4 Januari 2024, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebagaimana kritikan yang diterima oleh filem pertama terbitan Studio Kembara (SK), iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (MKKP) pada tahun 2022, Pengerusi Eksekutif/Penerbit SK, Tuan Haji Abdul Rahman Mt. Dali tidak menghiraukan kata-kata negatif terhadap filem keduanya pula, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah (PADIG).

Daripada isu pemecatan pengarah awal, Areel Abu Bakar, kemudian ke watak fiksyen dan busana, Haji Abdul Rahman menerimanya dengan tenang. Beliau hanya menjawab dengan sinis bahawa filem-filem luar yang lebih mengarut tidak pula dikritik atau dibelasah dan ditolak.

Shahruddin Dali (empat dari kiri), pengarah bersama, merangkap Penerbit Eksekutif filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

“Saya sekali lagi menegaskan bahawa kami bukan sejarawan walaupun turut membuat penyelidikan. Kami ialah pembikin filem yang mahu banyak penonton memenuhi pawagam. Kalau kami menghasilkan corak dokumentari, dibimbangi tiada siapa menontonnya,” ujar Rahman merujuk diri sendiri dan Shahruddin Dali sebagai Penerbit Eksekutif PADIG.

“Apa yang penting ialah kami mahu mengangkat pahlawan atau “wira yang tidak didendang”. Pendekar Awang dan wira-wira seangkatan beliau adalah antara “wira yang tidak didendang” pada zaman kebangkitan wira negara kita,” tambah Rahman, merangkap Pengerusi Eksekutif/Penerbit SK ketika sidang media selepas tayangan perdana PADIG di GSC IOI City Mall, Putrajaya, 2 Januari lalu.

PADIG merupakan sekuel kepada MKKP, atau prekuel untuk Mat Kilau 2 (MK2) yang akan dihasilkan pada masa hadapan.

Menariknya, PADIG juga adalah filem spin-off watak Awang, lakonan Fattah Amin dalam MKKP. Amat jarang spin-off watak dilakukan oleh karyawan filem tanah air.

Seingat penulis, selepas watak Fadil (Zizan Razak) dalam KL Gangster (2010), dan KL Gangster 2 (2013) yang diangkat menjadi Abang Long Fadil (2014), Abang Long Fadil 2 (2017), dan Abang Long Fadil 3 (2022), Awang pula mencetuskan idea kepada SK. Kini Awang berdiri sendiri, dan akan ada sekuel/filem francais atau tidak sebagaimana Fadil, terpulang kepada SK.

Seperkara lagi, selepas MKKP, PADIG membawa kembali filem bercorak purba ke pawagam. Ada kalanya penulis tertanya-tanya mengapa filem Melayu bercorak purba amat jarang dihasilkan dalam dekad-dekad kebelakangan berbanding pada era 50-an, 60-an, dan 70-an. Barangkali ada sebab-sebab yang jalan penyelesaiannya boleh dicari.

Nur Fazura membuat kemunculan semula selepas kira-kira lima tahun “menyepi” di pawagam.

Nur Fazura dan Heliza Helmi juga sudah agak lama tidak beraksi di layar lebar. Justeru, PADIG membawa Fazura dan Heliza kembali membintangi filem mengasah semula bakat mereka.

Kali terakhir Fazura yang juga isteri kepada Fattah berlakon adalah dalam filem Dendam Pontianak (2019), filem seram romantik Singapura, arahan Glen Goei, dan Gavin Yap.

Heliza yang kini lebih aktif sebagai aktivis kemanusiaan pula, muncul dalam Bukan Cinta Malaikat (2017), filem kolaborasi Malaysia-Indonesia, arahan Aziz M. Osman dan Herdanous Larobu.

Gabungan lebih daripada seorang pengarah untuk sesebuah filem Melayu juga amat jarang berlaku. Setahu penulis, Songlap (2011), yang memenangi anugerah Filem Terbaik (Aksi) dalam Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013, diarahkan oleh Effende Mazlan, dan Fariza Azlina Ishak.

Sementara itu, Juang (2022) yang bercorak drama dokumentari berdasarkan wabak pandemik maut COVID-19, adalah hasil garapan lima orang pengarah, iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Kabir Bathia, Osman Ali, Matt Lai, dan Aziz.

Setelah menjadi kontroversi dan misteri, majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media Filem PADIG itu mendedahkan nama pengarahnya, iaitu Saiful Reza Shukor (Reza Hilman Ripani), dan Shahruddin sendiri.

