Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSimpang Ampat – Kepelbagaian kaum, budaya dan agama masyarakat Malaysia menjadikan masyarakat negara ini unik berbanding banyak negara lain. Namun, beberapa elemen penting dari pelbagai sudut perlu diuruskan dengan baik terutamanya dalam aspek kemajmukan sosial.
Agama merupakan asas kepada pemikiran, corak kehidupan dan prinsip-prinsip serta menjadi panduan bagi peradaban sepanjang masa.
Peraturan, undang-undang, hukum hakam yang telah dibentuk dan dikuasakan perlu dipatuhi oleh setiap rakyat negara ini.
Keabsahan sesebuah kerajaan yang berkuasa atau sedang memerintah dalam menjaga kepentingan masyarakat juga perlu mengikut lunas undang-undang.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 70 orang penerima dari kariah Masjid Darul Salam Padang Keria dan 70 lagi penerima dari kariah Masjid Datuk Jaafar Hassan Sungai Padang dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Darul Salam, Padang Keria, Simpang Ampat baru-baru ini. Masing-masing menerima RM700 dengan jumlah penuh bernilai RM98,000.
Tambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, “Bahasa Jiwa Bangsa” pula merupakan satu hikmah yang menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya yang menjadi kekuatan bangsa dan seterusnya negara.
“Adat dan budaya yang pelbagai perlu diraikan dan dihormati semua pihak tanpa membelakang agama”, jelas baginda.