3 Januari 2024, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Pesta Gendang Nusantara 2024 yang sedang berlangsung di Dataran Bandaraya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dari 2 Januari hingga 6 Januari ini membuka tirai program Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pesta tersebut menyaksikan sebanyak 31 kumpulan terdiri daripada 542 orang peserta dari dalam dan luar negara membuat persembahan di beberapa lokasi seperti di Pentas Utama Mahkota Parade, Ruang Legar Melaka Sentral dan Taman Rekreasi Bukit Serindit.

Latihan gabungan artis budaya dan kombo MBMB bersempena dengan Pesta Gendang Nusantara 2024.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata,  Pesta Gendang Nusantara 2024 bertambah menarik apabila mendapat penyertaan dari negara Poland, Sri Lanka, Korea, Thailand dan Indonesia.

Menurut Shadan, pesta tersebut dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bahagian antarabangsa, Malaysia, Nusantara dan pergendangan yang akan membuat persembahan masing-masing.

“Empat kumpulan akan berentap dalam bahagian antarabangsa yang melibatkan 65 orang peserta; 11 kumpulan melibatkan 206 orang peserta dalam bahagian Malaysia; lapan kumpulan (129 orang peserta) bagi bahagian Nusantara dan lapan kumpulan (74 orang peserta) bagi bahagian pergendangan,” katanya.

Ujar Shadan lagi, kemuncak pesta itu ialah Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara 2024 yang akan berlangsung di Dataran Bandar raya pada pukul 8.00 malam pada 6 Januari ini.

“Persembahan perdana ini akan diserikan dengan kehadiran dan perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan diiringi isteri, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman serta Ketua Menteri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri, YAB Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz.

Pesta Gendang Nusantara merupakan acara pembuka tirai program Tahun Melawat Melaka 2024.

“Pada malam kemuncak itu nanti persembahan akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu segmen gabungan pesta gendang serta segmen kedua gabungan artis dan pesta gendangan Nusantara,”katanya.

Shadan turut menjelaskan bahawa pertunjukan bunga api akan memeriahkan lagi acara pada malam tersebut dan pastinya akan memukau pengunjung yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.