Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia meneruskan usaha meraikan dan memupuk bakat pelukis tempatan untuk berkarya dengan menganjurkan Bazar Seni “Apa Khabar?” bermula pada 2 November hingga 12 November 2023.
Bazar ini memberikan ruang kepada para karyawan meneroka dan menzahirkan erti kesejahteraan dalam diri dan unsur alam persekitaran yang dapat menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik. Pemerhatian terhadap lukisan yang dihasilkan 20 orang pengkarya muda ini menampakkan keupayaan mereka menginterpretasikan tema ini melalui persepsi dan imaginasi masing-masing.
Pelbagai medium termasuk cat, warna air, pensel warna dan akrilik digunakan untuk menghasilkan karya artistik ini yang memberikan kesempatan kepada pengunjung menikmati tema yang menampakkan kepentingan nilai kesejahteraan dalam kehidupan. Setiap karya dijual pada harga RM 2,500 ke bawah dengan pengunjung turut berpeluang mengikuti bengkel oleh pengkarya.
Ketika merasmikannya, Ketua Pegawai Operasi Bank Negara, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, walaupun berorientasikan fungsi kepada pengurusan perbankan dan kewangan tetapi bank pusat ini turut menghargai nilai seni dan bakat para pengkarya.
Di samping menonjolkan karya pelukis tempatan pelbagai latar pendidikan seni, bazar ini turut memberikan kesempatan kepada kakitangan Bank Negara yang berjiwa seni dan berbakat untuk menampilkan kebolehan melalui karya mereka.