28 November 2023, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Persatuan Pengamal-Pengamal Adat Melayu Sidang Negeri Melaka telah menganjurkan Seminar Adat Melayu di Dewan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), baru-baru ini.

Seminar anjuran bersama oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) DUN Serkam dan Perzim itu disertai kira-kira 40 orang peserta yang terdiri daripada Tok Sidang, Pengerusi JKK Kampung dan Pegawai Adat dari DUN Serkam.

Yang Dipertua Persatuan Pengamal-Pengamal Adat Melayu Sidang Negeri Melaka, Sidang Muslihin Muhammad berkata, seminar dua hari yang diadakan itu bertujuan untuk memberikan lebih pengetahuan dan pendedahan kepada ketua dan pemimpin adat khususnya dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu.

Peserta Seminar Adat Melayu ketika menyertai aktiviti di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut Muslihin, usaha tersebut penting kerana sebagai ketua adat, mereka perlu tahu melaksanakan adat istiadat perkahwinan Melayu yang melibatkan adat merisik, meminang dan pernikahan yang semuanya ada melibatkan tugas dan peranan Ketua Adat atau dipanggil Sidang.

“Pada zaman siber hari ini, cabaran kepada semua pemimpin adat atau Sidang dalam memastikan adat bangsa yang diwarisi daripada nenek moyang terus kekal terpelihara dan tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Muslihin turut menjelaskan bahawa Persatuan Pengamal Adat Melayu Sidang Negeri Melaka memandang serius perihal semakin banyak masyarakat Melayu yang enggan mempraktikkan adat bangsa dan jumlah tersebut semakin meningkat dari semasa ke semasa dengan alasan kehidupan pada zaman sekarang tidak lagi memerlukan adat.

“Justeru itu diharap seminar ini dapat memberikan lebih pengetahuan kepada peserta akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan ketua adat,” katanya.

Pada seminar itu, peserta dibimbing oleh Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. Menerusi seminar itu juga, peserta dapat mengetahui dengan lebih dekat tentang adat Temenggong dan Perpatih yang digunakan dalam kehidupan harian dan hal tersebut amat penting terutamanya kepada Tok Sidang, JKK Kampung serta Pegawai Adat.

Turut dikongsi ialah cara penggunaan peralatan adat seperti tepak sirih, bunga rampai, sirih junjung serta bimbingan penggunaan bahasa puisi seperti pepatah petitih, pantun, gurindam dan seloka,

Pada sebelah malam, peserta menyertai Program Bermalam di Muzium Istana Kesultanan Melaka dan mengikuti aktiviti seperti mengikat samping, membuat tengkolok serta adat meminang.

Peserta Seminar Adat Melayu bergambar bersama-sama dengan Timbalan EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Melaka, YB Datuk Haji Zaidi Attan.

Muslihin berkata, dalam aktiviti tersebut semua Tok Sidang berbaju Melayu serba hitam dan bersamping seolah-olah berada dalam majlis yang sebenar.

“Melalui aktiviti ini, semua Tok Sidang berpeluang bertanyakan soalan kepada Pegawai Adat dan ini dapat dikongsikan bersama kakitangan PERZIM yang berada di sana,” katanya.

Yang turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, YB Datuk Haji Zaidi Attan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.