5 Januari 2024, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan  Gastronomi sedang berlangsung di Galeri 3A, Balai Seni Negara dari 1 Disember 2023 hingga 29 April 2024.

Menurut Balai Seni Negara, koleksi seni negara dan seniman jemputan bersatu dalam pameran seni revolusioner yang menggabungkan karya-karya seni terpilih dengan konsep yang memaparkan perhubungan erat antara seni, budaya, sosial, tradisi, dan ekonomi.

Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi di Balai Seni Negara sedang berlansung mulai 1 Disember 2023 hingga 29 April 2024.

“’Palet Budaya’ menghadirkan aspek-aspek penting dalam interaksi sosial melalui makanan dan medium makanan dalam masyarakat yang melibatkan komponen budaya dan komunikasi, pameran ini menggali unsur-unsur keperluan gastronomi sebagai elemen kunci dalam keterikatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pameran ini mengajak masyarakat melihat perihal hubungan antara makanan dengan identiti individu yang tidak dapat diasingkan daripada struktur sosial masyarakat.

Katanya, budaya pemakanan dianggap sebagai refleksi sejarah dan identiti suatu komuniti, dan karya-karya seni menggambarkan pengalaman harian dalam asimilasi dan aliterasi budaya.

Katanya, artis yang terlibat menonjolkan pendekatan normatif membahaskan hubungan gastronomi dalam interaksi sosial, jaringan ekonomi, fokus pada peraturan, cara hidup, nilai-nilai, dan kemandirian masyarakat.

“Melalui karya-karya mereka, pameran ini menjadi refleksi pengalaman harian dan estetika, menggambarkan budaya suatu masyarakat dari sudut pandang gastronomi,” jelasnya.

Menurut Balai Seni Negara, pameran ini juga mengajak penonton untuk merenung kekayaan budaya yang tersembunyi dalam interaksi masyarakat melalui makanan.

Tambahnya, pameran ini bukan sekadar memaparkan hasil seni, tetapi juga sebuah perjalanan mendalam melalui sejarah, tradisi, dan kehidupan sehari-hari yang diabadikan dalam karya seni yang indah.

Katanya lagi, pameran ini juga menonjolkan makanan bukan sahaja tentang makan tetapi juga membangkitkan kenangan dan nostalgia yang mencerminkan struktur sosial masyarakat selain melihat gastronomi sebagai warisan sosial dan tradisi, tercermin dalam karya seni yang menggambarkan hubungan masyarakat.

Pameran ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari di Galeri 3A, Balai Seni Negara dan bagi maklumat lanjut mengenai pameran ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara,

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.