22 Disember 2023, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dato’ Haji Mohd Zamri Haji Abdul Aziz, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), menyempurnakan perasmian Laman Bacaan Ibnu Khaldun di JPN Kelantan baru-baru ini. Laman ini diadakan bertujuan memupuk dan menggalakkan minat membaca serta memugar rasa kecintaan terhadap buku.

Dato’ Haji Mohd Zamri Haji Abdul Aziz, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan merasmikan Laman Bacaan Ibnu Khaldun.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Haji Mohd Zamri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sektor Pembelajaran selaku urus setia, semua sektor di JPNK dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kelantan yang menyumbangkan buku dan bahan bacaan lain. Terima kasih juga ditujukan khas kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Syarikat Muda Osman Sdn. Bhd. yang memberikan sumbangan buku dan rak bersama-sama menyokong usaha JPNK merealisasikan penubuhan laman bacaan ini.

Nama Ibnu Khaldun dipilih sebagai nama laman bacaan ini kerana tokoh Islam ini merupakan insan yang amat hebat dan seorang ilmuwan muslim terkemuka. Beliau tersohor sebagai pakar sejarah, pakar ilmu sosiologi, ahli falsafah, tokoh negarawan serta penggiat budaya dan kesusasteraan Arab.

Berdasarkan Indeks Skor Budaya Sedunia (WCSI) 2023, rakyat Malaysia membaca kurang tiga jam seminggu, iaitu 15 hingga 20 buku sahaja setahun berbanding dengan rakyat India yang memenuhi aktiviti mereka dengan membaca lebih 10 jam seminggu. Data yang dikaji oleh Picodi.com 2021 pula memaparkan sebanyak 76 peratus, iaitu 18 juta rakyat Malaysia hanya membeli sebuah buku sahaja setahun.

Pengarah Pendidikan Kelantan menyampaikan cenderamata kepada DBPWT selaku penyumbang buku Laman Bacaan Ibnu Khaldun.

Seterusnya, dapatan kajian daripada Pustakawan Kanan dan Ketua Bahagian Penyelidikan dan Maklumat, Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) pula, buku berbentuk fiksyen sangat popular dalam kalangan pembaca Malaysia,  merekodkan 76 peratus, manakala bacaan bukan fiksyen, iaitu buku berbentuk ilmiah sebanyak 34 peratus sahaja. Data ini menunjukkankan kadar rakyat Malaysia membaca bahan yang serius dan berilmu tinggi adalah rendah.

Mohd Hassany Hashim, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPNK selaku penganjur utama program berkata, Laman Bacaan Ibnu Khaldun ini penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga JPNK dan pelanggan yang datang berurusan di JPNK tentang kepentingan membaca sebagai kunci ilmu pengetahuan yang tiada batasan.

Beliau juga amat mengharapkan agar pelanggan perkhidmatan menyedari bahawa JPNK sebagai institusi pendidikan yang sentiasa mementingkan ilmu pengetahuan dan budaya membaca yang mesti dipupuk dan menjadi amalan walaupun kita berada di mana-mana.

Hadir sebagai penyumbang buku ialah wakil Pengarah DBPWT, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, Pengarah Urusan SMO Sdn. Bhd., Ahmed Azim Othman dan Rozaini Abdullah, penulis yang berkhidmat di JPNK serta ketua-ketua sektor di JPNK dan seluruh PPD di Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.