19 Disember 2023, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Dalam usaha menyemarakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Hari Kebaya Baba Nyonya selama tiga hari bertempat di Bangunan Stadthuys.

Ketua Menteri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tarikh penganjuran hari khas itu akan dimaklumkan kelak dan melibatkan banyak pihak termasuklah pengunjung dan pelancong yang akan mengenakan busana kebaya Melaka.

Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (empat dari kanan) bergambar bersama pada Majlis Perasmian Penutup dan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Tahun 2023.

Menurutnya, pelbagai acara menarik turut diatur melibatkan program seni dan budaya, masakan serta gaya hidup masyarakat peranakan yang ada di Melaka, termasuk Chetti dan Portugis.

“Pada hari itu juga kita akan hidupkan Muzium Seni Budaya supaya orang ramai dapat lebih mendalami budaya peranakan yang ada di Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup dan Jamuan Makan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Pengurus Besar INSWA Abdul Malek Bador.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga, beliau percaya program yang akan dikelolakan oleh Institut Warisan Melaka (INSWA) itu akan menjadi satu sektor pelancongan terbaharu yang akan memberikan pulangan kepada peniaga-peniaga di negeri ini..

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyeru komuniti peranakan yang ada di Melaka supaya terus memperkukuh dan memperkasakan hubungan yang terjalin sesama diaspora agar terus dikembangkan dalam bidang-bidang lain termasuk kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan.

Persembahan Baba Nyonya dalam Majlis Perasmian Penutup dan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Tahun 2023.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong kepelbagaian inisiatif melibatkan budaya dan warisan masyarakat peranakan bagi mengelakkannya daripada pupus dan lenyap ditelan zaman.

“Saya amat yakin dan percaya, melalui penonjolan khazanah seni, budaya dan warisan masyarakat peranakan ini, usaha ini akan dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan seni dan budaya di Melaka,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.