27 November 2023, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kira-kira 100 pempamer merangkumi studio-studio animasi, penerbit komik, pencipta kraf, pengumpul barangan permainan, serta 10 buah institusi pengajian tinggi menyertai Festival Animasi (Anifest) 2023 yang bertemakan “Animasi, Komik, Hobi dan Pendidikan” pada 24 hingga 26 November, di KL Gateway Mall, dari pukul 10 pagi hingga 6.30 petang.

Walaupun diadakan sejak tahun 2015 di pelbagai tempat, tetapi Anifest 2023 merupakan program kali ketujuh anjuran Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) kerana tidak diadakan pada tahun 2020 dan 2021, akibat penularan COVID-19. Anifest ini adalah yang kali kedua diadakan di KL Gateway Mall selepas tahun 2022.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh ketika berucap merasmikan Festival Animasi (Anifest) 2023.

Penganjuran Anifest 2023 turut mendapat kerjasama 45 buah agensi tempatan seperti Pakaian Hari-Hari serta Persatuan Penggiat dan Pelukis Komik Malaysia (Pekomik).

Pelbagai acara diadakan bagi mengisi Anifest 2023 seperti sudut pameran animasi, KKKL Coswalk, sesi perkongsian industri, bengkel Stop Motion oleh Wong Pak Tin, Animasi Misi oleh Afiq Salam, Panel Cosplay bersama Saakira Izumi, MMU – Animasi Kartunis Sireh: Pameran Kerja Pelajar MMU Generasi Baharu, Dubbers Inc: “Kerjaya Pelakon Alih Suara dan Cabaran di Era AI”, Fobia 3D dan Penawarnya! Dr. Niezam Othman dari Jabatan Multimedia Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, serta Minum dan Melukis Bersama Azhar Abdullah.

Antara aktiviti lain yang turut menarik penyertaan orang awam dengan menampilkan hadiah menarik termasuklah Wacana “The Art of The Pillar of Strength” oleh Aie Ibrahim, dan “Bengkel Melukis Komik bersama Ustaz Kartun” dengan tema “Demimu Palestin”.

Pelancaran Anifest 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh pada 25 November, yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar KL Gateway Mall, Wivien San; Presiden ANIMAS, Ameir Hamzah Hashim; Presiden Pekomik, Rani Ahmad dan wakil KOLONI Orang Berbakat Luar Biasa (PORT) Ipoh, Yushaimy Othman.

Syed Ibrahim turut melancarkan Program Candawara TV, iaitu “Inspirasi Malaysia”, dan platform komik digital tempatan SakoComic serta sebuah komik baharu berjudul Hero Bara Api.

“Inspirasi Malaysia” ialah program TV melibatkan 15 orang artis “doodle” dalam program Doodle pertama di Malaysia, diterbitkan menerusi inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tahun ini.

SakoComic pula dihasilkan oleh anak seni Perak, iaitu PORT. Jika selama ini peminat tempatan membaca komik dari platform luar negara, kelahiran SakoComic dapat menyokong para penggiat komik tempatan.

Wacana “The Art of The Pillar of Strength oleh Aie Ibrahim (kanan).

Dalam ucapan alu-aluannya, Ameir Hamzah menjelaskan bahawa penganjuran Anifest selama ini atas dana yang diusahakan sendiri oleh ANIMAS. Begitu pun, tegas beliau, kekurangan itu tidak pernah membunuh semangat semua yang terlibat menjayakannya.

Syed Ibrahim pula dalam ucapannya menyatakan kekaguman atas semangat penganjur Anifest sehingga kini. Beliau mengucapkan tahniah serta selamat berjaya untuk tahun-tahun mendatang.

Penganjuran Anifest, kata beliau, menunjukkan semangat dan usaha keras penganjur dalam memajukan bidang seni hingga menjadi platform untuk pelbagai pihak seperti syarikat besar dan kecil, persatuan, serta individu mempamerkan karya seni dalam animasi, komik dan hobi kepada masyarakat.

“Pertandingan “doodle battle” dalam Anifest sebelum ini yang telah diangkat menjadi Inspirasi Malaysia di televisyen, menunjukkan pengaruh positif Anifest dalam merapatkan rantai ekosistem industri dan merakyatkan seni,” tambah Syed Ibrahim.

Ahli Parlimen Ledang tersebut juga menyatakan pelancaran platform komik digital, dan manual turut menjadi langkah positif dalam menyemarakkan industri seni kreatif melalui cabang TVET.

YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh meluangkan masa beramah mesra dengan pempamer di Festival Animasi 2023.

“Saya yakin kerjasama pemegang taruh industri animasi, khususnya ANIMAS dan rakan-rakan perlu dilihat dalam asas pembangunan industri pada peringkat dasar, dan pengurusan dana kandungan pada masa hadapan. Justeru, Anifest wajar disokong sebagai program bertaraf kebangsaan, dan boleh membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” tegas Syed Ibrahim.

Beliau menyeru semua karyawan dan penggiat agar terus bersatu dalam seni dan sama-sama menjadikan Anifest sebagai medan penyatuan serta menolak perpecahan. Mereka, tambahnya, tanpa mengira aliran, perlu terus bersatu dalam menjayakan citra dan hasrat murni negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.