25 November 2023, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dianugerahkan Profesor Emeritus dalam bidang Alam dan Tamadun Melayu pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-51 yang berlangsung pada hari ini. Majlis konvokesyen tersebut diadakan oleh UKM sehingga 30 November 2023 bagi meraikan graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang ilmu yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Menurut UKM, anugerah tersebut sangat bermakna untuk menghargai sumbangan dan kesarjanaan YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam meningkatkan kecemerlangan serta citra universiti berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang merupakan pakar dalam bidang linguistik dan perancangan bahasa, tamadun alam Melayu serta persuratan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, selain sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam mengangkat ilmu sebagai tamadun bangsa, beliau berjaya menghasilkan beberapa buku penting, antaranya termasuklah Ceritera Bahasa (2002) yang mengetengahkan perkembangan bahasa Melayu pada era pasca merdeka; Warna dan Suasana (2006) yang membicarakan hala tuju, perencanaan dan masa depan bahasa Melayu; Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsa (2009) yang menghimpunkan beberapa esei penting beliau tentang hal bahasa, pemaknaan pandangan alam dan pemikiran dalam tamadun Melayu; dan Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam (2010) yang menerangkan dengan ringkas tentang asas falsafah dan logika dalam beberapa ranah kehidupan tamadun Melayu.

Antara beberapa hasil penulisan YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga pernah menyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing dan menjadi Profesor Tamu di beberapa buah universiti terkemuka antarabangsa.

Terdahulu, YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan telah menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-15 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang berlangsung pada 5 November 2023 hingga 8 November 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.