15 Disember 2023, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Othman Zaharuddin Haron atau nama sebenarnya Othman bin Harun, penerima anugerah Tokoh Seni Negeri Terengganu 2023 (Seni Teater) dalam majlis Anugerah Seni Budaya Terengganu (ASBT 2023),19 Oktober 2023 lalu telah meninggal dunia pada 12 Disember 2023 di kediamannya di  Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

Allahyarham dilahirkan pada 30 Ogos 1953 dan berasal dari Kampung Binjai Rendah, Marang, Terengganu. Bidang yang diceburi beliau ialah penciptaan lagu puisi, penulisan skrip, pekerja pentas, pelakon dan pengarah drama radio dan pentas.

Telah menjawat pelbagai jawatan dalam persatuan seni budaya antaranya sebagai Setiausaha Agong Majlis Teater Kebangsaan Malaysia (TEMA), Penyelia dan Setiausaha Kerja Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu (MKN), Setiausaha Majlis Teater Negeri Terengganu (MTN) dan Setiausaha Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER).

Megat Panji Alam merupakan antara teater terakhir arahan Allahyarham Othman Zaharuddin Haron.

Mula bergiat dalam teater sejak di tingkatan satu (1966) sebagai pelakon dalam teater Inggeris berjudul Butterfly.   Merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui drama Teng dalam Pertandingan Teater dan Tarian Peringkat Negeri Terengganu (1978) dan pernah membuat persembahan di Taman Ismail Marzuki, Indonesia (1986).

Allahyarham pernah mengarahkan teater Malam Ini Penyu Menangis (1996) dan pernah menghasilkan skrip dan mementaskan teater Senok di Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Skripnya Nyiur Gading Selasih Idaman turut termuat dalam antologi drama remaja Tanah Ronggeng terbitan DBP pada tahun 1992.

Atas ketokohan Allahyarham yang begitu sinonim dengan perkembangan dan pembangunan teater di negeri Terengganu juga, beliau selalu dijemput memberikan ceramah serta sering dilantik sebagai hakim atau juri pertandingan teater sama ada di peringkat negeri mahupun IPT tempatan.

Sepanjang kewujudan Taman Budaya Negeri Terengganu yang kini dikenali Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu, beliau semakin aktif dan turut menulis serta mengarahkan teater termasuklah Lorong Belakang (2003), Tongkat Ali Kacip Fatimah (2005),  Hikayat Putera Sulung (2009), dan Nyior Komeng di Tanjong Luang (2022). Terkini Allahyarham sempat mengarahkan dua buah teater, iaitu Baju Kot Nik Asmara (4 Okt. 2023) dan Megat Panji Alam (3-4 Nov. 2023). Beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Pendukung Seni Budaya Negeri Terengganu (2015).

Wan Ahmad Ismail (kiri) ketika bergambar bersama-sama Allahyarham Othman Zaharuddin Haron.

Allahyarham disifatkan seorang yang kreatif, peramah, mesra, sering membantu, mempermudah sebarang urusan, menyokong aktiviti bahasa, sastera dan budaya serta cekal dalam perjuangan memartabatkan seni pementasan teater di Terengganu khasnya.

Wan Ahmad Ismail, penulis prolifik dan penerima Sasterawan Harapan Terengganu berkata kepada penulis, “Saya kehilangan sahabat, kawan, teman taulan yang karib sejak seawal 1970-an hingga kini. Saya dengan arwah seperti adik-beradik saudara hampir. Arwah banyak membantu saya dalam banyak hal termasuk hal ehwal keluarga, seni budaya, sastera dan teater. Kami terlalu rapat. Semoga arwah dicucuri rahmat dan dimasukkan ke syurga bersama-sama orang-orang yang soleh dan beriman. Al-Fatihah buat arwah”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.