25 November 2023, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dunia teater tanah air dimeriahkan lagi melalui pementasan magis sebuah adaptasi daripada cerpen oleh Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Ceritera dari Maghrib al-Eksa arahan Fairul Pujangga bermula pada 24 November 2023 hingga 26 November 2023, di Stor Teater, Wisma DBP.

Pengarah pementasan Ceritera dari Maghrib al-Eksa, Fairul Pujangga berkata bahawa 85 peratus jalan cerita asal masih dikekalkan melalui naskhah drama pentas ini.

Ujarnya lagi,

Olahan hanya berlaku pada babak akhir pementasan, dan pada babak pertengahan sebagai teknik untuk memudahkan penonton lebih memahami perjalanan dan kandungan cerita. Namun begitu, hal-hal yang lain masih dikekalkan.

Selain mengangkat tema kemanusiaan, Ceritera dari Maghrib al-Eksa berkisar tentang huru-hara dan kekacauan dunia yang dilihat masih berlaku pada hari ini akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.

Pementasan yang dijayakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSemKL) ini mengekalkan tajuk yang sama seperti cerpen asal.

Barisan pelakon seperti Azerai Azmi, Intan Suraya, Saifulwazien dan para pelajar seni teater SSemKL serta penampilan khas pelakon cilik Umar Rayyan memberikan nafas baharu pada pementasan ini.

Kebolehan para pelakon diuji sepanjang pementasan yang berlangsung selama tiga hari ini dan menjadi kekuatan utama untuk menghidupkan nadi sebuah naskhah drama pentas.

Bagaimanapun, kejayaan dalam merealisasikan adaptasi cerpen Ceritera dari Maghrib al-Eksa ini secara tidak langsung membuktikan bahawa sesebuah karya kreatif yang diadaptasi mampu menghasilkan magisnya tersendiri melalui kebijaksanaan dan kreativiti seorang pengarah.

Kredit foto: Sharrul Rizal Hashim

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.