21 Disember 2023, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putera – Momentum Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 terus diperhangatkan lagi dengan kehadiran sebanyak 360 orang peserta dari 18 buah negara yang menghadiri Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem di Perlis bermula 18 Disember hingga 25 Disember 2023.

Program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Al Khaadem dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni peserta Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem di Pusat Islam PTSS, Pauh Putra.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni peserta ketika mereka mendaftarkan diri di Pusat Islam PTSS di Pauh Putra.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden Pertubuhan Al Khaadem Datuk Sheikh Hussain Yee, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain daripada Malaysia, turut mengambil bahagian ialah peserta dari Australia, Brunei Darussalam, China, Mesir, Fiji, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Kiribati, Kuwait, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Arab Saudi, Singapura dan United Kingdom. Peserta tersebut terdiri daripada golongan muda yang berusia 10 hingga 18 tahun.

Datuk Sheikh Hussain Yee menyembah maklum kepada DYTM Tuanku Raja Muda bahawa tujuan utama penganjuran kem belia tersebut adalah untuk menyemai adab dan nilai-nilai murni serta pengetahuan universal Islam ke dalam jiwa dan minda peserta supaya mereka dapat menjaga diri daripada segala pengaruh negatif.

Selain itu, program tersebut turut berhasrat menyemai nilai kekeluargaan dan membentuk watak anak muda agar menjadi anak yang soleh serta solehah. Pelbagai aktiviti fizikal di samping pengisian ilmu serta kerohanian dilaksanakan sepanjang tempoh kem tersebut berlangsung di beberapa lokasi menarik di sekitar Perlis.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs sangat mengambil berat akan perihal sektor pelancongan di negeri Perlis. Baginda menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan negeri Perlis untuk tahun kedua sebagai lokasi penganjuran yang secara tidak langsung menunjukkan sokongan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa terhadap kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.