23 November 2023, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali tibanya musim cuti sekolah, ibu bapa mengambil kesempatan untuk mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Jika dahulu majlis berkhatan meriah dengan pelbagai adat dan budaya, tetapi kini masyarakat lebih memilih berkhatan secara moden kerana lebih mudah dan proses penyembuhannya yang lebih cepat berbanding dengan berkhatan secara tradisional.

Tambahan pula, dalam dunia serba teknologi kini, tok mudim yang mengendalikan proses berkhatan secara tradisional juga sukar ditemui. Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai bagi mengembalikan nostalgia amalan berkhatan secara tradisi walaupun sebenarnya menggunakan kaedah secara moden ketika berkhatan. Sedikit sebanyak penganjuran majlis seperti ini mengembalikan kenangan kemeriahan berkhatan pada suatu ketika dahulu.

Perkataan khatan berasal daripada bahasa Arab yang bererti bahagian hadapan kulit yang dipotong yang menutupi pangkal kemaluan lelaki, manakala bagi wanita dikenali sebagai al-Khafdh. Kamus Dewan Perdana pula mendefinisikan khatan sebagai sunat (memotong kulup).

Di Malaysia, berkhatan juga disebut sebagai bersunat atau masuk Jawi. Dari sudut sejarahnya, para ulama berpendapat amalan berkhatan bermula daripada Nabi Adam, manakala ada juga yang berpendapat manusia pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim.

Dalam Islam, berkhatan merupakan amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib sama ada bagi lelaki atau perempuan, manakala bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat. Dalam mazhab Hambali, bersunat ialah wajib terhadap lelaki tetapi sunat bagi kaum perempuan.

Berkhatan bukan sahaja perintah agama, tetapi sebenarnya bermanfaat kepada kesihatan manusia. Antara manfaat berkhatan bagi orang lelaki termasuklah mengurangkan risiko HIV, mengurangkan risiko jangkitan kencing, mengurangkan risiko penularan penyakit kelamin, meningkatkan kebersihan, meningkatkan sensiviti semasa hubungan kelamin dan mencegah kanser zakar.

Sebagai buktinya, menurut Dr. Norman Mohd. Norawi dalam tulisannya, “Berkhatan Besar Manfaat”, kajian Cochrane Meta Analysis di Afrika pada 2007 jelas menunjukkan berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang aktif seksual hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Usia berkhatan bagi kanak-kanak lelaki berbeza dalam setiap budaya sesebuah masyarakat. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi misalnya, amalan berkhatan dilakukan ketika individu masih bayi, sementara bagi masyarakat Melayu di Malaysia, amalan berkhatan pada kebiasaannya dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun.

Berkhatan bagi kanak-kanak lelaki dalam budaya Melayu juga dijalankan secara beramai-ramai dengan meriah. Majlis berkhatan selalunya bermula sehari sebelum upacara berkhatan dilakukan, iaitu satu malam sebelum majlis berlangsung dengan penuh adat dan juga berdasarkan syariat.

Kini, amalan berkhatan moden dilakukan oleh pembantu pegawai perubatan atau pun doktor di kilinik. Walaupun begitu, bagi amalan berkhatan tradional, individu terpenting yang menyempurnakannya dipanggil tok mudim. Dahulu,  khidmat tok mudim amat penting dan memang diperlukan oleh masyarakat, tetapi kini semakin terpinggir apabila  banyak klinik dan hospital menawarkan khidmat berkhatan.

Antara peralatan yang digunakan untuk berkhatan secara tradisional.

Pada zaman dahulu, kanak-kanak lelaki takut dengan tok mudim. Amalan berkhatan bagi mereka merupakan perkara yang cukup menakutkan dan mendebarkan. Namun begitu, debaran dan kerisauan tersebut dihilangkan dengan kemeriahan adat berkhatan. Kanak-kanak yang berkhatan didudukkan di atas pelamin.

Majlis tahlil atau doa selamat juga diadakan pada malam tersebut bagi memohon kepada Allah SWT agar upacara berkhatan berjalan dengan sempurna dan selamat. Para tetamu yang hadir pada malam tersebut akan dijamu dengan hidangan seperti nasi dan diberikan bunga telur oleh kanak-kanak yang akan berkhatan sebagai ucapan dan tanda terima kasih.