Adegan-adegan pertarungan yang hebat – penulis fikir lebih baik daripada MKKP – yang visualnya bergoyang-goyang hingga merimaskan penonton, dikendalikan oleh Reza Hilman bersama-sama Mohd. Khoharullah Abdul Majid sebagai koreografer.

Sebagai sekuel MKKP yang telah menjadi fenomena dengan kutipan RM97 juta, atau prekuel MK2, dan spin-off watak, PADIG tetap berpegang pada hakikat sejarah ditulis oleh tangan yang menang.

Ekoran penjajahan British di Tanah Melayu, PADIG cuba membongkar kisah sebenar perjalanan Tok Gajah di Pahang, selepas pertempuran terakhir Mat Kilau di Kuala Tembeling.

PADIG membawa kisah British memburu Tok Gajah (Wan Hanafi Su). Awang mesti segera menyelamatkannya daripada ditangkap, dan dibunuh.

Apabila British mendapat tahu Tok Gajah mahu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan, dan pahlawan Melayu di Terengganu, British mengarahkan Kapten Syers (Geoff Andre Feyaerts) menangkap Tok Gajah sebelum terlambat.

Pada masa yang sama, Awang terpaksa menyelamatkan pemimpin Kuala Semantan yang juga ayah mentuanya, Haji Sulong (Namron) yang telah ditangkap oleh British, di samping memastikan Tok Gajah berjaya sampai di Terengganu dengan selamat.

Dalam usaha penyelamatan tersebut, Awang berdepan pelbagai rintangan, dan pertempuran. Dia dibantu oleh isterinya, Sayang (Nur Fazura); adik iparnya, Tahir (Nadhir Nasar); bersama-sama Siti (Heliza Helmi), Minah (Hazwani Helmi), Besah (Tissa Biani); adik kandungnya, Brahim (Ali Karimi), Nadim (Syed Ali Murtadha), dan Andak (Amir Ahnaf).

Turut membintangi PADIG yang cerita asalnya oleh Shahruddin ini termasuklah Amerul Affendi (Tobah), Ruzaidi Rahman (Jalak Pengkor), Andy Teh, Sathisvaran – “kaki pukul” Syers; Dian P. Ramlee (Mak Senah, ibu Sayang), Hasnul Rahmat (Kodi), Hilal Azman (ayah Nadim), Saifulwazien, dan John Bear.

Komposer dan penyanyi terkenal Faizal Tahir; dan penyanyi/pelakon/pengarah/penerbit Mawi, serta pelakon televisyen popular Azrel Ismail ikut membuat kemunculan istimewa dengan watak masing-masing Utusan To’ku Paloh, Tok Kenali, dan Tok Janggut. Menariknya, lagu tema PADIG, berjudul Darah Bangsa dicipta, dan dinyanyikan oleh Faizal.

Penggambaran PADIG bermula pada Januari 2023, dan sehingga kini, menurut Rahman yang juga Penerbit Talian bersama-sama Ismail Dali, Mohamad Afiq Razali dan Irda Ismail, telah menelan kos berjumlah RM15 juta.

Seperkara lagi yang menarik ialah apabila Reza memberitahu semua aksi lasak dilakukan oleh para pelakon sendiri. Ini menepis sangkaan bahawa aksi lasak mesti dilakukan oleh pelakon ganti, atau lagak ngeri.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan filem Melayu kedua di pawagam untuk tahun 2024.

Sementara itu, menjawab soalan mengapa berminat membintangi filem mengenai penentangan terhadap Inggeris seperti MKKP dan PADIG, Andre Feyaerts anak kelahiran Belgium, mengatakan beliau mahu mendalami kebudayaan orang Melayu.

Telah banyak membintangi drama televisyen dan filem Melayu sejak tahun 2017, beragama Islam, dan mengahwini wanita Melayu, Feyaerts mengakui minatnya terhadap kebudayaan Melayu memang dalam. Itu dapat dilakukannya sambil membintangi filem, dan drama televisyen Melayu.

Selain Rahman, Shahruddin, Ismail, Fattah, Fazura, Reza dan Feyaerts, turut menghadiri majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media PADIG ialah Wan Hanafi, Hilal, Ruzaidi, Namron, Amerul, Ruzaidi, Andy, Nadhir, Syed Ali, Sathisvaran, Bear, serta Tissa, pelakon Indonesia.

Berdurasi 116 minit, PADIG akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 Januari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.