Oleh Jamil Hashim
26 Disember 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kembalinya ke pangkuan Ilahi Datuk M. Daud Kilau pada 18 Disember 2023 yang lalu bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan peminat, malah dunia seni tanah air turut merasai kehilangan aura sebagai penghibur tersohor sejak setengah abad yang lalu. Para peminat masih dapat membayangkan kesegakan wajah dan lentok tubuhnya ketika membuat persembahan walaupun dirinya kini telah tiada.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Datuk M. Daud Kilau semakin merosot akibat penyakit kencing manis, darah tinggi, serta penyakit berkaitan dengan jantung yang memerlukan dirinya dirawat di hospital.  Beliau yang dimasukkan ke  Hospital Teluk Intan pada 12 Disember 2023 yang lalu setelah benar-benar uzur akibat komplikasi pelbagai penyakit itu  menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 85 tahun setelah hampir seminggu dirawat.

Pemergian penyanyi legenda itu pada usia emasnya amat dirasai kehilangannya oleh jutaan peminat setia dan dunia seni tanah air. Hal ini dikatakan demikian kerana kemerduan melantunkan dan melenggok vokal suaranya dengan gaya penampilan yang sinonim dengan gelekan ketika menghiburkan peminatnya.

Negara juga turut bersedih dan menyifatkan pemergian penghibur legenda negara itu sebagai suatu kehilangan besar bagi dunia seni. Kesedihan itu turut dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk M. Daud Kilau atas pemergian penghibur tersohor itu.

Turut mengucapkan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah. Baginda berdua turut mendoakan agar Allah SWT sentiasa mencucurkan rahmat kepada Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang yang mulia, beriman dan beramal soleh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, juga mengucapkan takziah kepada keluarga atas pemergian Datuk M. Daud Kilau dan menyifatkan Allahyarham sebagai permata tanah air yang sukar dicari ganti. Pemergian itu turut dirasai oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, kerana Allahyarham sebagai seorang penduduk dalam kawasan parlimen beliau, iaitu Bagan Datoh.

Allahyarham Datuk M. Daud Kilau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan  Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh  yang disaksikan oleh lebih 400 orang penduduk kampung, peminat dan rakan-rakan artis.  Sebagai peminat, bersama-samalah  kita menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham sambil mendoakan agar rohnya dicucurkan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang mulia, beriman dan beramal soleh.

Allahyarham Datuk M. Daud Kilau merupakan anak bongsu daripada 10 orang adik beradik, dan dilahirkan pada 10 Julai 1938 di Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak. Sejak kecil, beliau berperwatakan mesra dengan rakan sebaya dan sentiasa menyantuni penduduk kampung seluruhnya.

Ketika dewasa termasuk pada usia emasnya, beliau amat suka menerima kunjungan sesiapa sahaja. Bahagian hadapan rumahnya yang turut menyediakan  bangku panjang bersandar menampakkan konsep terbuka untuk menerima dan meraikan tetamu yang datang untuk menziarahinya. Terdapat sebilangan mereka datang dari jauh termasuk rakan-rakan artis. Hal ini termasuklah kunjungan rakan seperjuangannya, Datuk DJ Dave sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air pada bulan Julai lalu.

 

Kehidupan sebagai anak seni

Mendengar sahaja nama M. Daud Kilau,  peminat  dan penggemar lagu-lagunya  secara spontan membayangkan wajah beliau yang berkaca mata dengan gaya dandanan rambut yang unik, gelekan semasa persembahan dengan pakaian berkilat yang sudah sinonim dengan penampilan beliau.

Begitu juga dengan keupayaannya melontar dan melenggok vokal suara mendayu ketika mendendangkan lagu-lagu yang sangat memukau. Penampilan beliau yang memang unik dan tersendiri ini melonjakkan nama beliau sehingga dikenali  sebagai “Raja Gelek Malaysia”.

Menurut penyelidik lagu dan filem Melayu, Muhamad Mohd. Hashim, minat M. Daud Kilau dalam seni suara sama seperti orang lain yang sejak awal menggemari penyanyi dan berminat dengan kelunakan suara dan gaya penampilan. Atas keinginan ingin mencuba bakat yang turut didorong oleh rakan-rakan, ketika berusia 30 tahun, beliau memberanikan diri menyertai pertandingan Bintang Radio 1968.  Kelunakan suaranya  mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis melayakkan dirinya terpilih menjuarai pertandingan itu.

Setelah menjuarai pertandingan itu, beliau kerap mendapat undangan mengadakan persembahan di pelbagai tempat yang menjadikan dirinya semakin dikenali oleh masyarakat. Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertanggungjawab mencungkil bakat dan kebolehan sering juga mengundang beliau mengadakan persembahan tujuan rakaman dan siaran.

Hal ini termasuk rancangan mingguan “Pentas Varia” terbitan RTM sejak awal tahun 1970-an serta beberapa rancangan hiburan yang lain  sempena hari raya dan  sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

“Kesempatan menyertai rancangan-rancangan sedemikian itu turut memberi peluang kepada M. Daud Kilau untuk mengasah bakat terutama dalam aspek persembahan dengan kerap berlatih bagi memikat penonton dan memastikan mereka benar-benar terhibur,” cerita Datin Rosni Yusof, mantan penyiar radio Rangkaian Nasional yang menjadi pengacara tetap bagi rancangan itu pada era 1970 dan 1980-an.

Susulan daripada Pertandingan Bintang Radio 1968 itu juga, bakat dan kebolehan M. Daud Kilau turut diintai oleh beberapa syarikat rakaman yang berminat merakamkan lagu.  Hal ini membuka peluang bagi beliau merakamkan beberapa lagu sehingga berjaya melahirkan beberapa album piring hitam dalam genre asli, langgam dan dangdut.

Antara lagu rakaman M. Daud Kilau pada era 1970-an termasuklah Anak Yang Pertama (1972), Ratapan Si Anak Tiri (1974), Kau Pergi Tanpa Pesan (1974), Bujang Bertemu Janda (1975), Hutang Minta Hutang (1977), Sirih Pinang dan Cubit Cubit Sayang (1978) serta Minah Utara dan Cek Mek Molek (1979).

Piring hitam lagu Cubit-Cubit Sayang nyanyian Datuk M. Daud Kilau.

Pada era 1980-an pula, lagu yang dirakamkan ialah Anak Derhaka (1980), Apa Akan Terjadi (1981), Sirih Pinang Ku Beri (1982), Disko Dangdut (1984) dan Jawapannya Begitu (1985).

Bakat beliau semakin menyerlah setelah percubaan menyertai Pesta Dendang Rakyat 1985 anjuran RTM berjaya menjuarai kategori nyanyian lagu asli. Beliau juga aktif menyanyi ketika melangkah awal usia emas 50  tahun pada era 1990-an dengan melahirkan lagu Biar Papa Asal Bergaya (1991), Zapin Panglima (1993), Firasat (1994) dan Gila Judi (1997).

Daripada nyanyian solo pada awalnya dan kemudian pernah berduet bersama-sama penyanyi S.A. Ayesha dan Ifa Raziah ketika melangkah tahun 2000, M. Daud Kilau terus  mengembangkan karier seninya dengan menyanyi dan melahirkan album secara berduet bersama-sama Syura melalui album Senandung Melayu  (2002)  dan Pening bersama Ezlynn (2003).

Bagi menghargai jasa dan sumbangan besar beliau dalam bidang seni, M. Daud Kilau dianugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada tahun 1991 yang membawa gelaran Datuk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.