28 Disember 2023, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu akan menganjurkan program MOTAC@Bintulu selama tiga hari bermula 29 Disember hingga 31 Disember ini di Lapang Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama), Bintulu, Sarawak.

Menurut MOTAC, pemilihan Bintulu sebagai salah satu lokasi penyemarakan seni budaya di peringkat akar umbi ialah atas daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong datang berkunjung.

“Jumlah ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa ke Sarawak hingga Oktober tahun ini ialah sebanyak 3.187 juta. Keunikan Bintulu sebagai salah satu destinasi pelancongan Sarawak selain untuk mencapai sasaran ketibaan pelancong asing sebanyak 35.6 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah MOTAC dalam satu kenyataan.

Katanya, antara lokasi menarik yang boleh dikunjungi di Bintulu ialah Pantai Tanjung Kidurong, Lambir Hills National Park, Monument Council of State, Esplanade Bintulu, Taman Negara Similajau, Taman Tumbina, Pantai Temasya Tanjung Batu dan aktiviti luncur layar.

Menurut MOTAC, keaslian dan kebudayaan penduduk di rumah panjang di Sarawak juga merupakan salah satu tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, keaslian reka bentuk serta struktur rumah panjang tradisional yang masih relevan untuk dikekalkan sekali gus menjadi tarikan utama pelancong untuk datang serta tinggal di rumah panjang terutama dalam program inap desa.

“Fokus utama program MOTAC@Bintulu adalah untuk memberikan peluang kepada masyarakat bagi penjanaan pendapatan melalui bidang perniagaan, penjualan produk kraf tangan dan persembahan kesenian,” katanya.

Program tersebut juga memberikan peluang kepada penduduk setempat, pelancong dalam dan luar negara untuk mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan Malaysia melalui aktiviti seni, budaya dan warisan, khususnya melibatkan komuniti Bintulu.

Menurut MOTAC, MOTAC@Bintulu juga bakal menganjurkan Festival Kraf Borneo Kita yang akan berlangsung hingga 7 Januari 2024  yang melibatkan 75 orang usahawan kraf tempatan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

Tambahnya, Festival Kraf Borneo Kita yang berkonsepkan “Ini Budaya Malaysia” akan memaparkan keindahan kesenian dan kebudayaan Malaysia melalui aktiviti seperti pembuatan produk kraf selain  aktiviti kesenian dan warisan yang dapat dikongsi secara silang budaya di antara negeri-negeri.

“Acara kemuncak program tersebut ialah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing pada 31 Disember 2023 pada pukul 8.00 malam. Acara tersebut akan lebih menarik dengan sesi pengiraan detik Tahun Baharu 2024 yang akan diserikan dengan persembahan bunga api dan persembahan rakyat.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.