28 Disember 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Gajah – Bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), semua 182 orang usahawan kraf di Melaka disarankan supaya mengambil peluang untuk mempromosikan dan memperbanyakkan produk keluaran beridentitikan negeri itu.

Puan Mazlina menunjukkan hasil kraf tekstil (jahitan) yang diusahakannya.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Melaka Nur Ithnani Ilyana Alias berkata antara contoh usaha promosi itu termasuklah menjadikan motif bunga rasmi negeri Melaka iaitu bunga kesidang yang boleh digunakan pada sesuatu produk kraf yang dihasilkan mereka.

Menurut Nur Ithnani Ilyana, banyak motif lain yang menarik seperti tangga Melaka, roda kereta lembu, cucuk sanggul dan lain-lain yang boleh ditonjolkan untuk dijadikan sebagai cenderamata.

Nur Ithnani Ilyana (kiri) berbincang dengan pemilik De Legend Craft Enterprise yang mengusahakan bidang kraf logam (piuter) di Durian Tunggal.

“Kita mahu jika pelancong melihat sesuatu produk mereka tahu itu ialah motif beridentitikan Melaka dan secara tidak langsung dapat mempromosikan hasil kraf mereka dan TMM 2024 kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita pada program Jelajah Kraf Media di De Legend Craft Enterprise, Durian Tunggal, semalam.

Ujar Nur Ithnani Ilyana, untuk tahun 2024, pihaknya menyasarkan 10 permohonan daripada usahawan kraf di Melaka akan mendapatkan Standard Kraftangan Malaysia.

“Sehingga kini, terdapat empat orang usahawan di negeri ini yang berjaya mendapatkan pengiktirafan berkenaan sejak mula diperkenalkan tahun lepas melibatkan usahawan bidang tekstil, hasil logam dan hasil rimba.

“Objektif standard ini dibangunkan adalah untuk memartabatkan industri kraf tangan di Malaysia. Sebanyak tujuh penilaian ditetapkan iaitu produk, keupayaan teknikal, pengeluaran, amalan baik, pengurusan, kewangan dan prestasi perniagaan. Menerusi standard ini, penilaian produk berdasarkan kepada tiga perkara iaitu keaslian, kualiti dan pembuatan serta inovasi produk,” katanya.

Mohd Mustazarin bersama salah satu daripada kraf hasil rimba (kayu) yang diusahakannya.

Pada program Jelajah Kraf Media itu, pihak Kraftangan Malaysia telah melawat tiga bengkel usahawan kraf iaitu Che Embun Creative Collection daripada bidang kraf tekstil (jahitan) yang diusahakan oleh Mazlina Abdul Majid di Kampung Rim, Jasin.

Seterusnya lawatan ke Anjung Ukir Enterprise daripada bidang kraf hasil rimba (kayu) yang diusahakan oleh Mohd Mustazarin Abdul Majid di Kampung Parit Perawas, Sungai Rambai dan De Legend Craft Enterprise dalam bidang kraf logam (piuter) yang diusahakan oleh Mohamad Azrai Hussin bertempat di Durian Tunggal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.