5 Disember 2023, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sewaktu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan, mengisytiharkan 3 Disember setiap tahun dimasyhurkan sebagai Hari Batik Malaysia (HBM). Pada hari tersebut, seluruh rakyat Malaysia digalakkan untuk memakai pakaian Batik Malaysia.

Pengisytiharan HBM itu tepat apabila semua rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati menggayakan keunikan dan keindahan produk kraf negara melalui pemakaian batik tempatan. Langkah tersebut memacu pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan pemakaian Batik Malaysia di semua peringkat termasuklah institusi pendidikan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

YB Datuk Seri Tiong King Sing (tiga dari kiri) selepas melancarkan Jualan Rahmah Batik bersama-sama Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli (dua dari kanan) dan Dato’ Shaharuddin Abu Sohot (kanan sekali).

Pemilihan 3 Disember juga adalah sebagai tanda menghargai sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik yang ditonjolkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah Datin Paduka Seri Endon telah memulakan kempen Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Pengisytiharan HBM membuka peluang serta manfaat kepada usahawan, dan komuniti kraf untuk menghasilkan produk batik pelbagai kegunaan dalam kehidupan seharian. Begitu juga kepelbagaian penggunaan teknik, dan bahan baharu dalam penghasilan batik supaya industri ini lebih berdaya saing pada masa hadapan. Persaingan ini memberi pilihan kepada pengguna untuk merasai dan mengguna pakai batik tempatan yang kualitinya setanding produk luar negara.

Secara langsung, HBM juga menyuntik semangat dalam melahirkan lebih ramai usahawan serta komuniti kraf batik yang kreatif dan inovatif, melonjakkan permintaan terhadap produk batik, serta meningkatkan pendapatan pembatik serta rantaian pengeluarannya. Usaha ini selaras dengan hala tuju Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), “Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat”. Hal ini membuktikan sokongan kerajaan terhadap kelestarian industri kraf yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sambutan HBM diteruskan pada tahun ini dengan penganjurannya masuk kali ketiga. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia, menganjurkan Sambutan HBM 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 20 November hingga 4 Disember lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, YBrs. Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli, dengan tema “Ini Batik Malaysia”, sambutan HBM 2023 bertujuan memartabat, dan memperkasakan industri kraf batik di negara ini, serta meningkatkan lagi kesedaran, dan penggunaan batik Malaysia dalam kalangan rakyat, sekali gus dapat memelihara seni warisan negara.

Reruai Jualan Rahmah Batik yang dilancarkan pada 3 Disember lalu oleh YB Datuk Seri Tiong King Sing.

“Pengisytiharan HBM memperlihatkan semangat jati diri rakyat Malaysia yang menghargai kraf warisan tempatan yang secara tidak langsung memberikan limpahan ekonomi kepada usahawan serta komuniti kraf batik, dan pada masa sama melonjakkan industri kraf negara,” kata Puan ‘Ainu Sham lagi.

Antara acara yang mengisi HBM 2023 termasuklah jualan kraf batik, pameran kraf, demonstrasi kraf batik, interaktif kraf, Jom Membatik, Zumbatik (3 Disember),  persembahan kesenian dan Jualan Rahmah Batik.

“Jualan Rahmah Batik pada 3 Disember memberikan kelainan bagi Sambutan HBM 2023, dengan menawarkan harga di bawah RM100 bagi produk kraf batik seperti kemeja lelaki, kain pasang, blaus, dan kardigan,” jelas ‘Ainu.

Sambutan HBM 2023 juga diadakan serentak di semua Kraftangan Malaysia cawangan negeri dan Kompleks Kraf Langkawi, serta pusat beli-belah seperti AEON Mall Manjung, Perak; KB Mall, Kelantan; One Borneo Kota Kinabalu, Sabah dan Freeport A‘Famosa Outlet, Melaka.

Agak istimewa, sambutan HBM 2023 juga tiada majlis pelancaran, sebaliknya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Seri Tiong King Sing hadir untuk melancarkan Jualan Rahmah Batik.

Yang turut hadir bersama-sama YB Datuk Seri Tiong King Sing ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, dan ‘Ainu sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.