18 Disember 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara (ASN) pada tahun 2024 seperti yang dimumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Menurut MOTAC, ASN merupakan satu anugerah dan pengiktirafan tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan serta sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air meliputi bidang seni muzik, seni tari, seni kraf dan seni visual.

“Pelaksanaan semula ASN 2024 merupakan satu langkah dalam menzahirkan keprihatinaan kerajaan khasnya pihak MOTAC untuk mengiktiraf jasa, sumbangan dan ketokohan penggiat seni yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat Madani,” menurut MOTAC dalam satu kenyataan.

Katanya, ASN telah diadakan sebanyak lapan edisi, iaitu bermula dari tahun 1993, 1995, 1997, 1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya ialah pada tahun 2009.

Tambahnya, anugerah tertinggi melalui ASN ialah Anugerah Seniman Negara yang diberikan kepada seseorang penerima tunggal pada setiap sesi pelaksanaannya.

Menurut MOTAC, bidang pencalonan anugerah untuk edisi kali ini dibuka kepada tiga kategori iaitu Anugerah Seniman Negara; Anugerah Karyawan Seni Negara yang terbahagi kepada lima kategori, iaitu Anugerah Karyawan Seni Muzik, Anugerah Karyawan Seni Tari, Anugerah Karyawan Seni Lakon, Anugerah Karyawan Seni Kraf dan Anugerah Karyawan Seni Visual serta tiga penerima Anugerah Pendukung Seni (Media/Korporat/Badan Bukan Kerajaan).

“Antara tokoh yang pernah menerima Anugerah Seniman Negara ialah Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab (Seni Muzik), Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan), Datuk Syed Alwi Syed Hassan (Seni Teater), Khatijah Awang (Seni Makyung), Wan Su Othman (Seni Tampak Ukir), Datuk Syed Ahmad bin Syed Jamal (Seni Lukis Visual) dan Hamzah Awang Amat (Wayang Kulit Tradisional),” maklumnya.

Katanya, MOTAC mengalu-alukan pencalonan daripada penggiat industri, karyawan dan seniman dalam bidang seni muzik, tari, lakon, kraf dan visual untuk ASN ini. Tokoh yang dianugerahkan dalam ASN 2024 bakal menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM60 ribu, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah penganugerahan, trofi, penerbitan berkaitan tokoh serta menjadi seniman tamu MOTAC.

Katanya, pemenang akan turut menerima insentif penghasilan karya, kemudahan rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta kemudahan atau tambang pengangkutan awam milik kerajaan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai syarat-syarat pencalonan dan keterangan lanjut mengenai ASN 2024, orang ramai boleh melayari http://www.motac.gov.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.