29 Disember 2023, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Doha, Qatar – Diaspora serta warga Malaysia di luar negara yang pulang bercuti ke tanah air dialu-alukan untuk bertandang ke Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Suasana Perlis yang tenang, damai dan menawan menjadikan negeri ini semakin menjadi tumpuan khususnya bagi warga kota serta bandar raya besar untuk berehat dan menghabiskan cuti tahunan masing-masing dengan meluangkan masa bersama ahli keluarga yang tersayang.

Musim cuti sekolah pada penghujung tahun ini juga sekali lagi membuktikan bahawa Negeri Perlis menawarkan tarikan kepada para pengunjungnya termasuklah kos yang berpatutan seperti penginapan, makanan serta bayaran masuk ke lokasi-lokasi menarik.

Makanan yang unik dan sedap serta harga yang berpatutan turut menjadi faktor penarik yang memberikan kepuasan kepada para pengunjung untuk berbelanja dan datang kembali ke Perlis.

Demikian menurut hebahan Istana Arau dititahkan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, Qatar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Duta Besar TYT Zamshari Shaharan dan isteri, Fazlinda Fudzil serta Kaunselor merangkap Ketua Canseri di Pejabat Perwakilan Malaysia di Doha, Maryam Masyitah Ahmad Termizi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanada-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, baginda sering mendapat komen positif daripada kenalan bahawa rakyat Perlis kebanyakannya memiliki sifat peramah dan mesra dalam menyantuni para pengunjung yang hadir. Baginda berharap nilai murni tersebut dapat dikekalkan selain terus menambah baik tahap kebersihan dan keceriaan secara umumnya.

Kemajuan pengangkutan awam seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan juga Komuter turut menjadi pilihan baharu para pelancong untuk berkunjung ke Perlis.

Sementara itu, Zamshari menyembah maklum kepada Tuanku Raja Muda bahawa Malaysia dan Qatar mempunyai kerjasama ekonomi yang erat, banyak peluang kerjasama telah diterokai dan hasilnya dapat dilihat dengan peningkatan dagangan dua hala ke tahap yang tertinggi pernah direkodkan iaitu USD 1 bilion pada tahun lalu.

Eksport Malaysia ke Qatar didominasi oleh produk petroleum, produk minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik manakala Malaysia mengimport barangan seperti produk kimia, besi dan bahan petroleum tersejat daripada Qatar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.