Bunga telur dalam adat istiadat masyarakat Melayu melambangkan peribadi masyarakat Melayu yang sentiasa mementingkan budi bahasa, kesopanan dan segala bentuk tingkah laku yang lebih menekankan kepada sistem nilai dan etika. Maka itu, tidak hairanlah dalam setiap majlis orang Melayu, bunga telur pasti ada dan seolah-olah menjadi penyeri dalam sesuatu majlis, termasuklah dalam majlis berkhatan.

Pada pagi acara berkhatan dijalankan, kanak-kanak yang bakal berkhatan akan berendam di dalam sungai atau parit sekurang-kurangnya satu hingga tiga jam pada  awal pagi. Aktiviti ini seeloknya dijalankan sesudah waktu Subuh kerana airnya yang sejuk dapat melembutkan kulit, seterusnya memudahkan proses berkhatan.

Kanak-kanak yang akan berkhatan disemburkan dengan air menggunakan pili bomba.

Amalan ini sudah semestinya sukar dilakukan oleh masyarakat moden pada masa ini terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Hal ini menyebabkan segelintir pihak yang berusaha menghidupkan budaya berkhatan tradisional menggantikan upacara berendam ini dengan semburan air menggunakan pili bomba. Kanak-kanak juga dilihat seronok dan ceria, seterusnya dapat mengurangkan perasaan takut dan bimbang mereka untuk berkhatan.

Selepas itu, bapa akan mengendong anak mereka dan dibawa berarak ke tempat untuk berkhatan. Dalam majlis berkhatan tradisional, mereka diraikan seperti pengantin dengan duduk di pelamin dan perarakan.

Abd. Ghani On dalam kajiannya “Adat Berkhatan di Negeri Perlis” menyatakan bahawa antara peralatan yang digunakan oleh tok mudim semasa proses berkhatan termasuklah pisau khas khatan, penyepit yang diperbuat daripada tanduk, ubat luka, kain putih dan kertas wau untuk membalut serta benang untuk mengikat.

Manakala, ibu bapa perlu menyediakan sirih pinang selengkapnya sama ada diletakkan di atas piring atau dalam tepak sirih, sebiji buyung air, sebatang batang pisang, piring yang berisi abu, kain putih panjang lima hasta atau kain sarung yang tidak berjahit dan duit sebanyak RM 25.15 atau lebih berdasarkan kemampuan mereka untuk diberikan kepada tok mudim.

Batang pisang digunakan dalam amalan berkhatan secara tradisional.

Kanak-kanak yang akan berkhatan kemudiannya didudukkan secara bercelapak di atas batang pisang yang telah disediakan. Tok mudim akan meletakkan piring yang berisi abu di bawah kelangkang kanak-kanak itu sebagai bekas untuk menahan darah. Kemudian, tok mudim segera menyunatkan kanak-kanak tersebut.

Setelah selesai, kanak-kanak tersebut  dibawa ke tempat tidur yang disediakan khas dan mereka dilarang bergerak untuk mengelakkan kecederaan. Kanak-kanak yang berkhatan secara tradisional juga perlu mengikut beberapa pantang larang, seperti tidak boleh melangkah bendul kerana takut luka lambat baik, minum air yang terlalu banyak kerana boleh menyebabkan bengkak tali air dan sakit sewaktu hendak membuang air kecil, serta melangkah tahi ayam kerana takut kemaluan akan lambat baik dan menjadi busuk.

Amalan berkhatan tradisonal yang dipenuhi dengan adat sewajarnya terus disuburkan walaupun memilih kaedah moden untuk berkhatan. Hal ini dikatakan demikian kerana berkhatan merupakan peristiwa bersejarah yang menjadi kenangan seumur hidup seorang kanak-kanak lelaki dan semestinya lebih diingati jika dilakukan dengan penuh meriah.

Adat seperti menepung tawar, berendam atau bersiram dan berarak masih dapat dilaksanakan oleh masyarakat pada hari ini. Jika tiada pihak yang berusaha untuk menyuburkan budaya berkhatan secara tradisional ini, sudah tentu masyarakat zaman moden langsung tidak mengetahui tentang amalan berkhatan orang Melayu yang penuh dengan adat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.