manik pada pinggang) untuk mengangkat skirt, rantai-rantai dan gelang yang menunjukkan sosial, dan status ekonomi yang juga sebagai aksesori.

Dari kiri: replika pahlawan Bidayuh, Bidayuh Bau, Bidayuh Padawan, Bidayuh Salako, dan Bidayuh Serian.

Pakaian Melanau gaya moden lelaki adalah satin berwarna gelap yang dikenali sebagai “Baju Kancing Tujuh” yang dipadankan dengan samping kain songket bunga tabur berwarna oren keemasan, dan penutup kepala daripada kain cetakan batik yang disebut “Buleang”.

Pakaian Melanau perempuan terdiri daripada “Serbang” (penutup kepala), dan kebanyakan aksesorinya daripada emas, atau bersalut emas. Pemakaian skirt songket hitam, merah dan emas adalah warna yang dikaitkan dengan Adat Melanau.

Kiput merupakan salah satu etnik minoriti di bawah kumpulan Orang Ulu yang penampilan mereka dengan penggunaan songket dalam pemakaian “Pekah” (tudung kepala daripada manik yang direka bentuk/motif haiwan pada Pekah), untuk ditujukan kepada golongan elit/atasan.

Turut dipamerkan adalah bahan-bahan bercetak dengan gambar segala maklumat mengenai etnik dan warisan budaya yang terdapat di Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.