20 November 2023, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Regatta Lepa ialah acara tradisional tahunan yang menjadi identiti dan cerminan budaya, khususnya bagi masyarakat Bajau di Semporna, Sabah. Pesta ini mula diperkenalkan pada tahun 1994. Pesta yang dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut pada setiap tahun ini juga telah dimasukkan dalam kalendar Pesta Air Malaysia.

Pesta Regatta Lepa yang sinonim dengan masyarakat Bajau kekal sebagai sebuah pesta warisan yang unggul di Malaysia dan sangat berpotensi untuk diketengahkan pada peringkat antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pesta ini merupakan lambang kepada identiti budaya masyarakat Bajau yang unik dan secara tidak langsung memperkenalkan kesenian serta kebudayaan kebanggaan mereka kepada masyarakat luar.

Pesta Regatta Lepa sinonim dengan masyarakat Bajau di Semporna, Sabah.

Lepa yang bermaksud perahu, menjadi lambang kepada aktiviti harian dalam kehidupan masyarakat Bajau. Simbolik lepa menggambarkan perihal pesta tradisional yang merangkumi pelbagai aspek dalam setiap acara yang dianjurkan.

Beberapa acara sukan air yang melibatkan perahu, seperti lumba perahu , tarik perahu secara berpasangan , renang serta persembahan kesenian dan kebudayaan diadakan untuk memeriahkan Pesta Regatta Lepa. Selain itu, turut diselitkan persembahan menarik yang mendebarkan, iaitu misi menyelamat yang dilakukan oleh anggota keselamatan negara daripada pasukan bomba serta anggota Esscom.

Pertandingan lepa melibatkan dua kategori, iaitu acara laut dan acara pesta budaya serta pameran. Acara laut akan diadakan di tepi pantai, manakala acara pesta budaya pula diadakan di padang pekan Semporna.

Peserta yang terlibat dalam pertandingan tersebut berarak masuk dengan perahu yang dihiasi dengan renda, payung dan sambulayang (kain layar kapal) yang berwarna-warni. Lepa atau perahu tradisi masyarakat Bajau tersebut sudah pastinya mencuri tumpuan pengunjung pada awal tirai pembukaan Pesta Regatta Lepa terutamanya bagi pelancong dari luar negara.

Pesta Regatta Lepa secara tidak langsung merupakan platform yang sesuai untuk memperkenalkan dan mempromosikan adat, kesenian dan budaya masyarakat Bajau. Satu daripada unsur budaya yang dapat dilihat ialah keunikan pakaian masyarakat Bajau.

Pakaian tradisional masyarakat Bajau pada kebiasaannya dihiasi dengan mahkota, salung (sarung kuku) dan kambot. Pakaian tradisional untuk wanita diperbuat daripada kain baldu yang bercorak manik serta dibentuk dengan hiasan yang lain. Keistimewaan pakaian tradisional tersebut juga dapat dilihat pada pemilihan lima warna, iaitu warna hitam, emas, biru, hijau dan kuning.

Selain pakaian, masyarakat Bajau juga terkenal dengan peralatan muzik yang digunakan dalam tarian, seperti kulintangan, gong dan tambul. Peralatan muzik tersebut merupakan alat tradisional secara turun-temurun. Persembahan tarian yang dipersembahkan kepada para penonton pula diiringi dengan alunan muzik, seperti igal-igal. Pakaian dan muzik tradisional tersebut amat penting dalam menyemarakkan lagi semangat, di samping mempromosikan adat dan budaya masyarakat Bajau.

Pesta Regatta Lepa meriah dengan perahu yang dihiasi cantik berwarna-warni.

Logo, lagu dan tema Pesta Regatta Lepa dicipta bagi memperlihatkan imej yang tersendiri. Penggunaan simbol dan warna pada logo melambangkan maksud tertentu. Warna kuning di belakang logo melambangkan Sabah sebagai negeri pertama yang menerima pancaran matahari berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Selain itu, warna kuning melambangkan kedaulatan negara dan warna biru pula melambangkan perpaduan masyarakat Bajau.

Sementara itu, simbol kocakan air laut merupakan simbolik kepada kepayahan yang dilalui  oleh kaum Bajau dalam mengharungi laut yang menjadi sumber pencarian rezeki mereka. Sambulayang merah  pada logo melambangkan keberanian dalam menempuhi cabaran mendatang. Semi bulatan yang berwarna kelabu pula bermaksud global, iaitu budaya masyarakat Bajau masih dikekalkan walaupun terdapat pelbagai pengaruh yang mampu menghakisnya.

Lagu Lepa Sampulna dimainkan ketika Pesta Regatta Lepa berlangsung untuk memeriahkan lagi suasana. Lirik lagu tersebut dicipta dan ditulis dalam bahasa Bajau.

Selain itu, antara tarikan yang selalu menjadi buah mulut dan dinanti-nantikan oleh para pengunjung termasuklah Pertandingan Ratu Cantik Lepa.  Pemilihan Ratu Cantik Lepa diadili oleh para juri yang mengambil bahagian dari awal hingga berakhirnya pesta. Setiap peserta dinilai berdasarkan pelbagai aspek termasuklah cara pemikiran peserta, kebolehan dan pengetahuan yang dimiliki. Peserta dikehendaki  mematuhi setiap peraturan dan perlu menjaga imej mereka bagi merebut gelaran Ratu Cantik Lepa.

Selain Pertandingan Ratu Cantik Lepa , terdapat juga beberapa acara lain yang dilaksanakan, seperti pertandingan lumba kelle-kelle, tarik tali lepa, lumba renang dan pertandingan menangkap itik.

Kemeriahan dan keunikan Pesta Regatta Lepa terbukti berjaya menarik minat pengunjung tempatan dan dari luar negara.

 

Pesta Regatta Lepa disambut meriah setiap tahun, malah dapat diibaratkan seperti sambutan hari raya bagi warga Semporna. Semua pengunjung memakai pakaian terbaik untuk menyertai ratusan ribu pengunjung yang lain bagi meraikan pesta yang bukan sekadar pesta biasa, tetapi satu peristiwa berharga yang hanya disambut setahun sekali. Hal ini bertujuan untuk meraikan warisan, sejarah dan adat resam sebuah daerah kecil yang kaya dengan keindahan gugusan pulau yang cantik, serta peninggalan sejarah yang tidak wajar dipandang dengan sebelah mata.

Pesta Regatta Lepa turut menjadi wadah bagi para artis dan penggiat seni tempatan dari seluruh Semporna berkumpul dan saling bertukar buah fikiran serta idea dalam usaha memastikan legasi nenek moyang kekal subur untuk tatapan generasi akan datang. Pesta Regatta Lepa juga jelas bukan sahaja berkesan untuk meningkatkan serta memperkenalkan dengan lebih dalam tentang adat budaya tradisional masyarakat Bajau, malah  terbukti berjaya menarik tumpuan pelancong tempatan dan dari luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.