Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBanda Hilir – Dalam usaha memartabatkan warisan tidak ketara seperti tarian dondang sayang di negeri ini agar terus kekal terpelihara, kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan tapak kawasan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Banda Hilir sebagai kawasan persembahan dan latihan kebudayaan.
Menurut Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, langkah itu dicadangkan supaya warisan tidak ketara seperti tarian dondang sayang dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan hal tersebut adalah seiring dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
“Cadangan untuk menjadikan kawasan Banda Hilir sebagai kawasan persembahan dan latihan kebudayaan amat sesuai kerana langkah itu sekali gus akan dapat menambahkan kemeriahan serta menarik kedatangan pelancong ke kawasan Zon Bebas Kenderaan yang dilaksanakan di kawasan tapak UNESCO.
“Langkah ini sekali gus mampu memartabatkan seni budaya warisan negeri Melaka dan mempromosikan produk-produk warisan negeri kepada pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Melaka pada tahun hadapan,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang diadakan di pekarangan Muzium Rakyat.
Menurut Zaidi, beliau dan Institut Warisan Melaka (INSWA) melihat ada beberapa bakat muda yang boleh diketengahkan. Peserta pelapis kebudayaan itu akan di tempatkan untuk berlatih dan membuat persembahan kebudayaan di kawasan Zon Bebas Kenderaan yang dilaksanakan di kawasan tapak UNESCO.
Katanya, bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan dan mengetengahkan bakat yang ada, kerajaan negeri turut mempelawa organisasi yang berminat untuk melaksanakan program di kawasan berkenaan.
Ujar Zaidi lagi, bagi memastikan dondang sayang kekal diiktiraf oleh UNESCO, pelbagai program dan pertandingan membabitkan warisan itu akan dianjurkan di negeri ini bersempena dengan TMM 2024 dan usaha tersebut mampu membuka lebih banyak penyertaan dari luar Melaka.
“Kita akan memperbanyakkan penganjuran seperti ini untuk memartabatkan seni tari ini agar ada pelapis pada masa hadapan dengan penyertaan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Justeru itu, saya berharap akan lebih banyak pelibatan dari luar Melaka kerana kita mahu “jual” identiti dondang sayang yang bukan sahaja menggambarkan imej Melaka tetapi sebagai identiti warisan dunia,” katanya.
Terdahulu, Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang diadakan itu disertai oleh 279 orang peserta dari seluruh negara yang bertanding dalam kategori vokal dan tarian.
Yang turut hadir pada acara tersebut ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka, Yeow Chin Chai; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar INSWA, Abdul Malek Bador.