2 Januari 2024, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jakarta – Program Mobiliti Antarabangsa ke Universitas Indonesia, Jakarta anjuran Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Kesatuan Mahasiswa UKM, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Fakulti Farmasi, UKM dan Fakulti Farmasi, Universitas Indonesia bertujuan melahirkan mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang budaya di negara luar sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah.

Sesi perkongsian eksplorasi budaya antara mahasiswa UKM dengan mahasiswa Universitas Indonesia.

Program yang bertemakan “Perkasa Budaya Bangsa Serumpun” itu dikenali juga sebagai Syed Nasir Cross-Cultural Odyssey of Nurturing Exchange (Syed Nasir CONNECTS) dan melibatkan penyertaan sebanyak 25 orang mahasiswa UKM bagi memenuhi aspirasi Kolej Akademia melalui kolaborasi antara kolej kediaman dengan fakulti yang diadakan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Program ini telah berjaya menyerlahkan kemahiran dan bakat mahasiswa dalam berorganisasi dan program seumpama ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan kerjasama Universiti Chulalongkorn, Thailand,” kata Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril.

Peserta program Syed Nasir CONNECTS bergambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.

Program yang diadakan selama lima hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti yang memberikan peluang interaksi pertukaran budaya antara mahasiswa Malaysia dengan mahasiswa Indonesia termasuklah eksplorasi seni kebudayaan, makanan tradisi, pakaian tradisi, bahasa dan seni bina.

Menurut peserta program dari UKM, Nik Ilya Suhana Nik Azmi, pengalaman yang diperoleh menerusi program tersebut telah membuka minda para peserta untuk meraikan kepelbagaian budaya dan adat dalam masyarakat.

Sementara itu, Adam Ferdinand, peserta dari Universitas Indonesia pula berpandangan bahawa walaupun terdapat perbezaan budaya yang dapat dilihat melalui sesi perkongsian yang dijalankan, namun terdapat banyak persamaan budaya antara kedua-dua negara ini kerana Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang berasal daripada rumpun bangsa yang sama.

Mahasiswa UKM berkesempatan bergambar berlatarbelakangkan seni bina yang terdapat di Indonesia.

Turut serta dalam program berkenaan ialah wakil Dekan Fakulti Farmasi, Universitas Indonesia, YBrs. Dr. Sutriyo dan Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FSK, UKM, YBrs. Dr. Mohd Sham Othman, para pensyarah dan pegawai kanan Universitas Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.