9 Disember 2023, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Rakyat di negeri Perlis perlu memainkan peranan masing-masing kerana secara tidak langsung mereka merupakan duta Tahun Melawat Perlis 2024–2025.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024–2025 di Dewan 2020, Kangar.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah dalam Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024–2025 di Dewan 2020, Kangar.

Bentuk muka bumi yang unik, landskap yang menarik, tarikan alam semula jadi dan sempadan yang memisahkan antara Malaysia dengan Thailand menjadi faktor tarikan utama di negeri ini.

Oleh sebab itu, berilah layanan yang beradab, sopan santun, berbudi bahasa dan mesra serta sentiasa menjaga imej dan persepsi baik para pelancong terhadap kita.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Ketibaan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024–2025.

Titah baginda, untuk menarik lebih banyak rakyat di negara jiran bagi memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis, usaha mempromosikan keunikan negeri ini di Thailand, terutamanya di wilayah selatan perlu dilipatgandakan.

Selain itu, pemain industri termasuklah pengusaha rumah inap, agensi pelancongan, pemilik restoran serta pengendali pengangkutan awam perlu menambah baik prasarana masing-masing dengan mengutamakan kebersihan, mengukuhkan tahap keselamatan dan menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan serta peka akan kehendak pelanggan agar mereka bertandang berulang kali.

Sekitar Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024–2025 berlangsung.

Baginda turut menitahkan bahawa pengunjung boleh meluangkan masa dengan meneroka keindahan dan keistimewaan Perlis, selain menikmati makanan unik serta melawat tempat yang menarik dengan kos yang berpatutan.

Berbelanjalah dengan membeli produk keluaran tempatan dan apabila berkunjung ke negeri Perlis, jadikanlah kunjungan itu sebagai suatu kenangan dan memori yang indah.

Baginda turut menitahkan kepada rakyat agar menjadikan pengalaman kempen Tahun Melawat Perlis 2003–2005 yang lalu sebagai panduan dan titik tolak bagi mencapai kejayaan yang lebih baik dalam kempen Tahun Melawat Perlis pada kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.