12 November 2023, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kunming, China – Agensi pelancongan dan syarikat bas serta kenderaan yang mengendalikan kumpulan pelancong dari Malaysia ke selatan Thailand melalui jalan darat terutama sekali ke Hat Yai, dipelawa untuk menawarkan Perlis sebagai side trip atau persinggahan pendek sebelum atau selepas menyeberangi sempadan negara.

Sebarang sumbang saran untuk menambah baik serta melicinkan lagi proses pelaksanaan dokumentasi di sempadan Perlis oleh pihak bertanggungjawab juga amat dialu-alukan.

Secara tidak langsung, hal tersebut akan membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan persinggahan singkat tersebut juga diharapkan mampu mengundang para pengunjung untuk datang kembali ke Perlis sebagai destinasi utama pelancongan secara sepenuh masa pada masa hadapan.

Bersempena dengan cuti sambutan Hari Deepavali pada kali ini sekali lagi membuktikan bahawa ribuan rakyat Malaysia bertandang ke negara Gajah Putih tersebut dan kedua-dua pintu masuk, iaitu Padang Besar, dan Wang Kelian di Perlis menjadi sibuk dan secara tidak langsung limpahan ekonomi boleh dinikmati oleh masyarakat setempat Perlis sekiranya para pelancong ini singgah untuk makan minum, berbelanja, mengisi minyak, menyumbang kepada masjid ketika solat, malahan bermalam di Perlis dan sebagainya.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan kempen “Promosi Masakan Perlis” yang berupa “Kurma Daging Perlis”, yang disajikan bersempena  dengan sarapan pagi di Yun’an Conference Resort, Xishan, Kunming, China.

Keberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) itu disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, iaitu Muhamad Akmal Abdul Wahab.

Yang turut hadir ialah para pegawai perwakilan di Pejabat Konsulat Malaysia yang terdiri daripada Konsul Muda, iaitu Rohaya Ayob yang telah menyediakan juadah istimewa, Atase Imigresen, iaitu Aishah Hanani Ahmad, Penolong Atase Imigresen, iaitu Zainudin Ibram dan Pegawai di Konsulat, iaitu Sulfaziatul Irma Sulaini.

Pada tahun ini sahaja, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah melancarkan Promosi Masakan Perlis sedemikian rupa di beberapa buah negara luar seperti Ethiopia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Latvia, Estonia, Turkiye dan Kemboja dalam kunjungan khas Baginda di samping memperkenalkan negeri Perlis ke persada antarabangsa.

Menurut Tuanku Raja Muda, tahun 2023 merupakan tahun akhir persediaan negeri ini untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025. Bagi menyambut pengunjung pada tahun hadapan, seluruh jentera kerajaan mahupun swasta serta penduduk setempat bersama-sama semua pihak perlu membuat persiapan rapi dari segenap aspek secara menyeluruh seperti memastikan kemudahan infrastruktur yang baik, kebersihan terjaga dan pemain industri pelancongan membuat penambahbaikan kemudahan serta produk masing-masing. Kegagalan dalam perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan imej negeri serta memberikan perspektif yang kurang baik dalam kalangan pengunjung.

Raja Muda Perlis bersama-sama rombongan delegasi.
Raja Muda Perlis menikmati juadah istimewa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.